![]() |
- Ahli RSPO digesa bersuara untuk mempertahankan sektor minyak sawit mampan berdasarkan data, fakta dan bukti kukuh mengenai usaha pencegahan serta pengurusan kebakaran.
- DSI menjelaskan peranannya dalam melindungi kesinambungan eksport dan mengekalkan kebolehkesanan rantaian bekalan minyak sawit.
- Pekebun kecil yang baru memperoleh pensijilan dan syarikat antarabangsa berpeluang meneroka peluang komersial melalui penjualan Kredit Pekebun Kecil Bebas (Independent Smallholder Credits).
JAKARTA, 4 November 2026 /PRNewswire/ — Persidangan Meja Bulat Tahunan mengenai Minyak Sawit Mampan (RT2026) menghimpunkan pihak berkepentingan dari seluruh dunia untuk menggerakkan tindakan ke arah industri minyak sawit yang lebih mampan. Persidangan ini turut menekankan kepentingan memastikan mandat teras RSPO terus menghasilkan kemajuan alam sekitar dan sosial yang nyata dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik dan pasaran global.
Kebakaran Hutan di Indonesia: Data Menunjukkan Kawasan Konsesi Diperakui RSPO Terjejas Akibat Kebakaran pada Kadar Jauh Lebih Rendah Berbanding Purata Industri
Persidangan utama RSPO ini berlangsung ketika Indonesia berdepan cabaran besar. Ketika negara itu mengalami salah satu fenomena El Niño paling buruk yang pernah direkodkan, kebakaran tanah dan hutan telah memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan di seluruh kepulauan Indonesia antara Januari hingga September 2026, menurut analisis satelit oleh Nusantara Atlas.
Dalam ucaptamanya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RSPO, Joseph D’Cruz, menjawab kritikan umum terhadap sektor ini sambil mengiktiraf usaha gigih ahli-ahli RSPO yang berada di barisan hadapan dalam memadamkan kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.
"Kita bukanlah sebuah industri yang bersembunyi daripada penelitian masyarakat. Kita adalah sebuah perkongsian yang memantau diri kita sendiri dengan lebih teliti daripada mana-mana pihak luar."
Ketika membentangkan data awal pemantauan satelit Nusantara Atlas bagi tempoh Januari hingga September 2026, Dr. David Gaveau, pengasas TheTreeMap, berkata: "Apabila kita meneliti insiden kebakaran dalam konsesi yang diperakui RSPO dan menyemak silang angka tersebut dengan pihak RSPO, kami mendapati bahawa 14,500 hektar tanah telah terbakar atau terjejas akibat kebakaran dalam konsesi-konsesi ini. Jumlah tersebut mewakili kira-kira 0.8% daripada keseluruhan 1.9 juta hektar kawasan yang terjejas akibat kebakaran di Indonesia pada tahun 2026."
D’Cruz menambah: "Sekiranya terdapat konsesi tertentu yang memperlihatkan corak pembakaran luar biasa, kami akan mengenal pasti konsesi tersebut dan menjalankan siasatan terperinci. Di samping itu, analisis menunjukkan bahawa tiada kawasan tanah milik pekebun kecil bebas yang diperakui RSPO terjejas akibat kebakaran. Setakat ini, tiada data atau bukti yang menunjukkan bahawa mana-mana unit yang diperakui RSPO sengaja memulakan kebakaran."
D’Cruz turut menyeru ahli-ahli RSPO agar memanfaatkan data, fakta dan bukti yang ada:
"Kita semua mesti bersedia untuk mempertahankan apa yang telah kita bina bersama. Apabila kita memilih untuk berdiam diri, kita membiarkan pihak yang paling tidak bertanggungjawab mencorakkan industri kita dan menjejaskan usaha gigih selama dua dekad. Kita juga membiarkan sistem yang menjadi sandaran mata pencarian jutaan insan dipandang rendah oleh pihak yang tidak pernah memahaminya."
Menghubungkan Pekebun Kecil Bebas dengan Pembeli
Pekebun kecil merupakan antara penyumbang utama kepada mata pencarian masyarakat luar bandar, dengan pengeluaran mereka merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit Indonesia. Negara ini juga menempatkan 77% daripada jumlah pekebun kecil yang diperakui RSPO di seluruh dunia. RT2026 turut mengiktiraf 45 kumpulan pekebun kecil bebas baharu dari Colombia, Indonesia, Malaysia, Peru dan Thailand yang berjaya memperoleh pensijilan awal RSPO.
Selain itu, program Pemadanan Perniagaan Pekebun Kecil Bebas RSPO (RSPO Independent Smallholder Business Matching) telah menghubungkan bakal pembeli kredit dengan pekebun kecil bebas dari seluruh dunia.
RSPO turut mengiktiraf ahli-ahli yang menunjukkan komitmen cemerlang dalam menyokong pekebun kecil melalui pembelian Kredit RSPO bagi tempoh November 2025 hingga September 2026. Mereka termasuk Kao Corporation, Nestlé S.A. dan Unilever PLC, serta pembeli baharu seperti Lakeland Dairies Co-operative Society Limited dan Pitak Palm Oil Company Limited.
Implikasi Gerbang Eksport Tunggal Indonesia terhadap Minyak Sawit Mampan
Gerbang Eksport Tunggal (Single Export Gate) Indonesia merupakan antara perubahan paling signifikan dalam sektor ini dan dijangka membentuk semula landskap eksport minyak sawit negara tersebut di pasaran global.
Pada tahun 2026, Danantara Indonesia, agensi pelaburan kerajaan, menubuhkan PT Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI) untuk memantau dan mengurus eksport komoditi strategik. Dalam Sesi Dialog Khas (Special Dialogue), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DSI, Luke Mahony, menghuraikan bagaimana sistem baharu ini dapat saling melengkapi dengan usaha memajukan minyak sawit mampan bagi membina keyakinan pasaran antarabangsa.
"Kami amat mengalu-alukan sesi dialog bersama RSPO ini kerana aspek kelestarian dan kebolehpasaran mesti bergerak seiring. Mandat DSI amat jelas: peranan kami adalah memudahkan, bukan menghalang. Kami berada di sini untuk menegakkan piawaian industri, mempermudah pematuhan serta mengukuhkan keyakinan global terhadap minyak sawit Indonesia," kata Mahony.
DSI bertujuan meningkatkan ketelusan dan kredibiliti pasaran komoditi Indonesia dengan memanfaatkan data sedia ada dalam ekosistem serta menggabungkannya dengan realiti pasaran, termasuk aspek kelestarian dari perspektif RSPO, bekalan, harga dan pengeluaran.
Di bawah model perantara DSI yang dijadualkan dilancarkan pada Januari 2027, pembeli dan penjual akan mengekalkan hubungan perniagaan mereka, manakala DSI berperanan melindungi kesinambungan eksport serta mengekalkan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Mengenai RSPO
Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) ialah perkongsian global yang berusaha merealisasikan industri minyak sawit yang mampan. Ditubuhkan pada tahun 2004, RSPO merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan daripada keseluruhan rantaian nilai minyak sawit, termasuk pengeluar kelapa sawit, pemproses dan pedagang minyak sawit, pengilang barangan pengguna, peruncit, pihak bank dan pelabur, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan pemuliharaan, serta NGO sosial dan pembangunan.
Sebagai platform kerjasama yang memacu kemajuan dan impak positif, RSPO menggerakkan perubahan global ke arah pengeluaran dan penggunaan minyak sawit yang mampan. Untuk menginspirasikan perubahan, RSPO menyampaikan manfaat alam sekitar dan sosial. Untuk mencapai kemajuan, RSPO memangkinkan kerjasama. Untuk memberikan jaminan, RSPO menetapkan piawaian pensijilan.
RSPO berdaftar sebagai sebuah persatuan antarabangsa di Zurich, Switzerland, dengan pejabat utama di Malaysia dan Indonesia serta pejabat cawangan di China, Colombia, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sumber artikel: https://www.prnasia.com/asia-story/archive/5088805_MS88805_6












