Anugerah Lagu Indie (ALI) lawan AJL - Utusan Malaysia

Anugerah Lagu Indie (ALI) lawan AJL

Dari kiri, AG Coco, Azim `Jenk' Ali dan Elmi adalah `kepala' utama dalam penganjuran ALI - Mingguan/ Mohd. Farizwan Hasbullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU saya pernah berangan untuk melihat kugiran Komplot mempersembahkan lagu Enter This Kosmos di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).
Saya membayangkan sebuah persembahan yang avant-garde dari Komplot, dengan showmanship arwah Zac Patrician yang pastinya bertenaga.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian kerana umur Zac serta Komplot tidak panjang.
Masih banyak kugiran indie yang berjaya ke pentas akhir AJL selepas itu, malah persembahan AJL paling nostalgik bagi saya masih milik artis indie, iaitu Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein); Aku Skandal (Hujan); Dan Sebenarnya (Yuna) dan Aku Pelat (Salammusik).
Bagaimanapun, saya yakin, dalam sanubari peminat-peminat indie pasti mahu lebih banyak lagu indie dipertandingkan di pentas besar itu atau sekurang-kurangnya, mahu lagu-lagu indie ini dipertandingkan supaya kita tahu lagu yang mana punya kualiti tinggi.
Saya secara peribadi selalu berasa kecewa apabila lagu-lagu seperti Terbanglah oleh Sekumpulan Orang Gila (SOG), Bebastereo (Laila’s Lounge) dan Kalau Tewas Nanti Parah (Iqbal M.) langsung tidak tercalon untuk AJL kerana karya-karya ini ada kualiti, cuma ia tidak popular di arus perdana.
Mungkin rasa kecewa itu akan terubat akhirnya kerana bermula tahun ini, akan ada anugerah yang mempertandingkan kualiti lagu khas untuk lagu-lagu indie.
Anugerah Lagu Indie (ALI) akan dianjurkan buat julung-julung kali tahun ini sebagai alternatif kepada AJL yang sukar ditembusi lagu-lagu indie.

Idea ALI

Idea untuk menganjurkan ALI juga lahir apabila Hashtag Media, Kamar Seni Studio dan Angkasa Space melihat AJL bukanlah pertandingan yang mempertandingkan kualiti lagu semata-mata, sebaliknya populariti lagu juga menjadi kayu ukur penting dalam pertandingan itu.
“AJL dah jadi ‘Anugerah Juara Lagu-Lagu Popular’,” kata Mohd. Hezry Mohd. Hafidz atau AG Coco, pemilik Kamar Seni Studio yang juga salah seorang tulang belakang dalam penganjuran ALI.
Kata-kata AG itu relevan kerana dalam AJL, sesebuah lagu perlu meraih undi peminat terlebih dahulu sebelum terpilih ke separuh akhir dan pada peringkat itu barulah kualitinya dipertandingkan.
“Kita betul-betul nilai kualiti termasuk dari segi produksi lagu (di studio). Kita tolak populariti. Artis yang orang tak kenal pun kita terima,” kata AG apabila membandingkan ALI dengan AJL.
AG bersama Mohd. Zulhelmie Zullifan (Elmi) dan Azim ‘Jenk’ Ali merupakan ‘kepala’ utama dalam penganjuran ALI dan ketiga-tiga mereka berkongsi harapan yang sama iaitu pertandingan itu mampu membuka mata penggiat dan peminat industri muzik negara tentang kewujudan pencipta lagu berpotensi yang bergiat secara indie di Malaysia.
“Kami tak sasarkan artis yang ada nama saja. Mereka yang buat lagu orang tak pernah dengar pun, kalau ada kualiti ada peluang dalam pertandingan ini,” kata Elmi, pengasas Hashtag Media dan Angkasa Space.

Platform bakat baharu

Bagi Jenk pula, ALI adalah platform untuk mereka memperkenalkan bakat-bakat baharu kepada penggiat muzik di Malaysia.
Beliau yang merupakan pemuzik sesi berpengalaman akan menjadi salah seorang juri dalam pertandingan itu, sebaris dengan nama-nama besar lain iaitu Jennifer Thompson (pengurus acara/artis), Ad Samad (penulis lirik), Jad Lobo (penerbit/guru vokal), Fly Halizor (pensyarah muzik/pemain bass) dan Loy Ekzan (eksekutif muzik radio).
Pencalonan untuk ALI dibuka bermula 27 Julai lalu dan akan berakhir pada 14 Ogos ini. Setakat ini, sudah ada 350 lagu dan dijangka bertambah menjelang tarikh tutupnya nanti.
ALI yang meminjam konsep AJL akan melibatkan persembahan secara langsung oleh artis bertanding dalam tiga sesi separuh akhir sebelum 12 lagu terbaik dipilih untuk pertandingan akhir.
Kesemua peringkat itu akan disiarkan secara percuma di saluran Youtube Kamar Seni Studio.
Walaupun sukar untuk menandingi prestij AJL, ALI adalah platform yang baik untuk mengangkat karya-karya baharu yang berkualiti untuk diketengahkan dalam industri muzik Malaysia.
Sekurang-kurangnya, ALI memberikan peluang untuk lagu-lagu indie yang sangat sukar menembusi radio serta rancangan televisyen arus perdana mendapat perhatian para juri yang merupakan profesional dalam industri muzik Malaysia.
“Berbanding lagu-lagu ini cari mereka (juri), kita bawa mereka untuk dengar lagu-lagu ini,” kata Elmi. – Rondivu, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN