CYBERJAYA: Selangor International Ride (SIR) 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Cyber Valley di sini, berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.
Acara yang bermula pada pukul 7.30 pagi itu melibatkan dua kategori iaitu kayuhan jarak jauh 88 kilometer (km) dan kayuhan santai sejauh 25 km.
Menurut Pengurus Besar Pembangunan Selangor Cyber Valley (SCV), Ir. Mohd Shahrol Md. Sharif, walaupun edisi ketiga kali ini bukan berkonsepkan perlumbaan, SIR 2025 masih menjadi platform kepada peserta tempatan untuk menguji kemampuan dan menonjolkan bakat mereka, selain berkongsi pengalaman bersama peserta dari luar.
Beliau berkata, kayuhan pada jarak 88 km yang bermula dari Galeri Jualan PKNS Cyber Valley itu kemudiannya membawa para peserta untuk merentasi kawasan kejiranan di Cyberjaya dan seterusnya ke Sepang, Kuala Langat dan Dengkil.
“Penganjuran SIR 2025 mencerminkan aspirasi PKNS dalam memperkukuh budaya gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal yang inklusif dan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak.
“Pada edisi kali ini, kita turut menganjurkan pertandingan Kid Push Bike selama dua hari yang disertai lebih 100 peserta cilik berusia antara dua hingga lapan tahun dengan 12 peserta terbaik menerima hadiah berupa medal dan plak penyertaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas acara pelepasan SIR 2025 di Galeri Jualan PKNS Cyber Valley di sini baru-baru ini.
Terdahulu, acara pelepasan disempurnakan oleh Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Tengku Datuk Dr. Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj serta dif-dif kehormat.

Kayuhan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas bersama barisan pengurusan kanan.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Projek Unit Pembangunan Bernam Jaya merangkap Pengerusi SIR 2025, Mohd Iswardy Mohamad Yunos berkata, menerusi edisi kali ini, SIR mengetengahkan konsep ‘fellowship ride’ iaitu kayuhan secara berkumpulan untuk mengeratkan hubungan strategik antara rakan kongsi industri, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi dan pihak berkepentingan serta rakan-rakan penaja.
“Ini adalah edisi ketiga penganjuran SIR. Pada edisi 2023 dan 2024 di Ibu Pejabat PKNS, kita ketengahkan konsep perlumbaan, tahun ini kita ubah kepada konsep ‘fellowship ride’. Ia bukan sekadar berbasikal tetapi turut mengeratkan hubungan kerjasama.
“Kita juga mahu lebih dekat dengan komuniti setempat untuk menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.
Jelasnya, SIR 2025 berjaya menarik penyertaan antarabangsa dari 12 negara antaranya Singapura, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat, dengan peserta tempatan tertua berumur 75 tahun, manakala majoriti peserta lain berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.
Tambahnya, PKNS juga merancang untuk meneruskan penganjuran SIR sebagai acara tahunan di lokasi berbeza pada masa akan datang bagi memperkenalkan kawasan pembangunan di bawah seliaan mereka.
“Kita akan pertimbangkan untuk masukkan SIR sebagai salah satu program dalam kalendar pelancongan negeri Selangor,” katanya.

Selain penganjuran acara berbasikal, sebanyak 10 reruai jualan makanan turut dibuka bagi memeriahkan suasana dan menarik kehadiran komuniti sekitar Cyber Valley, sekali gus menjadikan SIR 2025 antara penganjuran berbasikal komuniti terbesar di Selangor.

SIR 2025 mencerminkan komitmen PKNS yang melangkaui peranan sebagai penganjur dengan tampil sebagai rakan pembangunan yang proaktif dalam memperkasa masyarakat serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan untuk kehidupan, pelaburan, peluang ekonomi serta destinasi pelancongan sukan yang berkembang pesat.
Acara tersebut turut mendapat sokongan daripada rakan penaja antaranya Worldwide Holdings Berhad, PKNS FM Intergrated Sdn Bhd, Bank Islam Malaysia Berhad, Selgate Corporation Sdn Bhd, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad. – UTUSAN










