Tak perlu kenal rupa - YAPH - Utusan Malaysia

Tak perlu kenal rupa – YAPH

YAPH atau nama sebenar, Hakim Anuar -Mingguan/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seringkali yang mempunyai paras rupa cantik akan diketengahkan untuk menjadi artis walaupun bakat tidak seberapa. Kesempurnaan penampilan biasanya dijadikan aset utama untuk menjadi terkenal di mana-mana pun.
Namun bagi Hakim Anuar yang dikenali ramai sebagai YAPH (Yang Aku Panggil Hidup), paras rupa langsung tidak penting untuk menarik perhatian ramai selagi ada bakat.
Sejak tiga tahun lalu, dia memang tidak pernah menunjukkan wajahnya yang sebenar kepada media. Penampilannya yang menutupi muka menggunakan kain chiffon berwarna hitam, memakai topi dan pakaian serba gelap seakan-seakan The Bride in Black, itulah gaya yang ingin ditonjolkan.
“Saya ingin buktikan kepada semua, saya boleh pergi jauh dengan muzik tanpa orang kenal muka saya. Saya inginkan privasi dan kurang suka bergaul,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu kepada Pancaindera baru-baru ini.
YAPH memuat naik beberapa lagunya dalam laman Youtube yang mencecah beberapa juta pendengar
Dilihat mempunyai bakat besar, YAPH melakukan semuanya. Dialah penulis lirik, penyanyi dan komposer muzik. Walaupun hanya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mampu menimba ilmu dalam muzik melalui internet dan rakan-rakan kerana minatnya yang mendalam dalam bidang itu.
Lagunya yang bertajuk Pemergian adalah yang paling popular sehingga meraih tiga juta pendengar di Youtube. Kebanyakan lagu YAPH menceritakan tentang pengalaman hidupnya.
“Saya bukan seorang yang senang untuk meluahkan perasaan kepada orang lain, jadi, saya pilih untuk luahkan melalui lagu-lagu saya,”jelasnya.
Lagu Pemergian itu, katanya, tentang bagaimana dia menghadapi kehidupan dalam keluarga yang mempunyai banyak masalah sewaktu kecil dulu.
“Semua yang kita lakukan dalam hidup ini mesti bertujuan, jadi saya buat lagu untuk menyelami jiwa orang yang pernah lalui apa yang saya lalui supaya mereka tahu mereka tidak keseorangan,” jelasnya.
Seperti idolanya, Faizal Tahir, YAPH ingin menjadi seorang pemuzik yang dapat membuat orang ramai menghayati karyanya, cuma bezanya dia tidak mahu menunjukkan wajahnya.
Selain laman Youtube, YAPH turut mengeluarkan beberapa album di Spotify. Antaranya adalah Nutella & Kopi O dan Malam. –Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN