GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan sebuah helikopter untuk menghantar 2,500 kilogram bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini yang terputus hubungan akibat banjir lumpur, kelmarin.
Bekalan makanan seperti beras, makanan dalam tin dan barangan keperluan lain itu dihantar kepada sebanyak 169 keluarga Orang Asli di 15 kampung yang terlibat.
Bekalan makanan itu dihantar menggunakan helikopter berikutan jalan darat ke kawasan berkenaan berlaku kerosakan manakala tiga buah jambatan runtuh akibat kejadian itu tiga hari lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, helikopter dari Pangkalan Udara Subang, Selangor itu digunakan untuk mempercepatkan operasi penghantaran bekalan ke kawasan berkenaan.
“Bungkusan makanan dihantar dari padang Balai Bomba Gua Musang ke Pos Gob yang mengambil masa 15 minit.
“Kita juga akan melaksanakan tiga penerbangan bagi mengangkut barang makanan berkenaan,”katanya.
Mohd. Farhan berkata, seramai tujuh anggota terlibat dalam misi itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, beliau turut serta ke kampung berkenaan untuk mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa.
Katanya, pihaknya menyedari 169 keluarga Orang Asli di Pos Gob terputus makanan kerana banjir lumpur selepas dimaklumkan penduduk awal pagi kelmarin.
“Saya sendiri menyediakan keperluan makanan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memohon bantuan Unit Udara JBPM untuk menghantar bakul makanan itu kepada Orang Asli di kawasan terbabit.
“Kita tidak boleh menghantar keperluan itu melalui jalan darat kerana jalan rosak teruk dan jambatan runtuh,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan kira-kira 500 penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini terputus hubungan luar selepas kejadian banjir lumpur, kelmarin.
Hujan lebat menyebabkan penempatan dan tanaman mereka musnah.
Penghulu Pos Gob, Uda Alang berkata, kejadian pukul 1 pagi itu mendorong penduduk kampung menyelamatkan diri mendaki bukit berhampiran.
Katanya, sehingga semalam terdapat penduduk yang takut pulang ke rumah.
“Kami bagaimanapun bersyukur apabila tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku walaupun penduduk masih terkejut dengan kejadian terbabit.
“Kami begitu takut dan ini merupakan kejadian paling banjir lumpur terburuk yang melanda Pos Gob,”katanya. – UTUSAN ONLINE










