Budaya baharu muzik Malaysia - Utusan Malaysia

Budaya baharu muzik Malaysia

Barisan penulis / admin Music Addicts Malaysia, Junklist dan Writers Daily - Mingguan Malaysia/ Amir Khalid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASTI ramai peminat muzik indie dan underground masih terkenang zaman mereka naik bas, turun ke kota untuk menonton gig dan beli zine.

Zine – sejak dahulu menjadi dokumen rujukan peminat muzik underground kerana berita berkaitannya sukar menembusi media arus perdana.

Nama zine seperti Mosh Zine (Nizang) dan Aedes (Joe Kidd) cukup dikenali dahulu.

Masa berlalu dan zaman pun berubah. Walaupun masih ada mengusahakan penerbitan zine cetak secara berkala seperti Zine Kugigran oleh Kugigran, Mari Berzine oleh Writers Daily, Junkzine oleh Junklist dan Fagiyu oleh Fagiyu, namun secara umumnya perhatian beralih ke media digital.

Kebangkitan semula indie

Seiring kebangkitan semula muzik indie yang bermula sekitar 2017, pelbagai kumpulan atau individu mula mengusahakan pelbagai medium untuk menyampaikan berita serta ulasan tentang muzik indie.

Antara yang paling popular adalah Hentak Kepala (Facebook), Malaysian Hustler (Twitter) dan Thinker Studios (Youtube).

Selain nama-nama itu, Music Addicts Malaysia (Mamy), Junklist dan Writers Daily juga mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri. Kesempatan mewawancara ketiga-tiga penggerak kepada kumpulan media alternatif ini digunakan Rondivu untuk meneroka kisah di sebalik usaha mereka.

Seperti dibangkitkan Rahmat yang menubuhkan Mamy pada September 2019, mengusahakan media alternatif yang ikhlas menulis tentang muzik bukanlah mudah. Cabaran terbesar pastilah mahu terus konsisten menyediakan kandungan dengan modal sendiri.

“Kalau orang cakap buat benda ini boleh jadi kaya, jangan percaya. Makin miskin ada,” katanya disambut gelak ketawa yang lain.

Itu realiti pahit perlu ditelan. Pihak Mamy sendiri telah habis beribu ringgit bagi menggerakkan kumpulan mereka, walaupun menggunakan medium percuma seperti media sosial dan Youtube.

Keluar duit sendiri

“Kamera dan peralatan lain kami beli sendiri. Sekarang kami sedang cari penaja untuk portal, tapi susah. Tak ramai mahu sokong,” katanya.

Dalam tempoh setahun, Mamy berjaya mengumpul lebih 13,000 sukaan pada halaman Facebook mereka, lebih 5,000 ahli dalam kumpulan Facebook Music Addicts Malaysia Group, 851 pengikut di Twitter, lebih 3,000 pengikut di Instagram dan lebih 1,600 pelanggan di Youtube.

Bagaimanapun, mereka belum boleh menjana pendapatan daripada Youtube kerana masih belum cukup minit tontonan seperti dalam syarat pengewangan (monetization) Youtube.

Nasib lebih baik bagi Writers Daily yang ditubuhkan pada 2018 lebih menonjol melalui Youtube. Dalam tempoh setahun setengah menubuhkan saluran Youtube sendiri, Writers Daily mengumpul lebih 3,000 pelanggan dan menghasilkan hampir 500 video.

Kandungan yang santai dan informatif menjadi daya penarik utama. Namun, tontonan terbanyak yang diperoleh pastilah untuk video persembahan live kugiran indie hasil kegigihan Mirza Danish memastikan tempat paling hadapan setiap kali hadir gig, demi mendapatkan sudut rakaman terbaik.

Mereka mengakui, inspirasi terbesar untuk menubuhkan Writers Daily adalah wang, memandangkan ia motivasi terbaik untuk terus menyediakan kandungan.
“Kalau kita buat, tapi tak ada hasil, tak seronok juga. Sebab itu, kami mula terus fokus dengan Youtube, sebab itu yang paling mudah buat duit,” kata Mirza.

Bagi Kamil yang menubuhkan Junklist pada 2017, ia bermula dengan keinginannya meme­riahkan kembali suasana muzik indie yang agak suram ketika itu.

“Memang tumpu untuk angkat kugiran baharu. Tapi kita ada masalah nostalgia,” katanya.

Ketiga-tiga kumpulan ini bersetuju peminat muzik kini banyak terkepung dalam nostalgia. Ini menyukarkan usaha untuk memperkenalkan kugiran dan penyanyi baharu.

Satu lagi masalah yang dibangkitkan adalah dikotomi antara arus perdana dengan indie yang sepatutnya tidak berlaku.

“Kalau kau tengok di luar negara, tak ada pecahan ini. Sebab itu (majalah) The Rolling Stones boleh buat liputan untuk semua. Dulu ROTTW juga begitu, tak ada indie atau arus perdana,” kata Rahmat.

Nostalgia serta dikotomi arus perdana dan indie hanyalah sebahagian isu tentang industri muzik yang kami bincangkan hari itu. Terlalu banyak menjadi perbahasan sehingga tidak semuanya dapat dimuatkan dalam artikel sulung Rondivu di Pancaindera.

Revolusi industri muzik

Namun, yang pasti kumpulan-kumpulan ini membawa satu beban berat yang digalas di atas bahu mereka. Mereka membawa sebuah revolusi untuk industri muzik negara. Kandungan-kandungan disediakan yang bersifat separa ilmiah dan sarat dengan elemen pensejarahan serta ulasan teknikal muzik mampu mengubah budaya muzik negara.

Jika betul jalannya, kumpulan-kumpulan inilah suatu hari nanti mengubah pandangan masyarakat tentang muzik yang selama ini dilihat sekadar sebagai sumber hiburan hedonistik kerana muzik sesungguhnya adalah satu bidang ilmu yang boleh diteroka secara ilmiah.

Seperti yang diusahakan Joe Kidd melalui zine Aedes atau kolum Blasting Concept suatu hari dulu, atau jalan yang diturap Mamat Hitam melalui zine punk Huru-Hara pada 1986; Mamy, Junklist, Writers Daily dan kumpulan penulis lain inilah penyambung legasinya.

Dirgahayu legenda penulis zine dan dirgahayu para pengubah budaya muzik Malaysia! – Rondivu, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya