TINGGINYA nilai sebuah lukisan itu adalah kerana pelukisnya mampu mencorakkan sesuatu yang indah dengan medium, warna, dan mesej yang disampaikan. Begitu juga dengan irama dan lagu, yang mana jika elemen itu digabungkan dengan idea dan kreativiti tinggi, pasti mampu bertahan lama, mungkin ke ratusan tahun. Bak kata pepatah tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Itu antara resipi yang cukup penting dalam minda insan bernama Hashim Said, 71, atau lebih dikenali melalui nama penanya S. Atan yang berasal dari seberang tambak Johor ini. Beliau bukan sahaja berbakat dalam menggubah lagu Melayu asli dan deli, malah sentuhannya dalam irama jazz, balad, pop dan dangdut tidak pernah diragui.
Jujurnya dia mengakui bukan mudah menjadi terbaik dalam kalangan yang terbaik, namun berkat dan usaha mendambakan diri hampir 40 tahun dalam bidang seni, dia bersyukur kerana lebih daripada 1,000 lagu gubahannya selama ini sentiasa mendapat tempat di hati peminat dan kekal relevan hingga ke hari ini.
Bertempat di Restoran Tanjung Puteri di Sri Hartamas,Kuala Lumpur komposer serba boleh ini berkongsi cerita dan meluahkan kekecewaan kepada Pancaindera terutamanya tentang isu hak dan pertukaran nama irama Melayu asli ke irama Malaysia yang pernah dibangkitkannya sebelum ini.
Irama Melayu
“Umum mengetahui karya saya kebanyakannya melibatkan irama Melayu asli dan deli, jadi saya sering berhubung dengan rakan-rakan komposer di rantau Asia terutamanya dari Indonesia, Singapura dan Brunei untuk berkongsi pengalaman dan menggali idea-idea baharu sebelum sesuatu material itu diterbitkan.
“Tup-tup muncul pula individu yang tiba-tiba tukar irama Melayu asli ini ke irama Malaysia, tak ke pelik dibuatnya? Irama Melayu asli ini adalah irama serumpun, hak milik bersama, jadi kenapa tiba-tiba kita claim irama ini hak kita? Kita tak rasa malu?
“Rakan-rakan di negara jiran juga bertanya tentang isu ini kepada saya. Mana saya nak letak muka? Harus ingat, industri kita masih jauh terkebelakang berbanding negara jiran, tapi tiba-tiba kita pula nak jadi jaguh. Jangan suka-suka mengaku itu hak kita. Ini hak yang perlu kita kongsi bersama,” tegasnya.
Menurutnya, dia sudah menyuarakan isu ini berulang kali namun tetap dipandang sepi. Adakalanya dia sudah berasa letih memberikan pendapat, mungkin kerana dia bukan sesiapa berbanding ‘mereka’ yang lebih berpengaruh dan ternama.
“Dalam muzik, kena telus dan jujur. Jangan disebabkan saya orang Singapura, maka saya dilihat seperti ingin condemn industri Malaysia. Bukan begitu! Saya sendiri pun cari makan di sini, tapi sejujurnya kita kena hormat sesama kita.
“Ambil contoh komposer kelahiran Singapura, Ahmad Jaafar yang banyak mencipta lagu Melayu asli untuk filem-filem Melayu klasik dahulu. Dia dah cipta lagu sejak awal 30-an lagi, tapi pernah tak dia claim irama Melayu asli itu sebagai irama Singapura? Tidak bukan? Walaupun dah terbukti beliau antara individu awal yang bertanggungjawab membawa irama Melayu asli ke telinga pendengar.
Diberi peluang menzahirkan kekecewaannya, S. Atan mengakui banyak perkara yang membuatkan dia terasa hati dengan industri hari ini. Antaranya peranan penganjur program pertandingan nyanyian yang rata-rata lebih mementingkan penyanyi berbanding komposer dan penulis lirik.
Cukup sekadar diiktiraf
Menurutnya, penerbit sesebuah rancangan perlu lebih peka tentang hal ini kerana mengangkat penyanyi melebihi jasa komposer dan penulis lirik adalah keterlaluan kerana tanpa mereka di sebalik tabir, penyanyi bukanlah terus dikenali .
“Golongan seperti kami ini bukanlah ingin glamor atau dipuja melangit tetapi cukup sekadar iktiraf jasa dan pengorbanan dicurahkan. Sekadar berikan penghormatan atas karya kami pun sudah memadai.
“Anda buat program, mencari lagu dan lirik terbaik, tapi bila umumkan keputusan, siapa yang anda angkat sebenarnya? Saya perhatikan isu ini sudah lama, setiap tahun pun tak pernah berubah. Kalau serius nak buat pertandingan untuk mengangkat penyanyi, silakan! Tapi sila ubah format sedia ada! Jangan jadikan komposer dan penulis lirik ini sebagai kambing hitam atau tempelan,” katanya.
Dicuit tentang kebanjiran artis baharu yang mewarnai industri hari ini, S .Atan menganggap mereka belum boleh dikategorikan sebagai artis sepenuhnya. Baginya ilmu untuk menjadi artis bukan sekadar cantik dan boleh menyanyi, malah perlu lebih daripada itu.
“Penyanyi kena ada knowledge. Kena banyak belajar, Jadi penyanyi kena versatil. Sebab itu bila kita lihat penyanyi lama seperti Sharifah Aini, Sudirman, Jamal Abdillah, Ahmad Jais (sekadar menyebut beberapa nama) lagu-lagu mereka masih relevan dan diminati hingga kini. Sebab apa? Pastinya sebab bakat mereka.
“Jika dahulu untuk bergelar artis bukan mudah, hantar 10 demo tape pun belum tentu diterima. Jujur jika saya memilih artis, saya lebih memandang bakat berbanding rupa mereka. Sebab artis perlu jual bakat bukan sebaliknya. Rasanya kalau arwah S.Jibeng atau Herman Tino hendak jadi artis zaman sekarang mungkin mereka langsung tak berpeluang.
“Tapi bila sentuh bab ini ada yang kata saya lapuk dan ketinggalan zaman. Alasannya muzik dahulu berbeza dengan hari ini, kena pandang ke hadapan, Okey, saya terima. Tapi bagaimana pula artis yang dipilih? Kenapa paras rupa masih jadi pilihan utama? Anda nak ikut cara Barat, tapi cuba lihat bagaimana orang Barat pilih artis mereka. Jadi di mana stand kita sebenarnya?
Agungkan muzik luar
“Kita orang Melayu, jadi angkatlah irama dan budaya Melayu dalam muzik. Kenapa perlu mengagungkan muzik luar? Orang Barat sendiri pun tidak menyanyikan lagu K-pop atau Melayu asli, jadi buat apa kita pula terhegeh-hegeh? Artis kena faham bab ini.
Artis-artis baharu, perlu dididik dan digalakkan berguru daripada mereka yang lebih senior dan berpengalaman. Ini adalah tradisi normal yang sering dipraktikkan dahulu sebelum seseorang itu bergelar penyanyi.
“Jangan malu menimba ilmu dari senior. Saya dah lebih 40 tahun dalam industri. Saya dah lihat pelbagai ragam artis, jatuh bangun mereka. Anda ingin lagu kekal diminati hingga puluhan tahun atau sekadar dua tiga bulan? Artis kena fikir ini. Jangan ingat jutaan pengikut dalam media sosial hari ini akan kekal hingga 10 tahun lagi.
“Kena jadikan artis-artis lama sebagai mentor. Saya ambil contoh mudah, lihat sahaja lagu-lagu Hari Raya yang diputarkan setiap tahun. Lagu yang mana lebih indah dan meninggalkan kesan? Lagu artis sekarang ke, atau artis dahulu?
“Untuk menjadi penghibur berkaliber dan serba boleh, artis perlu mempelajari pelbagai genre muzik seperti balada, pop, irama asli, dangdut dan sebagainya. Lihat sahaja kumpulan Black Dog Bone. Walaupun mereka adalah sebuah kumpulan pop, namun setiap album yang diterbitkan pasti akan diselitkan satu atau dua lagu joget. Macam inilah artis. Jangan jadi artis syok sendiri,muncul sebulan dua kemudian terus hilang dari radar,”tegasnya.
Ditanya tentang kemunculan program-program pertandingan nyanyian yang banyak mutakhir ini, beliau memanjatkan rasa syukur kerana di pentas ini mereka yang berada di belakang tabir turut diberi peluang menjadi juri dan sebagainya.
Gelaran Datuk
Walaupun kelibatnya sering dilihat di kerusi penonton, itu tidak bermakna dia tidak pernah diundang sebagai juri. Namun S. Atan mengakui beliau lebih selesa sebagai penonton yang hadir memberikan sokongan kepada rakan-rakan.
Beliau juga akui pernah menerima tawaran dari individu tertentu yang ingin memberikan darjah kebesaran bergelar ‘Datuk’ dengan membayar sejumlah wang tertentu, namun menolaknya. Menurutnya, dia tidak perlu berbuat hingga ke tahap itu semata-mata untuk menjadikan dirinya sebagai ‘orang besar’ dalam industri.
“Mudah sahaja. Jika mereka rasa saya adalah individu yang layak, sudah semestinya saya diberikan secara terhormat. Tak perlu untuk saya ‘membeli’ atau meminta-minta. Saya berfikir positif. Bila kau tak dapat, bermakna kau masih belum layak!
“Tapi saya sudah pesan dengan isteri, jika ditakdirkan saya meninggal dunia dan ada individu menawarkan darjah kebesaran atau gelaran pada saya ketika itu, jangan ambil. Prinsip saya cukup mudah. Kalau nak kenang jasa seseorang itu kenanglah ketika hayatnya masih ada. Kalau dah tiada, rasanya tidak perlulah lagi,” katanya. –Khabar Legenda, Mingguan Malaysia.










