Anwar Que sera sera - Utusan Malaysia

Anwar Que sera sera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Anwar Ibrahim semestinya tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana itulah persetujuan dalam rundingan asal kepemimpinan Pakatan Harapan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum melangkah masuk gelanggang pilihan raya umum ke-14, 9

Mei 2018. Antaranya Dr. Mahathir akan memegang jawatan nombor satu itu sekurang-kurangnya dua tahun.

Dan Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah ma­suk ke Putrajaya.

Lagipun adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak 50 kerusi pada PRU-14, selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR.

Begitupun jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya jua.

Janji Dr. Mahathir memilih Anwar tidak ditunaikannya, walaupun selepas beliau meletak jawatan PM ke-7, Februari tahun ini.

DI LUAR KAWALAN

Rabu lalu 23 September, Anwar menggemparkan negara dengan mendakwa “sudah memiliki majoriti kukuh” untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong membentuk kerajaan baharu. Tetapi dengan pantas disangkal keras oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau masih Perdana Menteri berpandukan pengiktirafan perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong.

Apakah kali ini apa yang diinginkan presiden PKR itu untuk menjadi Perdana Menteri akan terlaksana?

Seingat saya, ada perkataan yang sering diungkapkan oleh Anwar tentang dirinya – que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, ‘masa hadapan di luar kawalan”.

Jom kita selami sejenak lagu “Que Sera Sera” dendangan Doris Day berikut:

When I was just a little girl
I asked my mother, what will I be
Will I be pretty
Will I be rich
Here’s what she said to me

Que será, será
Whatever will be, will be
The future’s not ours to see
Que será, será
What will be, will be

When I grew up and fell in love
I asked my sweetheart, what lies ahead
Will we have rainbows
Day after day
Here’s what my sweetheart said

Que será, será
Whatever will be, will be
The future’s not ours to see
Que será, será
What will be, will be

Now I…

ONAK DURI

Ya, sudah dua kali Presiden PKR que sera sera. Pertama, pada 2015 semasa tenang mengetahui keputusan satu kes melibatkan dirinya akan diketahui sekitar Februari tahun itu.

Dan kali kedua, que sera sera diungkapkan ketika beliau mengulas ringkas persepakatan Pas-UMNO pada 2018.

Ungkapan itu asalnya daripada bahasa Sepanyol yang menjadi popular selepas digunakan sebagai lirik lagu pada 1956 oleh penyanyi Amerika Syarikat, Doris Day.

Dari bait-bait lagu itu terkandung makna yang cukup mendalam.

Kalau dikaitkan dengan Anwar, tentu sekali berkisar “untuk menjadi Perdana Menteri”.

Que sera sera boleh dikaitkan laluan penuh onak duri yang dihadapi Anwar dalam sehingga kemuncak politiknya hari ini. Dan senario politik semasa di negara ini realitinya kalau que sera-sera tidak sahaja berkait dengan Anwar semata-mata, tempiasnya kena kepada rata-rata mereka yang pernah atau kini menjadi pemain dalam lapangan itu.

Bertembung, bertentangan, berselisih pendapat dan bertaut kembali dalam sesebuah parti politik bukan perkara luar biasa. Lihat sahaja peranan pemimpin yang terdahulu.

Kisah Tunku Abdul Rahman dengan Dr. Mahathir Mohamad dan Musa Hitam boleh disingkap kembali sebagai satu bab pertembungan sengit sehingga Dua M terpaksa dipecat dari parti atas desakan Tunku dalam mesyuarat Majlis Tertinggi 1970.

Dr. Mahathir menulis surat terbukanya kepada Tunku, menyatakan kesilapan perjuangan Tunku yang didapatinya kurang tertumpu kepada kepentingan bumiputera dalam persaingan hak ekonomi negara.

Musa yang dikenali berpandangan tajam terhadap style pemerintahan Tunku menyebabkan beliau terpaksa merantau, belajar ke Universiti Sussex, United Kingdom hampir dua untuk memperoleh ijazah Masters sambil meredakan keadaan di Kuala. Kedua-dua pemimpin ini dipandang radikal masa itu dan akhirnya bergabung menjadi pemimpin besar UMNO.

Bagi seorang pemimpin UMNO dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah pula, hajat asal bukan hendak menubuhkan parti Semangat 46 setelah tewas tipis 43 undi dalam perebutan jawatan Presiden UMNO 1987.

Hajat asalnya hendak menghidupkan UMNO Lama dengan panggilan UMNO Malaysia setelah UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Malangnya pihak berkuasa enggan menerima cadangan itu. Que sera sera, akhirnya Semangat 46 kembali ke pangkuan UMNO secara rasmi pada 6 Oktober 1996.

ISI DAN KUKU

Sebelum 1997, gandingan Dr. Mahathir dan Anwar adalah ma­sing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam isi dengan kuku.

Pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta tohmahan dan fitnah memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum menjadi kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat ta­ngan dengan Ketua Umum PKR itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.

“Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar waktu itu.

Que sera sera. Selama lebih 60 tahun UMNO dan Pas berseteru sejak Haji Ahmad Fuad Hassan meninggalkan UMNO pada 1951 sehingga membawa kepada penubuhan Pas. Tetapi hari ini dua parti terbesar orang Melayu itu bertaut atas prinsip sama memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

Que sera sera, lagu bernada anak-anak dan ringkas tetapi memiliki makna cukup mendalam. Menghayatinya membuatkan saya merenung sejenak – kita harus menjalani hidup sebagai manusia yang bersahaja, manusia seutuhnya dan manusia yang baik. Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun terjadi nanti.

LAWAN BOLEH JADI KAWAN

Dr. Mahathir pernah menjelaskan, dalam politik tiada yang kekal. Kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan. Yang kekal perjuangan dan isu-isu yang dibawanya.

Perdana Menteri yang muncul kembali mengejutkan dunia dalam usianya 94 tahun (kini 95) telah menempuh segala pahit-maung dan saat-saat manis dalam perjuangannya. Ungkapannya tepat dan ketepatan itu diperakukan ramai kerana kita telah tersua banyak peristiwa dan kejadian yang membuktikan falsafah itu sebagai kenyataan sejagat.

Begitu pun, walau apa lagu sekali pun mendatang, que sera sera kah, waima falsafah itu dan ini pun, saya cukup insaf dan ingin berkongsi dengan sesiapa pun pemain dalam lapangan politik ini – jangan dilupai bahawa nasib dan jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya.

Terdapat ramai personaliti pada masa lalu mempunyai peluang dan keupayaan untuk menjadi pemimpin muktamad.

Tetapi disebabkan Dia tidak mengizinkan, mereka terpaksa berhenti pada satu tahap dalam kerjaya politik dan akhirnya tergolong dalam kumpulan yang biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN