Bagi penggemar irama blues dan rock di Malaysia, Ito bukanlah nama asing, malah sejak era 70-an lagi penyanyi bersuara husky ini sudah mencipta nama bersama kumpulan Blues Gang yang ketika itu dianggotai bersama Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Dato’ Abu Talib (gitar kedua/keyboard), Jim Madasamy (Bass/Vokal), Shaik Karim (Dram/Vokal) dan Ian Anderson (gitar utama).
Walaupun genre blues bukanlah antara yang menyerlah di Malaysia, namun Ito dan Blues Gang berjaya membuktikan kehebatan mereka apabila setiap album yang dikeluarkan berjaya mencuri hati peminat.
Boleh dikatakan hampir keseluruhan 12 album Blues Gang dan 10 album solo Ito dijual dengan angka tertinggi. Ia adalah penghormatan buat sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama blues.
Natijahnya, hampir 40 tahun lagu-lagu Blues Gang masih berkumandang di radio tanda diterima peminat, namun bagi Ito semua itu tidak memberi makna kerana sebagai penyanyi dia tetap merasakan haknya masih dirampas kapitalis yang mengutip hasil keringatnya selama ini.
Lanun cetak rompak
Ito berpendapat syarikat rakaman masih memberikan layanan yang tidak adil untuk penyanyi sepertinya. Bersama Mingguan Malaysia, otai blues empunya nama sebenar Mohd. Arif Kendur, 70, ini berkongsi cerita meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan senario yang berlaku hari ini.
“Cerita artis kena `kencing’ dengan tauke label ini bukan isu baharu. Isu ini dah lama aku bangkitkan, tapi sampai ke hari ini langsung tiada apa-apa tindakan. Jadi, apa yang aku boleh buat sekarang hanyalah menyuarakan isu ini kembali agar ada ‘orang di atas’ itu yang boleh kembali mendengar dan kembali melihat.
“Peminat ingat artis ini kaya bila lagu tiap-tiap hari main di radio, tapi sebenarnya yang kaya syarikat rakaman, artis bukan dapat apa pun! Siapa yang buat lirik dan lagu kira untung jugalah sebab dapat royalti. Tapi mana yang tiada itu memang dapat habuklah! Nasib baik ketika dengan Blues Gang dulu aku banyak buat lagu, kiranya aku bertuah jugalah,” ujarnya kesal.
Menurut Ito, ketidakadilan ini berpunca daripada kapitalis di syarikat rakaman yang mempergunakan artis sebagai tempat mereka mencari makan, sedangkan artis sendiri merempat dan tidak mendapat hasil setimpal dengan usaha mereka selama ini. Itulah antara salah satu sebab mengapa artis Malaysia tidak hidup senang seperti artis di luar negara.
“Ambil contoh kumpulan Blues Gang. Sampai hari ini lagunya masih diputarkan di corong radio dan dinyanyikan di karaoke, tetapi setiap tahun bila buat declaration berapa sen yang aku dapat? Ciput saja bro!
“ Selebihnya semua syarikat rakaman sapu! Bayangkan dari 1979 sampai 2020 mereka masih makan hasil lagu-lagu kami. Sampai bila nak tamat? Tak akan tiada tarikh tamat tempoh? Sebab itulah artis Malaysia ini susah nak kaya, orang pandang saja glamor, hakikatnya hidup merempat. Mereka perah kau sampai mati beb!,” katanya.
Menurutnya, selain syarikat rakaman tidak berlaku adil pada artis, cetak rompak juga penyebab utama artis hidup melarat hingga kini. Baginya populariti bukanlah jaminan seseorang artis itu hidup mewah kerana mereka di luar tidak tahu lanun cetak rompak telah memusnahkan periuk nasi mereka selama puluhan tahun.
“Dah berpuluh tahun aku memperjuangkan isu cetak rompak ini. Banyak aku bantai lanun-lanun ini dalam lagu Blues Gang. Tapi biasalah kalau artis saja bersuara, yang di atas itu buat pejam mata dan pekak telinga susah juga.
“Aku dah puas jumpa menteri, cakap dengan mereka pasal isu ini tapi masih tiada jalan penyelesaian,” katanya.
Menurut Ito, dia pernah melakukan survey mencari album Blues Gang dari Kuala Selangor hingga ke Teluk Intan. Bagaimanapun, satu album asli pun dia tak jumpa. Yang berlambak semuanya cetak rompak!
“Aku tak tahu dah berapa banyak lanun-lanun ini kaut untung. Mungkin dah berbilion agaknya. Jika fikir balik macamanalah lanun ini senang sangat dapat master tape kita.
“Album baru selesai rakam, belum pun jual di pasaran lagi, tup-tup yang pirate dah jual di pasar malam. Part ini, rasanya kita boleh fikir kerja siapa agaknya,” jelasnya.
Pernah suarakan
Menurut Ito sebagai penghibur, dia bersusah payah menjaga mutu dan kualiti karya, namun produk mereka seperti tiada harga, dilambakkan di pasar malam seperti sayur dan belacan. Tiada pemantauan yang kerap juga punca utama gejala tersebut tidak dapat dibendung.
Berikutan itu, katanya, pada 1985 dia pernah menyuarakan agar akta cetak rompak diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan bukannya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, alasannya supaya dilihat lebih efektif.
Ito berpendapat, kerajaan pada hari ini perlu melihat kembali masalah ini kerana industri hiburan tempatan juga memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara.
Jangan asyik nak kahwin artis
Tegasnya, kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk menjaga kepentingan artis daripada selamanya dibuli oleh ‘jerung-jerung kapitalis’ dan lanun cetak rompak yang masih berleluasa sehingga kini.
“Aku dah letih suarakan hal ini, tapi idea aku orang tak terima, jadi aku nak cakap macam mana? Jadi, di sinilah fungsi menteri untuk tolong artis, jangan asyik nak kahwin dengan artis saja!
“Artis kena fikir bab ini. Menyanyi ini kira macam satu perniagaan juga. Kena fikir untung dan rugi. Yang bernaung di bawah syarikat rakaman kena study lebih sikit, takut nanti rugi sampai ke tua,” tegasnya.
Menurutnya, artis juga memerlukan platform untuk memperjuangkan nasib dan hak mereka seperti isu royalti, insurans, Socso dan KWSP, ini bertujuan melindungi kebajikan mereka di hari tua kerana sejak kebelakangan ini banyak artis terkenal satu ketika dahulu hidup melarat sehingga memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.
Terkini, Ito sedang giat mengusahakan syarikat pengurusan acara bersama anak bongsunya Mohd. Kid Afero, yang berpusat di Diamond Square, Gombak.
Menurutnya, selain membekalkan keperluan acara majlis dan produksi, syarikat tersebut juga merancang mengadakan festival blues terbesar di ibu negara seperti yang pernah diadakan di Langkawi pada 2018.
“Insya-Allah jika ada bajet besar, mungkin aku akan buat di Kuala Lumpur. Selain persembahan kumpulan tempatan, aku juga bercadang menjemput kumpulan Slank dan Iwan Falls dari Indonesia.
“Sekarang ini, aku banyak habiskan masa di Tampin, Negeri Sembilan. Aku tak boleh duduk lama-lama di KL ini. Serabut bro! Duduk di kampung best dan aman sepanjang masa. Boleh rehat panjang sambil fikir masalah Malaysia ini,” katanya menutup perbualan. – UTUSAN










