ALOR SETAR: Polis mengarahkan pengurusan Masjid Al Irfan, Derga di sini yang menempatkan kubur mendap dan mengandungi cecair merah yang didakwa darah menutup kawasan tersebut mulai semalam.
Kubur tersebut terletak di tanah perkuburan Islam dalam pekarangan masjid berkenaan.
Setiausaha Masjid Al Irfan, Yahya Saad berkata, pihaknya mendapat arahan itu selepas polis selesai mengambil sampel tanah dan cecair merah di kubur terbabit.
Katanya, langkah itu diambil bertujuan menghalang orang ramai memasuki kubur tersebut.
“Pihak masjid akur dengan arahan polis. Tali keselamatan juga dipasang di kubur berkenaan,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Pejabat Agama Daerah Kota Setar menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan sebuah kubur mendap dan mengandungi cecair merah.
Yahya berkata, pihak masjid hanya membenarkan kenderaan jenazah sahaja masuk ke tanah perkuburan itu jika adanya kematian melibatkan kariah kawasan tersebut.
“Walaupun tanah perkuburan itu sudah ditimbus semula tetapi masih ada lagi orang ramai yang datang untuk melihat dan mengambil gambar,” katanya.
Beliau menambah, pihak masjid hanya akan membuka tali keselamatan yang diletakkan di kawasan masjid itu selepas mendapat nasihat polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh memberitahu, keputusan sampel tanah yang diambil dari kubur tersebut belum diperoleh. – UTUSAN ONLINE










