MINDEF perinci langkah perangi kecurangan integriti secara radikal

MINDEF perinci langkah perangi kecurangan integriti secara radikal

Mohamed Khaled Nordin pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan bahawa sistem pertahanan nasional masih utuh dan sama sekali tidak terjejas dengan isu-isu yang timbul kebelakangan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada gangguan terhadap operasi pertahanan negara dan kesiapsiagaan ATM berada pada tahap terbaik.

“Segala proses perolehan yang tertangguh akan kita selaraskan dengan Kementerian Kewangan agar operasi ATM dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“Tiada sama sekali berlakunya apa jua gangguan terhadap operasi pertahanan negara. Kesiapsiagaan sistem pertahanan kita adalah pada tahap terbaik dan sama sekali tidak terjejas,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, semalam.

Mohamed Khaled berkata, isu yang melibatkan beberapa pegawai ATM tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan institusi.

“Segala masalah yang terbit tentang beberapa pegawai ATM kebelakangan ini, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ATM sebagai sebuah institusi yang rosak atau tidak berintegriti.

“Pada asasnya, ATM masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik, yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan negara, kemakmuran ekonomi dan kepada keamanan yang sedang kita nikmati hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, MINDEF turut menyanjung dedikasi anggota ATM yang berkhidmat tanpa mengharap balasan walaupun berdepan tekanan dan kritikan.

“Di sebalik segala kecaman dan persepsi negatif yang melanda, anggota-anggota ATM hari ini masih gigih dan ikhlas berkhidmat.

“Ya, ATM tidak sempurna seratus peratus. Sudah tentu ada ruang untuk diperbaiki dan ditambah baik. Kewujudan elemen yang rosak dalam kalangan segelintir anggota tidak bermakna keseluruhan sistem itu bobrok dan gagal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan berkesan.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diberikan ruang seluas-luasnya untuk mengambil tindakan dan beliau sendiri sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki minggu lalu.

“Saya memberi jaminan bahawa seluruh kementerian akan berdiri bahu membahu dengan SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian Pertahanan dan ATM.

“Usaha mengembalikan wibawa dan kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM adalah keutamaan terpenting Kerajaan Madani dan MINDEF.

“Tindakan mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terbabit jauh daripada mencukupi. Ia tidak sama sekali akan menjadikan kementerian ini suci dan bersih,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled menekankan pendirian MINDEF bahawa rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegelinciran integriti merupakan perbuatan keji, hina dan bercanggah dengan nilai sebenar ATM.

“ATM bukan sebuah kolam rasuah. ATM bukan berfungsi sebagai ekosistem nasional yang dipacu dengan imbuhan, ganjaran dan pemberian yang keji dan tidak halal.

“Elemen buruk (seperti rasuah dan salah guna kuasa) bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat dan menjejaskan persepsi terhadap keunggulan, kehebatan dan keanggotaan ATM, malah ia mengkhianati tujuan moral sebuah angkatan persenjataan negara yang berdaulat,” katanya.

Mengulas musuh dari dalam, beliau mengakui ATM pasti akan tewas jika mereka yang diberikan amanah untuk mempertahankan negara boleh dibeli, dirasuah dan dimiliki golongan pemodal yang rakus.

“Pembelian aset pertahanan yang tak bermutu, perolehan pertahanan yang berstatus berkali ganda lebih mahal dan kekangan dana disebabkan ketirisan, semua ini bukan hanya melemahkan sistem pertahanan nasional tetapi mengancam nyawa perajurit kita,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah memperincikan langkah kementerian untuk memerangi kecurangan integriti secara radikal melalui Perutusan Tahun Baharu 2026 bagi kementeriannya, baru-baru ini, dengan melaksanakan pembaharuan tatacara dan tatakelola.

Antaranya, menyemak dan menyusun semula semua prosedur perolehan dalam sistem kementerian serta pelaksanaan digitalisasi bagi memastikan teknologi menjadi pemangkin ketelusan dan keutuhan semua proses dan projek yang membabitkan dana kerajaan.

Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara lebih menyeluruh bagi memudahkan analisis dan jangkaan dalam proses perolehan, termasuk perbandingan kos, spesifikasi dan kecekapan perolehan dengan negara lain, yang turut dapat mengenal pasti kompetensi pegawai berkhidmat.

Pada masa sama, katanya, penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah, yang akan memandu kementerian dalam semua urusan berkaitan penambahbaikan integriti dan pelaksanaan amanah serta pelaksanaan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk memastikan jurang tadbir urus dapat dipertingkat, selaras agenda kelestarian.

“Semua langkah ini bertujuan menepati tiga objektif utama, iaitu menutup sebaik mungkin segala ruang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

“Selain, memudahkan pengesanan risiko serta memastikan kementerian mempunyai sistem operasi yang unggul, dipacu teknologi termaju dan diolah dalam kerangka kelestarian dan kemapanan.

“Insya-Allah, ia tidak akan terhenti di situ saja. Kementerian akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan kementerian ini dan ATM,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN