Kampung paling sunyi, hanya dihuni 7 penduduk - Utusan Malaysia

Kampung paling sunyi, hanya dihuni 7 penduduk

KEADAAN masjid yang terbiar dan tidak digunakan kerana kurang penduduk di Kampung Bandar, Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kampung Bandar di sini mungkin antara kampung paling sunyi atau mungkin paling menyeramkan di negara ini apabila dihuni hanya empat keluarga terdiri tujuh individu.

Terletak kira-kira 15 kilo­meter dari Pekan Kampung Gajah, Kampung Bandar sebelum ini mempunyai ramai penduduk, namun bertukar menjadi sepi disebabkan faktor penghijrahan penduduk yang mencari peluang pekerjaan di pusat bandar atau Kuala Lumpur, di samping faktor sering dilanda banjir.

Yang tinggal kini hanyalah warga emas yang lahir dan membesar di kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd. Najid Sulaiman, 51, berkata, Kampung Bandar sebelum ini sebuah penempatan yang padat dengan penduduknya kira-kira 3,000 orang sekitar tahun 1960-an.

Menurutnya, dia masih ingat bagaimana kemeriahan di kampung itu apabila penduduk kampung menaiki bot penambang melalui Sungai Perak untuk ke bandar Teluk Intan.

“Namun sejak tahun 2004, kampung ini beransur-ansur kekurangan penduduk apabila ramai yang berhijrah mencari peluang pekerjaan di luar.

“Hari ini hanya ada empat keluarga yang terdiri daripada tujuh penduduk. Yang tinggal pun hanya orang-orang tua.

“Kampung ini begitu sunyi, sukar untuk melihat kelibat penduduk di kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Mohd. Najib, ke­rana kekurangan penduduk, banyak rumah yang kosong dan terbiar kerana ditinggalkan sehingga menimbulkan suasana lengang.

Katanya, surau dan masjid di kampung itu juga tidak lagi digunakan kerana tiada jemaah yang datang untuk menunaikan solat.

“Walaupun sepi, penduduk warga emas di sini tidak mahu berpindah kerana sayangkan kampung ini, malah sudah selesa tinggal di sini dan mata pencarian mereka juga di kampung.

“Di sini juga mereka ada tanah dan rumah sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN