MUKADIMAH
Dahulu, Utusan Malaysia tidak begitu disenangi oleh kebanyakan pemimpin DAP. Mungkin laporannya yang agak kritis dan pedas terhadap parti itu membuatkan mereka tidak mesra dengan akhbar berkenaan. Namun persepsi sebilangan pemimpin mereka hari ini sudah berbeza. Kedatangan kami ke pejabat Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh di bangunan Parlimen baru-baru ini, disambut mesra olehnya yang berbaju kurung pesak. Yang pertama kali berbual dengan Hannah tentu terpegun mendengar fasihnya beliau bertutur bahasa Melayu.
Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dan jurugambar, FARIZ RUSADIO itu, Hannah tampil santai, tenang dan mesra menjawab setiap soalan.
Utusan: Bagaimana Yang Berhormat (YB) boleh begitu fasih berbahasa Melayu?
Hannah Yeoh: Saya belajar di sekolah kebangsaan. Kawan-kawan saya ramai. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan masuk kolej, kemudian melanjutkan pengajian ke Australia, saya tidak berpeluang berbahasa Melayu secara kerap. Itulah cabarannya. Apabila pulang ke tanah air dan menjadi peguam, kebanyakan dokumen harus dilengkapkan menggunakan bahasa Inggeris. Namun selepas menang dalam Pilihan Raya Umum 2008, saya mengambil peluang menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi dan aktiviti kemasyarakatan terutama melibatkan penduduk di luar bandar. Saya juga dengar lagu-lagu Melayu bersama anak-anak. Kini mereka tidak kekok bernyanyi dan bercakap dalam bahasa Melayu.
Apa nasihat YB kepada mereka yang masih tidak fasih berbahasa Melayu?
Jangan sesekali abaikan kepentingan bahasa Melayu. Untuk menguasai bahasa Melayu dengan bagus, kita perlu gunakan bahasa itu setiap hari. Gunakannya sebagai medium komunikasi.
Sebagai ahli Parlimen, saya gunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan penduduk dan kawan-kawan. Saya cadangkan mereka membaca berita dalam surat khabar dan portal yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. Saya galakkan mereka gunakan media sosial untuk tujuan yang lebih baik iaitu belajar bahasa.
Baru-baru ini, YB mempertahankan isu tanah rizab Melayu dalam perbahasan di Parlimen. Kenapa?
Kerana kita selalu kena lihat sebab-sebab sesuatu polisi itu diwujudkan. Bagi tanah rizab Melayu, fungsinya adalah untuk memulihara warisan orang Melayu. Di Kuala Lumpur, bukan senang untuk kita cari kawasan kampung sebab semua sudah jadi bandar (dibangunkan). Kita ada kawasan kampung seperti Kampung Sungai Penchala yang terletak di Segambut dan kawasan ini telah diberi status tanah rizab Melayu. Kita kena pastikan polisi sedia ada dan syarat-syarat pembangunan ketat untuk mengekalkan status tanah rizab Melayu. Sekiranya kita tidak berbuat demikian, dikhuatiri nanti nama tanah rizab Melayu sahaja yang tinggal tetapi bila kita lawat kawasan tersebut, sudah jadi kawasan perumahan elit seperti kondominium.
Itu sebabnya saya bersuara mengenai isu ini. Saya telah dilantik, diberi kerusi untuk bertanding mewakili DAP dan menang. DAP adalah parti yang mewakili pelbagai kaum, jadi apabila kita sudah diberikan amanah, kita harus bertanggungjawab dan memperjuangkan hak pengundi kita. Ini adalah mandat rakyat.
Isu perkauman masih terus dimainkan oleh segelintir pihak walaupun sudah 63 tahun negara mencapai kemerdekaan. Kenapa?
Saya rasa kesalahan kita adalah wujud parti berteraskan kaum tertentu sahaja. Apabila ingin mendapat populariti atau memperjuangkan kesesuaian idea, mereka sanggup mainkan isu perkauman untuk pastikan mereka terus dilantik memegang jawatan tinggi dalam parti. Ini adalah kitaran yang tiada henti. Saya berpandangan, ini adalah punca utama terhadap isu perkauman.
Kita sering dengar ahli politik mengatakan sekolah adalah tempat bermulanya sikap perkauman tetapi kita semua harus sedar bahawa kanak-kanak akan diajar dan bukan mengajar. Semuanya terletak pada pemimpin di mana golongan ini mempunyai akses kepada media yang juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat. Apabila terdapat sebarang insiden, media sosial akan menjadi lubuk perbincangan orang ramai dan sering mengaitkan perkara tersebut dengan memainkan isu kaum. Negara kita terlalu fokus kepada isu perkauman sehingga isu yang lebih penting seperti pendidikan, pengangkutan dan kesihatan diabaikan.
Pada pendapat saya, kita tidak perlukan satu-satu kementerian untuk menguruskan isu perpaduan negara kerana menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa menerapkan nilai perpaduan. Perkara ini ibarat menyampaikan mesej yang salah di mana kita menetapkan isu perpaduan hanya perlu dijaga oleh kementerian tersebut.
Bagaimana cara memberi kesedaran kepada masyarakat yang perbezaan kaum dan agama bukan penghalang untuk kita berjaya dalam apa juga bidang?
Pandemik Covid-19 adalah contoh terbaik. Masa itu ramai sakit dan pekerja perubatan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE). Jadi, kita tidak boleh lihat wajah ataupun warna kulit mereka. Namun, kita memerlukan mereka untuk pulihkan kita. Ketika ini kita sedar, apa-apa mengenai kaum dan agama tidak penting tetapi kita fokus dengan perkara yang lebih penting, iaitu cara untuk kita pulih. Masa itu, kita tidak sebut mengenai identiti mereka tetapi kita pasti yang menyelamatkan nyawa kita adalah pekerja barisan hadapan iaitu warga Malaysia.
Apa sebenarnya paling penting adalah kita perlu cari pemimpin yang bersih kerana apabila pemimpin bersikap demikian, maka duit rakyat akan disalurkan semula kepada rakyat melalui program atau bantuan. Seorang pemimpin tidak harus terlibat dengan rasuah dan harus mempunyai integriti yang tinggi serta sentiasa mengalu-alukan semua lapisan masyarakat dengan bersikap menyeluruh.
Ada ahli Parlimen dipersenda dan diperkecilkan hanya kerana umurnya muda. Apa komen YB?
Kalau ini berlaku pada zaman yang tiada media sosial, sudah tentu saya sedih. Namun kini, apabila perkara tersebut berlaku, cukup senang untuk kita tunjukkan kepada masyarakat melalui media sosial sikap negatif pemimpin-pemimpin terbabit. Kebanyakan pengguna media sosial adalah golongan muda.
Kita tidak harus lupa, anak muda ini juga adalah pengundi dan bakal mengundi. Kita perlukan satu sama lain. Pemimpin berumur yang mempunyai pengalaman, mungkin kurang tenaga dan idea, begitulah sebaliknya. Saya berpendapat, kita harus mempunyai satu platform yang mempunyai pemikiran daripada kedua-dua pihak untuk capai keseimbangan.
Untuk kita bina negara, kita perlukan perpaduan, bukan sahaja daripada kepelbagaian kaum tetapi juga kepelbagaian generasi.










