BANGKOK, 18 Oktober 2026 /PRNewswire/ — Yang Berhormat Randeep Sarai, Setiausaha Negara (Pembangunan Antarabangsa), bagi pihak FinDev Canada, institusi kewangan pembangunan dua hala Canada, mengumumkan pemeteraian pinjaman bernilai USD60 juta kepada Muangthai Capital (MTC), sebuah institusi kewangan bukan bank (NBFI) terkemuka di Thailand.
Pinjaman selari ini merupakan tambahan kepada kemudahan bersindiket bernilai USD200 juta yang diterajui bersama oleh Asian Development Bank (ADB) dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC), sebuah institusi kewangan swasta global terkemuka dari Jepun, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan yang diperoleh kepada USD260 juta. Sindiket tersebut turut merangkumi bank komersial dan bank milik kerajaan, serta sebuah firma pengurusan aset.
Urus niaga ini bertujuan meningkatkan akses wanita kepada pembiayaan dan merupakan pinjaman langsung pertama FinDev Canada kepada NBFI di Thailand.
FinDev Canada akan menyalurkan 100% daripada hasil pinjaman tersebut kepada usaha MTC untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan formal bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana milik wanita (WMSME) di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan, sekali gus memperkukuh keterangkuman kewangan dan pertumbuhan ekonomi di Thailand.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan mampan dan inklusif Thailand, menyumbang kira-kira 35% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu serta menyokong peluang pekerjaan yang ketara. Walau bagaimanapun, banyak perusahaan menghadapi kekangan untuk mendapatkan akses kepada kredit formal, termasuk rekod kredit yang terhad atau tiada rekod kredit serta cagaran yang tidak mencukupi. Akibatnya, PMKS bergantung pada pinjaman tidak formal, yang secara ketara mengehadkan potensi pertumbuhan dan kemampanan mereka. Dengan 90% pelanggannya berada di kawasan luar bandar, MTC berada pada kedudukan yang kukuh untuk memperluas akses kepada pembiayaan menerusi model pemberian pinjaman dan rangkaian cawangannya yang telah mantap.
Komitmen FinDev Canada memperkukuh hubungan Canada dengan Thailand serta menyokong pertumbuhan pelaburan yang berterusan, sekali gus meningkatkan daya tahan ekonomi kedua-dua negara. Thailand ialah rakan dagang kedua terbesar Canada dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
"FinDev Canada komited untuk menarik lebih banyak modal sektor swasta ke pasaran memuncul di seluruh Asia Pasifik. Menerusi perkongsian strategik kami dengan MTC, bersama ADB dan SMBC, kami meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perusahaan milik wanita yang kurang mendapat perkhidmatan di Thailand, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi yang lebih inklusif. Urus niaga ini memperkukuh keupayaan FinDev Canada dalam sektor kewangan serta penglibatan ekonomi jangka panjang Canada di rantau ini," kata Lori Kerr, Ketua Pegawai Eksekutif FinDev Canada.
"Pelaburan dalam wanita merupakan pelaburan untuk kita semua. Canada memperkasa usahawan wanita dengan memperluas akses kepada pembiayaan untuk MSME dan memperkukuh sumber yang diperlukan untuk mencapai kejayaan. Dengan membina jambatan kewangan dan meruntuhkan halangan, Canada memajukan ekonomi yang lebih inklusif, yang memberikan peluang kepada semua untuk berjaya," kata Yang Berhormat Randeep Sarai, Setiausaha Negara (Pembangunan Antarabangsa).
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan FinDev Canada, bersama ADB dan SMBC, untuk memperluas akses kepada pembiayaan formal bagi PMKS milik wanita, khususnya dalam komuniti luar bandar di seluruh Thailand. Perkongsian ini mencerminkan komitmen bersama kami terhadap keterangkuman kewangan dan pertumbuhan ekonomi mampan, di samping memperkukuh keupayaan MTC untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh negara," kata Encik Parithad Patcharachai, Ketua Pegawai Eksekutif, Muangthai Capital Public Company Limited.
Maklumat tentang FinDev Canada
FinDev Canada ialah institusi kewangan pembangunan yang melabur dalam pasaran memuncul untuk menghasilkan impak pembangunan, pulangan kewangan dan kemakmuran ekonomi bersama. Kami menyediakan pembiayaan hutang, ekuiti, pembiayaan campuran, bantuan teknikal dan khidmat nasihat merentasi sektor infrastruktur, perniagaan tani dan industri kewangan dalam ekonomi membangun bagi menyokong pembangunan menerusi sektor swasta. Ketahui lebih lanjut mengenai FinDev Canada di www.findevcanada.ca.
Maklumat tentang Muangthai Capital
Muangthai Capital Public Company Limited ialah institusi kewangan bukan bank terkemuka di Thailand yang dikawal selia oleh Bank of Thailand, serta menyediakan pembiayaan bercagar dan tanpa cagaran kepada individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Produk terasnya merangkumi pinjaman bercagarkan geran kenderaan dan geran tanah, dilengkapi dengan pinjaman peribadi, pembiayaan nano, sewa beli motosikal serta perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian. Dengan rangkaian cawangan yang meliputi kesemua 77 wilayah, MTC komited untuk memperluas keterangkuman kewangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, khususnya dalam komuniti luar bandar dan yang kurang mendapat perkhidmatan. Ketahui lebih lanjut di www.muangthaicap.com.
Hubungan Media: FinDev Canada: [email protected]
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/5074345_MS74345_6











