Contohi negara lain bina laluan khas basikal - Azizulhasni - Utusan Malaysia

Contohi negara lain bina laluan khas basikal – Azizulhasni

Azizulhasni Awang melepasi pusingan kelayakan individu di kedudukan ke-17 selepas melakukan catatan masa 9.626s.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mencontohi Thailand dengan membina litar khas basikal untuk peminat sukan tersebut sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.

Pelumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang (gambar) berkata, litar yang digelar ‘Skylane Bangkok’ itu mempunyai laluan sepanjang 23.5 kilometer (km) setiap satu pusingan yang memberi keselesaan dan ruang kepada peminat sukan berbasikal.

Selain itu katanya, Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan yang mempunyai litar khas sepanjang 1,000km dengan menghubungkan antara satu negeri ke negeri lain.

“ Sekarang kita mahu galakkan rakyat Malaysia berbasikal sebab boleh melahirkan individu yang sihat walafiat. Kalau di tangani dengan betul mungkin boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Tambahan pula penggunaan basikal dapat mengurangkan pencemaran bunyi dan alam sekitar selain mempunyai pelbagai manfaat lain termasuk ekonomi,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya kelmarin.

Institut Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sebelum ini mencadang­kan supaya basikal didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran.

Namun, cadangan tersebut menerima kritikan pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Mohd. Azizulhasni berkata, pihak berkuat kuasa perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak untuk mewujudkan polisi atau peraturan baharu bagi peminat berbasikal.

“Jika kita pilih untuk mewajibkan lesen dan nombor plat sebagai jalan terakhir , ini bermaksud penunggang basikal juga akan mempunyai hak yang sama di atas jalan raya.

“Maka perlu dibina infrastruktur khas kepada penunggang basikal ini seperti laluan khas basikal serta tempat meletak basikal di kebanyakan tempat.

“Ini kita boleh lihat di beberapa negara Eropah. Seperti Belanda basikal merupakan antara pengangkutan harian untuk ke tempat kerja. Ada laluan khas dan tempat letak basikal khas di merata-rata. Di Melbourne, Australia pula mempunyai laluan khas,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN