Ikon yang disantuni Mingguan Malaysia ini seorang yang tenang baik dari segi pertuturan mahupun pekerti. Sekali imbas, dia persis Roy Buchanan, legenda muzik Blues di Amerika Syarikat tahun 1980-an.
Berkumis nipis, masing-masing nampak cool menyarungkan flat cap, cuma bezanya, Roy menjadikan gitar Fender Telecaster sebagai teman manakala sosok ini pula memilih berus dan pen sebagai `senjata’ berkarya.
Dia yang dimaksudkan ialah legenda kartunis dan ilustrasi tanah air, Mohd. Tazidi Yusof atau nama penanya Tazidi.
MEMAHAT NOSTALGIA
“Kami kartunis merintis laluan kepada pembinaan budaya, cara hidup malah rakaman sejarah zaman,” demikian katanya saat mula menutur bicara.
Jelasnya yang pernah mengemudi bahtera komik lelucon Gila-Gila selaku Ketua Pelukis, jalan itu dirintis melalui lakaran pada setiap helaian komik yang dihasilkan.
“Sewaktu era 1980-an, kampung dan desa tanah air masih kekalkan ciri. Si gadis, kalau berjalan mesti berkain batik. Teruna pula, kalau pun tidak bersarung, mesti bercapal.
“Rumah di desa waktu itu, masih berkonsepkan rumah ala kampung. Di kelilingnya ada pohon kelapa, pisang melambai terlintuk disapa bayu.
“Itu semua kami rakamkan dalam kartun yang dilukis, watak-watak dalam setiap helaian pasti bercirikan semua itu, sekali gus terakamlah sejarah pada era itu.
“Maka tidak hairanlah, setiap kartun dihasilkan, jika diimbas, pasti mengimbau kembali nostalgia,” tuturnya.
Era itu, jelasnya, menyaksikan industri komik tanah air mencapai titik optima.
“Bayangkan, dahulu kalau peminat datang bertandang ke pejabat Gila-Gila, paling kurang lima bas akan datang serentak. Kami tak menang tangan, nak melayan peminat, nak fokus pada lukisan. Deadline dah dekat pula,” katanya sambil tertawa, barangkali terkenang saat indah itu.
Namun katanya, kegemilangan yang ditempuh bersama majalah ikonik tanah air, Gila-Gila mula dibadai arus gelombang.
Ia berlaku tatkala ASEAN dilanda serangan ekonomi pada 1997. Mulai detik itu, katanya, industri komik tanah air mula suram.
BADAI JAPONISME
“Menjelang lewat 1990-an, tanah air malah seluruh ASEAN dilanda masalah ekonomi. Keadaan jadi kaku, tak terkecuali industri komik dan kartun negara.
“Tiba-tiba, datang pula tsunami baharu. Waktu itu, menderu-deru komik manga Jepun dan Hong Kong masuk ke tanah air. Mereka apa susah, cuma alih bahasa sahaja, kos pun rendah. Kami penggiat industri komik pula, terpaksa berhempas pulas.
“Nak terbitkan naskah, tapi ekonomi teruk, kuasa beli rendah. Komik luar pula menawarkan harga lebih murah lantaran kos mereka yang kecil,” ujarnya.
Susulan itu, industri komik khususnya lelucon tanah air mula merudum. Para kartunis terpaksa beralih arah, menggembleng kudrat untuk menajamkan kemahiran lain seperti membuat ilustrasi, menceburi industri kreatif lain malah ada yang angkat kaki.
Dalam mengharungi revolusi bentuk baharu itu – yang digelar Japonisme – iaitu serangan komik dari Jepun dan Hong Kong, tiba-tiba tanah air dikejutkan dengan kehadiran konsep baharu, iaitu digitalisasi (digitalization).
Hal ini membuatkan industri menjadi semakin kecamuk. Tidak cukup dengan itu, era digital juga semakin menghakis sempadan antara negara, membuatkan fenomena baharu yang jauh lebih subversif mulai menerjah ke tanah air.
Fenomena yang dimaksudkan kehadiran ideologi pro-Jepun dan pro-Korea yang ekstrem dan kini mencorakkan gaya fikir dan strok kartunis era milenial.
GENERASI DIGITAL
“Kini, para kartunis veteran sedar, anak muda yang menjadi pelapis industri, strok mereka tidak lagi mencerminkan budaya kita orang Melayu di Malaysia.
“Setiap komik milenial sekarang, kalau mata wataknya, mesti bulat besar-besar akibat terikut-ikut watak manga Jepun. Bangunan pula, dilukisnya bangunan ala Jepun.
“Kalau watak dalam kartun itu lelaki, tapi pakaiannya pula beropol-ropol sampai kita tak tahu, ini lelaki ke perempuan? Itu pula mencedok budaya Korea. Maklumlah, mereka di sana yang lelaki, kadang-kadang fesyen macam perempuan. Nama watak juga cedok nama asing, ada yang diberi nama Azumi, Ayuki dan yang pelik-pelik,” tuturnya.
RUMAH KARTUN
Menyedari bahawa pasak budaya bersendikan kartun tanah air semakin terhakis, beliau dan rakan kartunis lain mengambil inisiatif menubuhkan Rumah Kartun dan Komik Malaysia.
Galeri dan pusat sumber ilmu perkartunan ini, yang mula beroperasi pada 1 April 2017, terletak di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
“Di sini dihimpunkan segala artifak sejarah industri kartun dan komik, malah ada bahan yang dicetak 1936 dipamerkan.
“Datanglah, semoga dengan kunjungan para pelapis industri dapat belajar sejarah tanah air dari lensa para kartunis yang berpasak kepada semangat nasionalisme dan identiti Malaysia,” katanya menamatkan perbualan. – Sastera dan seni, Mingguan Malaysia










