Kala ini menyebut nama Datuk Farid Kamil sahaja, pasti yang terbayang adalah kontroversi yang melanda dirinya. Rentetan daripada itu, bukan sesuatu yang pelik untuk pihak di luar sana terus membuat konklusi mengenai kejatuhan dirinya.
Namun benarkah anggapan mengenai kemasyhuran dan karier yang dimilikinya sebelum ini sudah menemui noktah? Bahasa lebih mudah, adakah ini merupakan pengakhiran buat kerjayanya yang mencecah hampir 20 tahun ini?
Bertemu sendiri dengan pengarah dan pelakon ini, apa yang berlaku sepanjang dua tahun ini jelasnya tidak pernah dirasakan sebagai satu beban. Tambahnya, jika ada yang bertanya sama ada ‘kejatuhan’ yang dialami dalam dunia seni ini menyakitkan, jawab Farid itu tidak pernah berlaku.
“Dua tahun ini saya menjadi perhatian dek kontroversi. Jujurnya saya tidak pernah rasa pedihnya jatuh. Sebab selama ini saya tidak pernah terfikir untuk meletakkan diri pada tahap yang tinggi sepanjang berada dalam dunia seni.
“Terbuka berbicara soal ini, sebagai manusia saya perlu terima aturan hidup. Antara pengajaran terbesar, adalah untuk menyerahkan keseluruhan hidup kepada Allah SWT dan memahami secara total kandungan al-Quran. Sekali gus membuatkan saya kini rasa cukup bebas,” katanya kepada Pancaindera.
Percaya apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri, secara rendah diri, pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari itu cukup bersyukur dugaan muncul untuk mengubah perjalanan hidupnya kini. Malah apa yang lebih penting ada kisah berbeza mengenai ujian yang dianggap sesetengah pihak memusnahkan hidupnya ini.
“Apa yang boleh diceritakan bagaimana selepas 777 hari (hari ketika ditemu bual) kontroversi ini berlaku, saya telah mencapai banyak perkara. Antara impian untuk mengadakan pertandingan Sifu International MX Enduro Championship 2020 dan menjadi penerbit serta pengarah Remp-it 2 berjalan lancar.
Diana rahmat terindah
Meletakkan keluarganya sebagai penawar paling mujarab, jelas Farid, dalam tempoh ramai yang terus menghentamnya dengan pelbagai kata hinaan, tiada apa yang lebih melegakan bila isteri dan anak-anaknya kekal di sisi.
“Mereka adalah sumber kekuatan hidup. Ketika ramai berterusan menghina, anak-anak masih melihat saya sebagai wira buat mereka. Doa-doa tanpa hijab ini adalah penyelamat saya,” katanya yang bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.
Bercakap mengenai rumah tangganya yang dikatakan goyah sebelum ini, pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini menganggap apa yang berlaku adalah ujian buat dirinya. Namun ada perkara yang lebih penting untuk mereka di luar sana tahu mengenai isterinya. Sebagai suami kepada Datin Diana Danielle, dia cukup bertuah mempunyai wanita yang penuh dengan sifat keikhlasan.
“Mengahwini Diana adalah anugerah terindah, apa lagi yang boleh saya katakan tentang dirinya. Rasa sayang dan cintanya tidak pernah kurang walaupun pelbagai dugaan melanda.
“Sesuatu yang tidak akan kita dapat melalui paras rupa tetapi melalui hati yang mempunyai naluri seorang wanita. Itulah pengorbanannya buat kami,” kata pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini.
“Terlalu banyak hikmah yang berlaku membuatkan saya cukup menghargai apa yang dimiliki kini. Apa yang berlaku ini juga tidak membuatkan saya untuk berhenti tetapi terus berjuang menikmati lebih banyak kejayaan,” kata pelakon berusia 39 tahun itu.
Tidak menolak di sebalik apa yang berlaku, dia turut kehilangan mereka yang pernah rapat dengan dirinya. Bagi Farid tiada istilah kesal untuk mengecilkan lingkungan rakan-rakannya ketika ini. Tambahnya, ketika ini bukan kehilangan’ yang perlu dihiraukan tetapi bagaimana kehadiran’ kepercayaan dalam diri mereka yang masih bersamanya.
“Kehilangan kawan adalah perkara biasa, tetapi apabila perkara ini terjadi kita boleh ukur tahap kematangan dan kemajuan diri. Kehilangan kawan-kawan adalah petanda kita sudah bergerak ke hadapan.
“Tidak kesal ataupun sedih, sebab ketika ini saya mahu berterima kasih kepada mereka yang sudah menunjukkan warna sebenar diri masing-masing,” katanya tanpa berselindung.
Kerjaya tidak berhenti
Berdebar menunggu hari tayangan filem pertama terbitannya, Remp-it 2, Farid akui ini adalah antara impian terbesar dirinya. Walaupun tarikh tayangan filem ini terkesan kerana penularan wabak Covid-19, namun dia positif akan penerimaan penonton.
“Selepas 14 tahun, ini adalah kesinambungan daripada filem pertama. Walaupun mengambil masa lama, bagi saya ini adalah waktu sesuai bagi peminat filem ini yang sering membangkitkan pertanyaan mengenai watak Madi.
“Selain filem, saya juga sibuk memastikan kelancaran Sifu International MX Enduro Championship 2020. Sebagai penganjur, tanggungjawab itu besar dalam memastikan sukan permotoran lasak ini dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Farid masih menerima pelbagai tawaran dalam dunia lakonan. Tentunya pada waktu ini kepuasan adalah tunjang utama dunia lakonannya.
“Saya masih mengekalkan sikap memilih watak, bukan sahaja sekarang tetapi sejak dahulu lagi. Bagi saya setiap watak yang dibawa perlu membawa peningkatan dalam persembahan lakonan.
“Tidak kisah jenis drama sebab dalam tempoh ini juga saya memilih golongan pelakon mana yang akan bergandingan,” katanya jujur.
Farid kini masih menunggu keputusan rayuan selepas dijatuhi hukuman penjara 13 bulan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lalu. – Pancaindera, Mingguan Malaysia










