BENTONG: Hari pertama persekolahan 2026 yang bermula semalam menjadi detik paling bertuah buat 68,000 murid di seluruh Pahang apabila mereka menerima manfaat Program Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang.
Bantuan RM100 tersebut berupa set lengkap peralatan pembelajaran berjenama termasuk beg sekolah, alat tulis dan kelengkapan asas sekali gus meringankan beban keluarga miskin serta miskin tegar dari seluruh negeri ini.
Bagi pelajar sekolah menengah, bantuan turut merangkumi kalkulator saintifik dan set geometri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu diteruskan kerajaan negeri sejak dilaksanakan bermula 2022 dan disampaikan serentak pada hari pertama persekolahan di semua sekolah seluruh Pahang.
“Sebagai penambahbaikan tahun ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan baucar pakaian sekolah bernilai RM100, yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading.
“Seramai 68,000 pelajar dijangka menerima manfaat program ini, melibatkan semua murid Tahun 1 serta pelajar miskin tegar dari Tahun 2 hingga Tingkatan 5, dengan siling peruntukan keseluruhan berjumlah RM14.8 juta.
“Selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Bookstore turut menyediakan Kad Diskaun 30 peratus kepada semua pelajar, termasuk pelajar tadika dan institusi pengajian tinggi (IPT), serta guru dan pensyarah di seluruh Pahang,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni dan menyampaikan set bantuan peralatan pembelajaran kepada 130 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bentong di sini.

Pada majlis itu, Wan Rosdy meluangkan masa hampir dua jam menyantuni murid-murid dan guru-guru sekolah berkenaan serta melukis sebuah rumah bersama anak didik di situ.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus komited memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak Pahang sentiasa menjadi keutamaan demi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Guru Besar SJKT Bentong, P. Velni menyatakan rasa gembira apabila sekolah tersebut terpilih sebagai penerima program berkenaan.
“Program ini cukup bermakna kepada murid-murid kami dan ibu bapa, khususnya dalam meringankan beban persediaan persekolahan. Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Pahang atas keprihatinan yang ditunjukkan,” katanya.
Seorang guru Melayu di sekolah itu, Nur Alani Fatini Mohd. Adnan, 24, meluahkan rasa bangga berkhidmat di sekolah jenis kebangsaan.
“Saya bangga menjadi guru di sekolah Tamil. Murid-murid di sini sangat baik, santun dan mudah dibimbing. Program seperti ini benar-benar membantu kebajikan mereka,” katanya.
Seorang ibu, A. Jeevitha, 34, menyifatkan kerajaan negeri Pahang sebagai sebuah kerajaan yang menitikberatkan soal pendidikan.
“Kerajaan Pahang sangat prihatin dalam menyediakan pelbagai bantuan kewangan dan peralatan persekolahan. Bantuan ini sangat mengurangkan perbelanjaan kami. Terima kasih kepada kerajaan negeri dan pusat,” katanya.
Bagi seorang bapa, S. Yuvaneswaran, 45, yang mempunyai dua orang anak di sekolah tersebut, bantuan yang diterima itu begitu membantu perbelanjaan keluarganya.
“Dengan bantuan persekolahan kerajaan Pahang ini, kami dapat mengurangkan kos persediaan sekolah anak-anak. Ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.
Dua orang murid, S. Hareetha, 9, dan B. Thevasree, 9, turut meluahkan rasa teruja menerima bantuan peralatan persekolahan.
“Kami gembira dapat datang ke sekolah dengan beg dan alat tulis baharu. Terima kasih Tok Wan dan kerajaan Pahang,” kata mereka. – UTUSAN










