KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana Syarikat 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDB GIL) sebanyak RM1 bilion untuk membeli tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang sebagai salah satu inisiatif ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif (1MDB), Mohd. Hazem Abd. Rahman, penggunaan dana syarikat bagi tujuan tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD).
“BOD hanya bersetuju dana digunakan untuk tujuan usaha sama ADMIC dan untuk pembiayaan TRX. Setelah saya menjadi CEO 1MDB, saya menjadi lebih faham bahawa segala projek yang diberikan kepada saya sebelum ini hanyalah dijadikan sebagai alat (vehicle) untuk pengumpulan dana tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-10 itu.
1MDB GIL merupakan anak syarikat 1MDB yang ditubuhkan menjadi syarikat tujuan khas (SPV) bagi tujuan pelaburan manakala ADMIC atau Abu Dhabi Malaysia Investment Company Limited adalah syarikat mengendalikan usaha sama itu antara negara ini dan Abu Dhabi.
Menurut laporan media bertarikh 1 Mei 2013, Najib mengumumkan kerajaan Pusat akan membina 9,999 rumah kos sederhana rendah dan mampu milik di tiga kawasan di Pulau Pinang iaitu di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong lengkap dengan pelbagai kemudahan rekreasi.
Saksi tersebut berkata demikian pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mohd. Hazem menyertai 1MDB pada 2013 sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) sebelum dilantik CEO syarikat itu menggantikan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Pada 2015, saksi tersebut meletakkan jawatan sebagai CEO 1MDB dan beliau digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy.
Terdahulu, Mohd. Hazem memberitahu, pada hari kedua dilantik sebagai CEO, beliau telah menandatangani beberapa dokumen perjanjian berkaitan penerbitan bon AS$3 bilion.
Katanya, beliau hanya menandatangani di bahagian penandatangan sahaja dan peguam syarikat 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan tidak pernah memberikan dokumen penuh atau menerangkan kandungan dokumen kerana tugasnya sebagai CEO hanyalah sebagai penanda tangan, melaksanakan tugas menurut aturan dan prosedur syarikat yang sah.
Ujarnya, selain menandatangani segala dokumen berkaitan 1MDB GIL, beliau juga pernah menandatangani dokumen pembukaan akaun 1MDB GIL di sebuah bank terkemuka, Bank BSI Lugano Switzerland bagi tujuan penerimaan wang pinjaman bon AS$3 bilion.
“Selepas beberapa hari perjanjian terbitan bon ditandatangani, wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun 1MDB GIL di Bank BSI. Saya difahamkan proses terbitan dibuat dengan cepat kerana Goldman Sachs telah menaja jamin (underwrite) kesemua bon dengan kos sebanyak 9.3 peratus.
“Underwrite bermaksud Goldman Sachs akan bayar dulu semua wang dari jumlah bon yang diterbitkan sebelum mencari pembeli bon. Ini jelas menunjukkan terdapat usaha yang tergesa-gesa untuk menerbitkan bon tersebut kerana kebiasaannya jika tiada keperluan mendesak, bon tidak akan diterbitkan secara underwritten,” katanya. – UTUSAN ONLINE










