Soal hidup, jodoh Anuar Zain - Utusan Malaysia

Soal hidup, jodoh Anuar Zain

Anuar Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUJUR hati cukup berdebar tatkala figura hebat ini bersetuju untuk hadir ke sesi fotografi. Bukan calang-calang auranya, layak berbaris sebagai antara mogul seni negara. Hanya satu, Anuar Zain.

Pertemuan diatur dengan cukup rapi. Setiap detik tidak seharusnya dipersia. Apatah lagi, peluang untuk bersua bicara dengan penyanyi ini bukan mudah untuk diraih.

Bukan terlalu menjaga nilai eksklusiviti, namun bagi Anuar, jika tiada cerita mahu dikongsi, untuk apa dia gempita mencanang. Dia tidak perlu publisiti murahan untuk kekal relevan.

Namun sebelum gelanggang bicara soal kerjaya dibuka, mata terkunci melihat wajahnya yang kekal muda. Memasuki pusingan usia separuh abad, Anuar kekal tampan.

Perlahan soalan mula ditanya, adakah di usia itu, dia terbuka soal pembedahan plastik. Sementelah, itu adalah salah satu cara untuk kekal awet muda biarpun segelintir memandang sinis.

Seraya tergelak kecil, sambil mengambil nafas perlahan, pelantun lagu Lelaki Ini secara eksklusif mendedahkan dia pernah melakukan suntingan botox di wajah untuk kekal muda.

“Saya terbuka untuk berkongsi cerita. Sebelum ini pun saya pernah mengakui melakukan rawatan menegangkan kulit wajah, Jadi, tiada apa yang saya mahu sorok.

“Terpulang kepada individu itu sama ada mahu buat pembedahan plastik atau tidak. Buat apa yang kita suka. Jangan berdiri di atas lantai prinsip atau arahan orang lain.

“Secara peribadi, saya cuma mahu kekal awet muda di wajah bukan mengubahnya. Sekiranya perlu atas urusan kerja, lakukannya di atas kemahuan diri sendiri,” katanya memulakan bicara.

Alang-alang berbicara soal hidup, tidakkah adik kepada penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain ini berkecil hati tatkala berdepan dengan soalan tentang jodoh daripada peminat.

Masakan tidak, di usia 50 tahun, pastinya acap kali dia harus menjawab soalan itu. Mahu tidak mahu, itu adalah lumrah hidup.

“Soal jodoh, semuanya telah ditulis oleh yang Maha Esa. Bukan sekali dua merancang, hampir tiga kali saya mahu naik pelamin. Namun jodoh tidak panjang.

“Dulu memang terasa hati, tetapi lama-kelamaan rasa biasa sahaja. Tapi kalau boleh janganlah rasa ingin tahu itu menimbulkan keaiban orang lain,” ujarnya dengan nada tegas.

Lelaki berjiwa hamba

Membuka lembaran bicara baharu, di tangga usia hampir empat dekad dalam industri, pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini sudah tiada apa yang mahu dibuktikan. Sejarah seninya cukup hebat untuk dibentangkan.

Apa yang hatinya mahu kini adalah untuk terus berkongsi kegembiraan dan rasa cintanya terhadap muzik. Bersua bicara dengan penyanyi muda, berkongsi cerita dan ilmu adalah objektifnya kini sebagai penyanyi yang terbukti hebat.

“Saya tidak apa-apa yang mahu dibuktikan atau kejar. Saya hanya penyanyi yang suka menyanyi. Saya mahu berkongsi dengan peminat dan rakan artis tidak kira muda atau tua.

“Jujur, saya belum cukup layak untuk menasihati penyanyi lain. Saya bukan belajar vokal pun. Lebih baik tugas itu diberikan kepada mereka yang lebih layak,” kata penyanyi berjiwa hamba ini.

Sedar dunia media sosial ibarat zon perang yang dipenuhi pejuang papan kekunci, penyanyi Sedetik Lebih ini harus bijak menyusun perjalanan kariernya.

Di saat ramai rakan artis berdepan serangan peluru kecaman, Anuar lebih mudah untuk kekal positif dan mengelakkan daripada terjerumus ke lembah negatif serta kebinasaan kesihatan mental.

“Secara peribadi, semestinya di usia ini saya matang dalam berdepan cabaran itu. Kita harus bijak memilih mereka di sekeliling. Jadi sepositif yang mungkin.

“Jiwa anak seni amat sensitif, tetapi di zaman ini, kita perlu kuat. Bina nama dengan bakat. Biarkan si pengecam riuh berkicau. Kita fokus kepada yang sayang,” kata penyanyi yang pernah menghasilkan lima album ini.

Mengangguk setuju tatkala disoal tentang tekanan memilih single baharu, Anuar sedar peredaran trend muzik menuntutnya untuk lebih berhati-hati. Tidak mahu hentam kromo, katanya.

Mengagumi komposer muda seperti Hael Husaini, Naim Daniel dan Aina Abdul, bapa saudara kepada penyanyi bervokal hebat, Ernie Zakri ini terbuka untuk mencuba sentuhan mereka.

“Saya kira, ini adalah ‘hibernasi muzik’ yang paling lama saya ambil. Saya kaji dan cuba memahami trend muzik sekarang namun tidak mahu mengorbankan identiti sendiri.

“Malah, saya bukan jenis tangkap muat. Cuma sekarang saya mencari muzik yang lebih ringan supaya peminat lebih mudah terima,” katanya.

Sentiasa meletakkan peminat sebagai VIP dalam mencatur rentak kerjaya seninya, Anuar sedar peminat muzik semakin bijak malah lantang dalam menilai dan memberi komen tentang sesuatu karya.

“Kita tidak boleh sambil lewa bila berkarya. Mereka (peminat) berani dalam mengkritik. Kita kena beri yang terbaik dan adil.

“Namun, dalam pada masa sama peminat juga harus berhati-hati dalam memberi komen. Jangan sampai mengaibkan. Jaga akhlak bila menegur. Jika sayang, tegurlah secara hemah,” katanya. –Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN