SPRM buka tiga kertas siasatan pembelian aset Mara di Australia - Utusan Malaysia

SPRM buka tiga kertas siasatan pembelian aset Mara di Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aduan rasuah membabitkan penjualan hartanah Dudley International House, Melbourne kepada MARA Inc pada 2013.

Hasil siasatan yang dijalankan itu, seramai 70 orang saksi diambil keterangan yang mana SPRM telah mengemukakan per­mohonan Mutual Legal Assistance (MLA) kepada pihak Australia Federal Police (AFP) sebanyak tiga kali iaitu pada 2016 dan 2017 bagi membantu mendapatkan keterangan tujuh orang saksi di sana.

Difahamkan, tiga kertas siasatan yang dibuka itu memba­bit­kan tiga blok pangsapuri ber­kenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya memberitahu, tujuh saksi tersebut merupakan rakyat Malaysia yang telah mendapat pemastautin tetap negara berkenaan.

Ujarnya, SPRM bagaimanapun telah menerima maklumbalas daripada AFP pada 2019 yang mana agensi tersebut yang juga sedang menjalankan siasatan ke atas isu berkenaan.

Oleh demikian, mereka tidak dapat membantu memperoleh dokumen dan keterangan saksi bagi mengelakkan prejudis kepada siasatan mereka.

“Di peringkat dalam negara, siasatan telah pun selesai. Cuma kita masih menunggu maklumbalas AFP bagi mendapatkan dokumen selain memperoleh keterangan tujuh orang saksi penting di Australia.

“Sehubungan itu, SPRM akan menghubungi semula pihak AFP untuk mengaktifkan semula permohonan MLA setelah mendapati laporan pertuduhan oleh AFP ke atas salah seorang saksi yang terlibat telah pun dituduh baru-baru ini,” katanya.

Siasatan penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada Mara Inc. pada 2013 diserahkan sepenuhnya kepada SPRM.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun baru-baru ini mendedahkan pihaknya sudah memberikan kerjasama sejak kes itu dibangkitkan pihak berkuasa Australia pada perte­ngahan 2015.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mahkamah di Australia membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada Mara Inc. pada 2013.

Sejak 2015, Mara mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan SPRM terhadap anak syarikatnya itu berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Terdahulu, akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi Mara, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh Mara Inc. untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya apabila me­lanjutkan pelajaran di Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN