SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) digesa meletakkan kepentingan rakyat seperti pembinaan rumah mampu milik seperti sasaran pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku dalam Belanjawan Selangor 2024.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anak syarikat kerajaan negeri itu perlu berbuat demikian berbanding memilih untuk padang golf dan sebuah rumah kelab di atas tanah seluas kira-kira 67.77 hektar di Sepang.
Menurutnya, di atas keluasan tanah tersebut, PKNS boleh membina sehingga 20,040 unit Rumah Selangorku berbanding sasaran untuk membina 10,000 unit menjelang 2030.
“PKNS gagal membawa mandat penubuhan PKNS 1964 untuk membuka kawasan baharu dan membina perumahan mampu milik. Belanjawan 2024 meletakkan sasaran 200,000 unit Rumah Selangorku akan dibina.
“Saya sekali lagi ingin menarik perhatian dewan mengenai gelagat pengurusan PKNS yang semakin menggila. Saya membentangkan satu dokumen bertarikh 12 Ogos 2025 yang mengesahkan PKNS melantik SA Planning Services bagi menjalankan kajian penilaian impak sosial (SIA) bagi pembangunan padang golf berserta rumah kelab,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Jelasnya, PKNS perlu menilai semula hasrat untuk membina kemudahan tersebut dan memberikan tumpuan kepada aspirasi rakyat Selangor.
“GDV (nilai pembangunan) bagi pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik di kawasan itu adalah RM5 bilion. PKNS masih boleh mendapat keuntungan kira-kira RM500 juta,” tegasnya.
Justeru, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang mendesak kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari supaya mengeluarkan arahan segera membatalkan projek tersebut.
“Majlis Perbandaran Sepang juga mesti bertegas untuk tidak menimbangkan permohonan pindaan terhadap pelan susun atur demi memenuhi permintaan rumah mampu milik di Sepang.
“PKNS wajib kembali kepada mandat penubuhannya untuk membina rumah-rumah mampu milik bagi rakyat yang bekerja di Selangor dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN










