72,000 orang dibuang kerja, sektor yang tidak terjejas jangan burukkan keadaan - Utusan Malaysia

72,000 orang dibuang kerja, sektor yang tidak terjejas jangan burukkan keadaan

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Rakyat tertanya-tanya apa nasib mereka jika pandemik Covid-19 berterusan dalam jangka masa lebih lama? Apa jadi dengan ekonomi negara? Dan kebimbangan paling utama tentulah hilang pekerjaan.
Berikutan keadaan ekonomi tidak menentu ditambah tempoh lanjutan moratorium yang bakal berakhir, Mingguan Malaysia menemu bual Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan bagi mendapatkan pandangan.

Dalam wawancara eksklusif yang disertai wartawan Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub serta jurugambar Fauzi Baharudin, beliau mengakui memang banyak sektor terjejas, tetapi sektor yang tidak, jangan ambil kesempatan membuang pekerja dan membayar gaji rendah.

Selain mengupas isu pekerjaan, beliau yang juga Timbalan Presiden MIC turut menyentuh isu-isu politik.

KRISIS PEKERJAAN

MINGGUAN: Sejauh mana pandemik Covid-19 beri kesan terhadap industri kerja?
Kita anggarkan mungkin akan sempat memerangi Covid-19 pada penghujung 2020. Tetapi dengan kewibawaan pemimpin kerajaan PN sekarang, dan juga kerjasama rakyat, kita sempat walaupun bukan 100 peratus, membawa keadaan menjadi terkawal. Dalam tempoh yang tidak lama kita sudah boleh membenarkan sektor-sektor pekerjaan beroperasi semula, sekali gus mengurangkan risiko pengangguran.

Boleh beri contoh?
Kalau kita bandingkan data Mei dengan Julai, ada perbezaan. Walaupun seluruh dunia, kadar pengangguran meningkat, tapi negara ini kadarnya menurun. Daripada 5.3 peratus kepada 4.7 hingga 4.9 peratus. Maksudnya kita berjaya kurangkan kadar peratusan pengangguran.

Nisbah pencari kerja dengan jumlah pekerjaan ditawarkan semasa musim pandemik?
Hari ini kita lihat walaupun kita belum ada satu angka yang jelas, tapi buat masa ini yang berdaftar dengan Perkeso dalam kalangan pencari kerja yang diberhentikan kerja adalah lebih kurang 72,000 orang. Ini jumlah setakat awal September, diambil daripada awal Mac, 2020.
Sektor-sektor tidak formal, kami belum ada data, contohnya kedai makan yang tidak didaftar dengan Perkeso, banyak kedai makan sudah tutup dan kita belum ada angka.

MAJIKAN TAWAR GAJI
TAK SETIMPAL?

Ada segelintir majikan gajikan pekerja di bawah paras gaji minimum atas alasan take it or leave it dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.
Memang keadaan ini berlaku. Sebab itu, kerajaan umumkan subsidi upah. Ini supaya membantu golongan majikan membayar pekerja mengikut kadar ditetapkan. Kalau kita lihat subsidi upah RM1,200 banyak membantu golongan majikan supaya bukan sahaja tidak membuang pekerja, malah pada masa sama memberi gaji yang sepatutnya dibayar.
Tapi masih ada juga segelintir membayar di bawah paras gaji minimum dan ini satu kesalahan. Tapi dalam kes tertentu, kita benarkan. Misalnya, jika majikan dan pekerja berbincang untuk kurangkan gaji. Ada juga syarikat yang secara ikhlas, mereka tidak mampu beroperasi. Contohnya, sektor perhotelan dan pelancongan, mereka memang tidak berkapasiti beroperasi dan membayar gaji. Tapi ada majikan masih membayar gaji (dengan kadar lebih rendah), namun memberi jaminan dibayar sehingga dapat kerja lain. Jadi dalam kes tertentu, perbincangan antara majikan dan pekerja tidak menjadi kesalahan.

Apa langkah kerajaan kawal isu babitkan majikan-pekerja?
Kita sedang mengawasi keadaan. Banyak juga kita terima aduan khususnya kes yang masuk ke Mahkamah Perusahaan. Betul, ada juga syarikat yang ambil kesempatan sebab bukan semua sektor ekonomi merosot akibat pandemik. Contohnya, sektor peruncitan, sarung tangan, produk kesihatan, keselamatan dan produk makanan memang perniagaannya bagus. Jadi tiada alasan untuk sektor-sektor ini mengurangkan bayaran gaji. Jangan burukkan lagi keadaan dengan ambil kesempatan ke atas pekerja.

EKONOMI BURUK 2021?

Bagaimana nasib pekerja pada 2021, susulan tempoh lanjutan moratorium yang akan berakhir sekali gus mengakibatkan lebih banyak syarikat gulung tikar?
Pertama sekali, keadaan ini masih belum jelas. Ini hanya anggaran dan unjuran. Yang kedua, sebagai kerajaan yang prihatin, kita tidak tunggu sehingga 2021. Sebaliknya kita mula laksanakan program-program untuk menganalisis dan anticipate keadaan itu. Di peringkat kementerian, ia termasuk re-skilling, up-skilling dan cross-skilling serta latihan-latihan baharu, malah memperkasa ekonomi gig (gig economy).
Pada masa sama, kita berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya longgarkan syarat-syarat berniaga dan pelesenan demi memudahkan peniaga-peniaga kecil. Mungkin dalam krisis ini, kita akan berupaya lahirkan lebih ramai `Mak Cik Kiah’.

ELAK REVOLUSI PEMBERONTAKAN

Bagaimana ekonomi gig membantu?
Salah satu sebab kalau kita lihat, mungkin dalam 5.3 peratus itu yang mewakili lebih 500,000 belia yang menganggur akibat pandemik, tambahan pula September ini kita akan terima lebih kurang 350,000 graduan baharu serta kira-kira 200,000 pekerja tempatan yang bekerja di luar negara akan pulang ke tanah air, maka kita ada lebih kurang satu juta pekerja – khususnya belia yang memerlukan pekerjaan.
Tapi meskipun angka ini besar, kita tidak lihat sebarang revolusi di negara ini, sebab peluang-peluang menjana pendapatan yang wujud melalui ekonomi gig ini.
Contohnya, seorang graduan, kalau zaman dahulu dia tiada pekerjaan, dia tiada pendapatan. Tapi kini graduan apabila tiada pekerjaan dalam tempoh pengangguran, dia masih boleh bawa Grab. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan minimum melalui sektor ekonomi gig.

Adakah ekonomi gig ini boleh bertahan lama?
Ia sekurang-kurangnya boleh menjamin rakyat Malaysia mampu ada makanan di atas meja mereka. Mereka boleh pastikan perut beralas, itu yang paling penting hari ini.
Jadi rakyat kena faham yang pertama krisis ini bukan hanya di Malaysia, sebaliknya krisis global. Kedua, hari ini kita lihat negara seperti Bangladesh, India tiada peluang seperti ini. Malaysia adalah negara yang cukup kaya dengan sumber, sekali gus memastikan rakyat sekurang-kurangnya ada pendapatan. Walaupun bukanlah kaya-raya, tapi sekurang-kurangnya ada pendapatan walaupun tidak besar jumlahnya.
Kalau warga Malaysia buat keputusan, rela bekerja dalam sektor 3D (bahaya, sukar dan kotor), sebenarnya terlalu banyak peluang kerja. Masih ada industri memohon kepada saya agar dibenarkan membawa masuk pekerja asing bagi memenuhi tuntutan kerja 3D yang dimaksudkan. Cuma kerajaan buat keputusan untuk tidak benarkan, sehingga keadaan stabil.

Apa jaminan, ekonomi gig boleh pastikan rakyat ada makanan di atas meja?
Sebab itu kerajaan akan memperbanyakkan latihan, untuk mereka menceburi sektor baharu berbanding apa yang dipelajari sewaktu di kolej atau universiti. Hari ini kita lihat sektor pembinaan dan sektor tertentu lain sudah mula beroperasi. Ini menambahkan peluang kerja.

Sektor mana sekarang yang paling banyak memerlukan pekerja?
Yang kita lihat, yang kita terima setakat hari ini, sektor perkhidmatan perlukan pekerja manakala pilihan mereka adalah pekerja asing.
Kerajaan tidak benarkan pekerja asing buat masa ini dengan niat menggalakkan peluang itu tadi diberikan kepada pekerja tempatan. Maka saya sudah minta semua pemain industri khususnya di sektor perkhidmatan, frontliner seperti juruwang dan sebagainya, mereka harus menggunakan warga tempatan.
Sebenarnya hari ini, kos merekrut pekerja asing bukan lagi murah. Dengan pengumuman menguatkuasakan Akta 446, yang mana majikan wajib sediakan makanan, penginapan dan kemudahan selesa kepada pekerja warga asing, jadi kos merekrut mereka tinggi. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos kepada majikan.

Apa langkah kerajaan untuk tarik rakyat bekerja dalam sektor 3D?
Kita perlu terima bahawa Malaysia kini adalah negara membangun. Ini bukan sahaja di Malaysia, kalau kita pergi mana-mana seluruh dunia, negara membangun, kumpulan kelas pertengahan tidak akan buat kerja 3D. Ini bukan berlaku di Malaysia sahaja.
Macam di London itu, orang Inggeris kelas pertengahan hendak buat kerja 3D? Di Dubai, kelas pertengahan nak buat kerja di sektor 3D? Di Singapura, jiran kita sendiri pun mereka tak buat (kelas pertengahan ceburi industri 3D).
Ini satu budaya, kita kena terima apabila negara sedang membangun ini adalah realiti. Dulu bapa saya adalah seorang penoreh getah. Kini macam mana susah pun, saya tidak akan jadi penoreh getah. Itu keadaan lain, apabila negara sedang membangun dan kumpulan kelas pertengahan tidak mahu membuat kerja-kerja 3D, ini seluruh dunia sedang berlaku.

MIC ada aset RM1 bilion

POLITIK SEMASA

Kerusi yang akan dituntut MIC jika menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut?
Pada saya, dalam masa sekarang untuk minta tambahan kerusi, itu tidak adil lah. Walaupun ada ruang. Mengambil kira parti Gerakan bukan lagi komponen dalam BN. Ada lebih kurang sembilan kerusi kosong yang sebelum ini diwakili Gerakan.
Tapi kita dalam usaha mengekalkan kerajaan hari ini demi memastikan ia dapat mentadbir dengan stabil. Maka tidak adil untuk MIC minta kerusi tambahan buat masa ini. Yang penting, kekalkan kerajaan ini dan MIC punya pendirian kita kekalkan hanya sembilan kerusi yang sebelum ini kita bertanding. Pada masa sama, kita bersedia berbincang dengan pucuk pimpinan BN supaya mengkaji semula, sekiranya MIC tidak boleh menang di mana-mana kerusi, kita serah kepada parti-parti lain yang boleh menang dalam kalangan BN.

JANGAN RAMPAS TUGAS BAPA PEMBANGUNAN INDIA

Adakah MIC tergugat apabila Bersatu umumkan ingin tubuhkan sayap bukan Bumiputera?
MIC tak rasa tergugat, tetapi memang rasa kurang senang. Sebab apabila MIC dah bekerjasama dengan PN, tanggungjawab kita untuk pastikan membawa sokongan kepada masyarakat India. Kita hanya boleh bawa masuk sokongan masyarakat India melalui parti tunggal dalam mana-mana komponen.
Masyarakat India bukan komuniti yang terbesar, ia komuniti yang sangat kecil. Sepatutnya mana-mana pihak tidak perlu pecah-belahkan masyarakat India. Tak perlu mana-mana pemimpin lain menjadi bapa pembangunan masyarakat India. Biar pemimpin India jadi bapa pembangunan masyarakat India, itu sudah cukup. Jangan rampas tugas bapa pembangunan India, sudahlah.
Saya juga berpendapat, tindakan Bersatu buka parti kepada kaum lain akan datangkan masalah kepada mereka. Sebab, negara ini harus ditadbir parti Melayu dan pembangkang seperti PKR, mereka bukan parti Melayu. Jadi kita tak boleh ada keadaan yang mana bukan Melayu yang menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri.

Tidak bergantung kepada gaji menteri sahaja

Komen mengenai isu pendapatan Datuk Seri lebih RM100,000 sebulan?
Saya sebagai anggota pentadbir, saya kena beri maklumat tepat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebelum ini, apabila menjadi penganggur terhormat tanpa jawatan, saya ada banyak masa. Dengan pengalaman sebelum ini dalam sektor pertanian, saya menceburi diri dalam penanaman pokok kelapa jenis pandan dan matag.

Di mana lokasinya? Berapa luas?
Luasnya 11 ekar, di Tanjung Malim. Kita dah mula ada hasil. Saya ada pendapatan tambahan, bukan bergantung kepada gaji kerajaan sahaja.
Saya jual kelapa muda. Sebiji harga sekarang, kalau jual borong dekat RM1.60, kalau saya buat retail dekat-dekat RM6.00 hingga RM7.00. Sebulan saya jual kira-kira 50,000 kelapa, jadi bukanlah gaji bergantung kepada kerajaan sahaja. Tapi mustahil tiba-tiba jadi menteri, terus tebang semua pokok kelapa?

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×