Kisah Cikgu Noraini dan ribuan penjaga yang belum dilindungi
Tugas penjagaan di rumah merupakan peranan penting dalam ekosistem ekonomi
dan sosial negara, namun sumbangan mereka amat jarang diiktiraf.
Oleh DATUK SERI RAMANAN RAMAKRISHNAN
5 Januari 2026, 8:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Setiap pagi, Cikgu Noraini bangun lebih awal daripada kebiasaan, bukan lagi untuk kuliah atau mesyuarat akademik, tetapi untuk memastikan ibunya yang uzur akibat strok berada dalam keadaan selesa dan selamat.
Rutin ini dilakukan tanpa gaji, cuti atau jaminan masa depan, hanya bersandarkan kasih seorang anak.
Pada usia 35 tahun, Noraini merupakan pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi sebelum hidupnya berubah apabila ibunya memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Beliau membuat keputusan berat meninggalkan kerjaya akademik dan pulang ke kampung di Melaka. Bagi Noraini, menjaga insan yang melahirkannya adalah khidmat bakti kepada bonda tercinta.
Namun pengorbanan ini hadir bersama kehilangan besar. Noraini terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak di Kuala Lumpur, manakala hari-harinya tertumpu kepada menjaga ibunya dalam membantu pergerakan, mengurus ubat, memantau emosi dan sentiasa bersedia.
Seperti ramai penjaga domestik lain, Noraini kini hidup tanpa pendapatan tetap apabila kerjayanya terhenti dan simpanannya tidak lagi bertambah, menjadikan masa depan kewangannya semakin tidak menentu.
Tanggungjawab seperti ini membawa kesan jangka panjang, kerana ramai penjaga terpaksa mengurangkan waktu bekerja atau berhenti terus, sekali gus menjejaskan simpanan persaraan yang sepatutnya dibina sepanjang usia produktif.
Tahun-tahun yang dihabiskan untuk menjaga akhirnya boleh berubah menjadi ketidakjaminan pada usia tua, kerana realiti kerja penjagaan yang dilakukan setiap hari masih belum diiktiraf sebagai pekerjaan dalam sistem rasmi.
Ribuan penjaga yang berkorban tanpa balasan dan masih menunggu untuk dilindungi. – gambar hiasan
Menyedari hakikat ini, ia menjadi satu keperluan bagi mengiktiraf penjaga domestik sebagai ’pekerja’ agar mereka berada dalam liputan perlindungan keselamatan sosial. Tanpa pengiktirafan formal, penjaga domestik akan terus terpinggir daripada jaringan keselamatan, sekali gus meletakkan masa depan mereka dalam risiko selepas berbakti menjaga warga emas, pesakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Secara peribadi saya menganggap, tugas penjagaan di rumah merupakan peranan penting dalam ekosistem ekonomi dan sosial negara, namun sumbangan mereka amat jarang diiktiraf walaupun penjaga berdepan tekanan emosi, risiko kesihatan serta ketidaktentuan kewangan.
Berbeza dengan pekerja formal, penjaga domestik masih belum diberikan perlindungan sewajarnya. Seiring peningkatan kebergantungan terhadap penjagaan di rumah, peranan mereka menjadi semakin kritikal kepada keluarga dan sistem kesihatan negara.
Rentetan itu, melalui agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), perlindungan sosial perlu berasaskan risiko kehidupan, bukan status pekerjaan, selari inisiatif LINDUNG Kasih dan LINDUNG Kendiri yang ada dalam perkhidmatan agensi berkenaan.
LINDUNG Kasih menekankan keperluan melindungi wanita dan suri rumah yang memikul tanggungjawab menjaga orang lain, satu peranan yang jarang diiktiraf sebagai pekerjaan, walaupun risikonya nyata.
LINDUNG Kendiri pula mengiktiraf individu yang menanggung risiko secara sendiri tanpa perlindungan pekerjaan tetap atau sokongan institusi. Dalam konteks ini, penjaga domestik tergolong dalam kedua-dua kategori berkenaan.
Pendekatan lebih fleksibel wajar diteroka agar penjaga domestik tidak tercicir daripada perlindungan sepanjang hayat, seiring pendekatan bagi pekerja gig dan suri rumah.
Pengiktirafan penjaga domestik adalah langkah pertama. Menyokong mereka adalah langkah seterusnya. Memastikan mereka dilindungi sepanjang hayat adalah kunci kepada sistem penjagaan yang berdaya tahan, ini adalah perjuangan kita bersama.
Kisah Cikgu Noraini bukan kisah terpencil, tetapi ia adalah suara ribuan penjaga yang berkorban tanpa balasan dan masih menunggu untuk dilindungi. Sudah tiba masanya pengorbanan ini diiktiraf sebagai sumbangan besar negara.
Pendekatan lebih fleksibel dan berkesinambungan wajar diteroka agar penjaga domestik tidak tercicir daripada perlindungan sepanjang hayat, seiring pendekatan bagi pekerja gig dan suri rumah.
Saya juga menyanjung tinggi usaha dimainkan oleh pihak media yang melaporkan tentang perlunya mengiktiraf secara rasmi dan menyokong penjaga domestik, di mana ia telah merungkai cabaran penjaga domestik, termasuk saranan agar mereka diberikan pengiktirafan dan sokongan sejajar dengan tanggungjawab serta risiko. – UTUSAN