BALING: Tiga beradik gembira apabila impian mereka untuk menduduki rumah yang selesa tercapai selepas dibaik pulih Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Seberang Ketil, Kupang di sini semalam.
Tiga beradik itu, Shafiqah Said, 23, Nur Shafinah, 21, dan Shafizah, 14, yang sebelum ini tinggal di rumah yang daif peninggalan arwah bapa mereka yang meninggal dunia sembilan tahun lalu.
Rumah mereka kemudian dibaik pulih menerusi Projek Baiti Jannati TNB.
Nur Shafinah berkata, mereka tidak mampu membaik pulih rumah yang daif itu kerana kesempitan hidup.
“Saya dan Shafizah bergantung kepada Shafiqah yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari.
“Perbelanjaan kami juga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan manakala saya dan Shafizah pula menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM100 sebulan setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB 2020 peringkat negeri Kedah di sini, semalam.
Rumah yang dibaik pulih itu diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Brig. Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad dan hadir sama Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB negeri, Wan Ishak Soed.
Nur Shafinah menambah, mereka bersyukur kerana dapat tinggal di rumah yang cantik dan selesa selepas ini.
Katanya, TNB dan beberapa pihak lain juga menyediakan pelbagai kelengkapan serta peralatan elektrik untuk keselesaan mereka.
“Alhamdulillah impian saya untuk tinggal di rumah yang selesa akhirnya tercapai,” katanya. – UTUSAN ONLINE










