Juruterbang kini ternak ikan - Utusan Malaysia

Juruterbang kini ternak ikan

BORMAN Khairuddin menunjukkan ikan jade perch yang diternak di kolam pemantauan dekat rumahnya di Seremban 2. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas juruterbang sebuah syarikat pe­nerbangan tidak menyangka mi­natnya dalam pembenihan ikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu telah membuahkan hasil lumayan.

Borman Khairuddin, 49, berkata, bermula sekadar me­ngi­si masa terluang ketika PKP, dia kini mempunyai 3,000 anak ikan ‘jade perch’ yang berasal dari Australia untuk dilepaskan di tiga buah kolam ternakan di Ulu Bendul, Kuala Pilah.

“Semasa PKP operasi penerbangan berkurangan. Kemudian syarikat memberi dua pilihan sama ada saya mengambil cuti panjang tanpa gaji atau skim pemberhentian sukarela (VSS), saya akhirnya memilih VSS selepas berkhidmat selama empat tahun dengan syarikat itu.

“Kebanyakan masa saya kemudiannya dihabiskan di rumah mempelajari cara mela­kukan pembenihan ikan jade perch. Kini, terdapat lebih 3,000 anak ikan dan menunggu masa untuk dilepaskan ke dalam kolam,” katanya ketika ditemui di Seremban 2, baru-baru ini.

Borman yang pernah berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS) selama 24 tahun berkata, dia telah mengeluarkan modal sebanyak RM350,000 bagi mengusahakan ternakan ikan tersebut dan percaya pelaburan besarnya itu mampu memberi pulangan lumayan berdasarkan permintaan pasaran.

“Saya pernah mengalami kerugian apabila kolam ikan disabotaj sehingga menyebabkan 17,000 ekor anak ikan mati. Saya kemudian berpindah ke Ulu Bendul.

“Ikan sedia ada sudah boleh dijual pada harga RM35 sekilogram manakala harga di restoran boleh mencecah sehingga RM150 satu hidangan. Ada pe­langgan yang sudah me­nempah ikan ini berulang kali kerana keenakan isinya yang lembut dan manis,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, ikan jade perch mempunyai khasiat lebih tinggi berbanding ikan Salmon, namun tidak ramai mengetahui hal tersebut.

“Saya menggunakan 100 peratus palet, tidak menggunakan sebarang vaksin atau bahan kimia. Malah, jika dilihat ikan ini mempunyai satu gumpal lemak yang bersih,” katanya yang turut memberitahu khasiat ikan tersebut adalah 13 kali ganda lebih daripada ikan haruan.

Borman berkata, dia juga meng­hantar sampel ikan untuk menjalani ujian makmal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pihak UKM mendapati ikan ini mempunyai Omega 3 lebih tinggi daripada Salmon. Ia juga mampu menjana keuntungan dan sesuai diperkenalkan kepada golongan miskin tegar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN