![]() |
- Coway membuktikan pertumbuhan yang memecahkan rekod melalui strategi teras yang dipimpin oleh Pengerusi Junhyuk Bang
- Syarikat turut memperkukuh ketelusan pada tahun 2026 dengan memperkenalkan Jawatankuasa Transaksi Dalaman dan sistem Pengarah Bebas Utama
- Coway akan meningkatkan komunikasi pemegang saham melalui panggilan sidang yang dipimpin oleh eksekutif dan akan mengekalkan kadar pulangan pemegang saham keseluruhan sebanyak 40% sehingga tahun 2027
SEOUL, Korea Selatan, 10 Februari 2026 /PRNewswire/ — Coway Co., Ltd., "Best Life Solution Company" memberikan maklum balas rasmi kepada cadangan pemegang saham kedua yang dikemukakan oleh Align Partners Capital Management Inc. ("Align Partners") yang menonjolkan usahanya yang berterusan dalam meningkatkan nilai korporat dan pemegang saham.
Dalam maklum balasnya, Coway menyatakan bahawa sejak mengumumkan Pelan Peningkatan-Nilai Korporat (Corporate Value-Up Plan) pada Februari 2025, ia menjalankan semakan yang berterusan ke atas kemajuan pelaksanaan, menilai semula konsistensi strategik secara proaktif dan seterusnya memperkenalkan langkah-langkah tambahan sebagai respons kepada keadaan pasaran yang berubah-ubah. Menjelang pencapaian satu tahun pelaksanaan pertama pelan ini, Coway turut mendedahkan "Penilaian Pelaksanaan Pelan Peningkatan-Nilai Korporat" ("Corporate Value-Up Plan Implementation Assessment") yang melaluinya syarikat ini menegaskan sekali lagi komitmennya terhadap peningkatan nilai pemegang saham yang boleh dipercayai dan berkesan.
Prestasi Terbukti Di Bawah Kepimpinan Strategik
Menumpukan beberapa kebimbangan oleh pemegang saham berhubung konflik kepentingan, Coway menekankan bahawa transformasi dan strategi pertumbuhan jangka panjangnya disokong oleh pencapaian operasi yang ketara. Syarikat ini seterusnya menyatakan bahawa strategi teras semasa ialah pelaksanaan hala tuju inovasi sewaan pacuan IT yang dikemukakan oleh Pengerusi Junhyuk Bang setelah melaksanakan pemerolehan syarikat pada tahun 2020.
Lebih daripada sekadar wakil pemegang saham terbesar syarikat, Pengarah Dalaman Bang bertindak sebagai Pegawai Strategi Perniagaan (BSO) Coway yang menerajui transformasi digital, inovasi produk, pengembangan global serta strategi enjin masa depan syarikat dan salah satu contohnya ialah jenama BEREX. Peranan Pengarah Dalaman Bang diperlengkap oleh peranan Ketua Pegawai Eksekutif Coway Jangwon Seo yang mengawasi operasi perniagaan, pengurusan organisasi serta kecekapan operasi keseluruhan.
Hasil daripada struktur pengurusan pacuan kebertanggungjawapan ini, Coway mencatatkan pertumbuhan kuantitatif yang kukuh antara tahun 2020 dan 2025, mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 8.6% melalui hasilnya, keuntungan kendalian sebanyak 11.5% dan pendapatan bersih sebanyak 10.8%.
Standard Tadbir Urus Termaju: Meningkatkan Kebebasan dan Ketelusan Lembaga Pengarah
Coway sekali lagi mengulangi komitmennya untuk memajukan standard tadbir urus korporatnya melalui hala tuju berbilang fasa yang sistematik. Pencapaian penting yang telahpun dicapai dan inisiatif-inisiatif akan datang melibatkan:
- Komposisi Lembaga Pengarah: Peratusan pengarah bebas meningkat daripada 57% kepada 67% yang melebihi purata bagi syarikat-syarikat disenaraikan pada KOSPI yang utama.
- Asas Institusi: Coway mewujudkan Piagam Tadbir Urus Korporat formal dan Dasar Penggantian Ketua Pegawai Eksekutif untuk mengukuhkan kestabilan jangka panjang dan memupuk ketelusan.
- Mitigasi Konflik: Semua jawatan eksekutif bersama antara Coway dan syarikat induk Netmarble dimansuhkan dan Coway dijangka akan melancarkan Jawatankuasa Transaksi Dalaman yang terdiri sepenuhnya daripada pengarah bebas pada tahun 2026.
- Kebebasan Lembaga Pengarah: Jawatankuasa Pampasan dan Jawatankuasa Pencalonan yang kedua-duanya terdiri sepenuhnya daripada pengarah bebas, telahpun ditubuhkan.
- Kebertanggungjawapan Seimbang: Syarikat merancang untuk memperkenalkan sistem Pengarah Bebas Utama bagi menjamin semak dan imbang lembaga pengarah.
- Kewajipan Fidusiari: Sejajar dengan semakan terkini ke atas Akta Komersial Korea Selatan, Coway akan mencadangkan pindaan kepada Tataurusan Penubuhan semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2026 bagi mengkodifikasikan secara rasmi kewajipan fidusiari pengarah kepada pemegang saham dan memilih dua pengarah bebas melalui "proses berasingan" bagi memperkukuh kebebasan lembaga dengan ketara.
Memperkukuh Pulangan dan Komunikasi Pemegang Saham
Pada tahun 2025, Coway mencapai kadar pulangan pemegang saham keseluruhan sebanyak 40% melalui gabungan yang seimbang antara dividen tunai dan pemerolehan saham perbendaharaan. Syarikat ini turut memperkenalkan inisiatif konkrit bagi memberikan faedah ketara kepada pemegang saham dan dalam masa yang sama mengekalkan kadar pulangan pemegang saham keseluruhan sebanyak 40% sehingga tahun 2027.
Coway turut merancang untuk meningkatkan nilai pemegang saham dengan memenuhi syarat-syarat "Syarikat Dividen Tinggi" yang seterusnya melayakkan pemegang sahamnya untuk menerima pelbagai insentif dan faedah. Bermula dengan pulangan pemegang saham bagi tahun fiskal 2026, syarikat ini dijangka akan melaraskan nisbah antara dividen tunai dan pembelian balik/pembatalan saham secara fleksibel untuk memenuhi syarat-syarat ini dalam kerangka pulangan pemegang saham keseluruhan 40%.
Dalam pada itu, Coway akan mengukuhkan lagi komunikasi pemegang saham melalui pengenalan panggilan sidang dalam talian yang dipimpin oleh para eksekutif peringkat tertinggi, bermula dengan keputusan kewangan suku pertama tahun 2026. Inisiatif ini dirangka bagi meningkatkan akses kepada maklumat untuk pelabur, serta menyelaraskan amalan perhubungan pelabur syarikat dengan standard global.
Maklum balas Coway kepada Align Partners turut menumpukan pada pertanyaan lain yang dibangkitkan oleh pemegang saham, termasuk penilaian jangka sederhana hingga panjang dan sasaran pulangan-ekuiti (ROE), penjelasan struktur modal sasaran syarikat serta pengukuhan perkaitan antara pampasan eksekutif dan nilai pemegang saham.
Seorang pegawai Coway berkata, "Pihak pengurusan dan lembaga pengarah tetap berpegang teguh kepada komitmen kami untuk mendengar pendapat pemegang saham kami dan memberikan pertumbuhan yang konsisten dan mampan. Melalui pelaksanaan strategik yang berdisiplin dan tadbir urus yang telus, Coway akan terus berusaha untuk memaksimumkan nilai jangka panjang buat semua pemegang saham kami."
Untuk butiran tambahan mengenai Pelan Peningkatan-Nilai Korporat Coway, sila kunjungi Halaman Perhubungan Pelabur syarikat.
Latar Belakang Coway Co., Ltd.
Ditubuhkan di Korea pada tahun 1989, Coway, "Best Life Solution Company," ialah sebuah syarikat peralatan persekitaran rumah terkemuka yang menjadikan kehidupan orang ramai sihat dan selesa menerusi peralatan rumah yang inovatif seperti penulen air, pembersih udara, bidet dan tilam. BEREX, jenama tidur & kesejahteraan oleh syarikat ini, bermatlamat untuk meningkatkan kualiti hidup melalui tilam dan kerusi urut yang canggih. Sejak ditubuhkan, Coway menjadi peneraju dalam industri peralatan persekitaran rumah menerusi penyelidikan yang intensif, kejuruteraan, pembangunan dan perkhidmatan pelanggan. Syarikat ini membuktikan dedikasi kepada inovasi dengan produk-produk yang memenangi anugerah, kepakaran kesejahteraan rumah, bahagian pasaran yang tiada tandingan, kepuasan pelanggan dan pengiktirafan jenama. Coway terus berinovasi dengan mempelbagaikan barisan produk dan menggiatkan perniagaan luar negara di Malaysia, AS, Thailand, China, Indonesia, Vietnam dan Eropah, berdasarkan kejayaan perniagaan di Korea. Pada tahun 2025, syarikat melancarkan Coway Life Solution, iaitu platform penjagaan warga tua premium yang menawarkan penyelesaian penjagaan diperibadikan yang disesuaikan mengikut peringkat hidup yang berbeza. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi http://www.coway.com/ atau http://newsroom.coway.com.
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4883381_MS83381_6











