IWK nafi punca pencemaran air hitam - Utusan Malaysia

IWK nafi punca pencemaran air hitam

PIHAK berkuasa masih menyiasat punca air dari longkang besar berhampiran Sungai Gong, Rawang berwarna hitam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) menafikan kejadian air hitam di Sungai Gong, Rawang berpunca daripa­da pelepasan air buangan atau elfuen Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park (GBK134) milik mereka.

Malah, IWK dalam kenyataannya turut menyatakan rasa kecewa dengan tuduhan tersebut dan tindakan itu hanya mengelirukan orang awam berikutan punca sebenar kejadian mungkin disebabkan pembuangan sisa secara haram.

Ketua Pegawai Eksekutif (IWK), Narendran Maniam berkata, loji rawatan air kumbahan hanya di reka bentuk untuk mera­wat air kumbahan sahaja dan tidak mampu merawat bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembetungan.

“IWK kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air seperti kejadian ini tanpa membuat pemeriksaan rapi atau melaporkan maklumat secara menyeluruh.

“Kita sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penye­lenggaraan di semua 7,000 buah loji di bawah selian IWK sentiasa mengikut spesifikasi serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Pembuangan sisa haram bukan kumbahan adalah satu kesalahan menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006),” katanya dalam satu ke­nyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Narendran berkata, petugasnya telah me­ngenal pasti kemasukan bua­ngan bukan kumbahan berwarna ku­ning ke dalam kebuk masuk loji yang mengakibatkan efluen di peringkat proses akhir tercemar.

Menurut beliau, pihaknya mengesyaki terdapat pembua­ngan sisa secara haram yang berlaku berdekatan dengan loji sehingga bahan tersebut dapat mengalir masuk ke dalam loji.

“Petugas IWK terus menghentikan pelepasan discaj efluen dan operasi pembersihan segera dilaksanakan dan akan siap sepenuhnya hari ini (semalam).

“Kerja-kerja dos bahan kimia telah dijalankan dengan pantas bagi mengawal keadaan. Petugas IWK masih memantau dan me­ngawal kemasukan air kumbahan ke loji tersebut.

“Loji tersebut merupakan Oxidation Ditch (OD) Plant yang bersambung kepada 11,106 penduduk setara yang hanya meliputi kawasan perindustrian,” ujarnya.

Semalam, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak berhubung insiden air Sungai Gong berwarna hitam.

LUAS dalam kenyataannya berkata, siasatan di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai tersebut berwarna hitam dan tiada bau selain disyaki ia disebabkan oleh pewarna.

Berikutan itu, katanya, LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

Siasatan juga mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di kawasan Perindustrian Rawang.

Malah, pensampelan telah dijalankan oleh pihak LUAS dan mendapati kandungan Ammonia adalah sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I.

Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan di Loji Pembersihan Air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor ekoran air berwarna hitam di Sungai Gong, Rawang dekat sini selesai dijalankan pukul 9 malam kelmarin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN