Kemurungan barisan hadapan akan diatasi - Utusan Malaysia

Kemurungan barisan hadapan akan diatasi

NOOR Azmi Ghazali bersama peserta Ride Merdeka di Simpang Empat Semanggol, Bagan Serai, semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan berusaha menangani masalah kemurungan yang dipetugas barisan hadapan dan rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, usaha dilakukan de­ngan membuat saringan terhadap masalah yang dialami dalam kalangan petugas kesihatan, anggota polis, tentera dan lain-lain perkhidmatan yang terlibat di barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Menurutnya, kemurungan banyak berlaku ketika penularan wabak Covid-19 sehingga ada ketua keluarga kehilangan pekerjaan, perselisihan dalam keluarga dan sebagainya.

“Kerajaan berusaha untuk mengurangkan kes-kes kemurungan yang berlaku di negara ini. Kita juga membuat saringan masalah kemurungan ini terutamanya barisan hadapan, mereka yang serius akan dirujuk kepada pakar.

“Kerajaan amat mengambil berat tentang perkara ini sebabnya ketika pandemik ini ramai orang hilang kerja, hilang pendapatan, berlaku pergaduhan dalam keluarga, penderaan terhadap wanita dan sebagainya yang menyebabkan kemuru­ngan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ride Merdeka dan Hari Malaysia Parlimen Bagan Serai di Dewan Taman Seri Selinsing, Simpang Empat Semanggol di sini semalam.

Menurut Dr. Noor Azmi, kerajaan juga akan menambah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di seluruh negara.

Beliau berkata, Mentari berfungsi sebagai pusat penjagaan dalam komuniti dengan menyediakan khidmat saringan, diagnosis, rawatan dan pemulihan kepada mereka yang berhadapan dengan isu kesihatan mental.

“Kerajaan akan menambah pakar psikiatri dan pakar psikososial dalam jangka masa panjang bagi membantu usaha menangani masalah tersebut,” katanya.

Menurutnya, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati masalah kemurungan dan kesihatan mental di negara ini sebanyak 2.3 peratus dalam kalangan rakyat atau me­libatkan kira-kira 500,000 orang.

“Lima negeri tertinggi mencatat kemurungan dalam kalangan penduduknya ialah Putrajaya 5.4 peratus, Negeri Sembilan 5.0 peratus, Perlis 4.3 peratus, Sabah 4.0 peratus serta Melaka 3.8 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN