KUALA LUMPUR: Pakej tugas seorang anggota polis memang pelbagai dan paling mencabar berdepan dengan masyarakat yang kian banyak kerenahnya.
Ketika berusaha memastikan pandemik Covid-19 tidak menular kepada masyarakat, anggota polis terpaksa memperjudikan diri mereka untuk tugas yang mencabar itu.
Sebagai antara barisan hadapan, mereka turut meletakkan bahaya kepada ahli keluarga masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu sehingga semalam 19 Ogos, sebanyak 137 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19.
Dalam tempoh sama, katanya, seramai 588 warga polis telah dikuarantin yang mana 122 orang sembuh sepenuhnya selain 325 lagi masih menjalani kuarantin di kediaman masing-masing bersama keluarga.
“Lebih mendukacitakan kami lagi, wabak ini mengorbankan seorang pegawai kanan polis dan tiga mangsa lagi yang merupakan ahli keluarga dan juga kontak rapat.
“Warga PDRM yang disahkan positif terdiri daripada 18 pegawai kanan polis, pegawai rendah (44), pegawai awam (3) serta 72 ahli keluarga mereka,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
April lalu ketika Covid-19 teruk melanda negara, media melaporkan sebanyak 66 warga PDRM disahkan positif pandemik tersebut dan angka itu terus meningkat kepada 71 individu sehingga semalam.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, dalam tempoh lima bulan ini, sebanyak 6,077 warga PDRM telah selesai menjalani kuarantin dan mula bertugas.
Katanya, mereka yang bebas dari Covid-19 terdiri daripada 3,286 pegawai rendah, diikuti pegawai kanan (665), pegawai awam (178) dan 1,948 merupakan ahli keluarga.
“PDRM akan terus membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di setiap peringkat bagi mengekang wabak ini dari terus merebak.
“Penugasan setiap pegawai dan anggota polis berjalan seperti biasa namun langkah-langkah pencegahan wabak tersebut dipertingkatkan,” katanya.











