BUKIT MERTAJAM: Tempoh tiga tahun reformasi dalam bidang pendidikan mungkin kelihatan singkat, namun, ia sebenarnya telah berjaya membawa satu transformasi nyata dalam ekosistem pendidikan negara.
Hal ini demikian kerana, sejak awal, reformasi ini memberi tumpuan kepada usaha menangani kesenjangan pendidikan yang bersifat multidimensi, termasuk isu keciciran, ketidaksamaan akses, kekangan infrastruktur serta isu sistemik yang telah lama membelenggu.
Berdasarkan Laporan Pencapaian Reformasi Pendidikan 2025 oleh Kementerian Pendidikan (KPM), terdapat sekurang-kurangnya 10 kisah kejayaan yang dikongsikan menerusi pelaksanaan reformasi ini.
Antaranya ialah kejayaan memastikan setiap anak Malaysia dapat belajar sekurang-kurangnya sehingga tamat tingkatan lima, mencapai lebih 98 peratus atau kira-kira 52,948 pengisian guru baharu dan memperkenalkan 11 inisiatif sekolah selamat selain mengembalikan takwim sekolah pada bulan Januari.
Kejayaan lain ialah merekodkan seramai 398,496 murid yang mampu menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira selepas intervensi, melaksanakan reformasi beban guru, membina lebih banyak sekolah baharu serta memulihkan sekolah-sekolah yang daif dan menambah jumlah kelas prasekolah.
Pada masa yang sama, pengenalan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11 juga dianggap sebagai kejayaan kerana anak-anak yang tinggal di kawasan pedalaman boleh kekal belajar sehingga tamat selain pengenalan Kurikulum Persekolahan Baharu 2027 yang berasaskan kepada tiga keutamaan iaitu asas yang kukuh, beban berkurangan serta pembelajaran lebih bermakna dan sebagainya.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selain 10 kejayaan tersebut, terdapat sekurang-kurangnya lima lagi kisah kejayaan hasil daripada reformasi pendidikan yang dicetuskan sebelum ini.
Katanya, antara kejayaan itu termasuk merekodkan sehingga 99 peratus kebolehpasaran kerja dalam kalangan graduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peningkatan dana untuk TVET buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
“Selain itu, sebanyak RM100 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah diluaskan sehingga ke tingkatan enam manakala elaun pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) turut dinaikkan daripada RM430 kepada RM530 sebulan.
“Baucar Buku Madani juga diperkenalkan untuk menghidupkan budaya membaca manakala pendidikan inklusif iaitu pengesanan awal dan sokongan sebanyak RM150 sebulan turut diberikan kepada murid yang berkeperluan khas seperti OKU (orang kurang upaya) dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina meluangkan masa menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, reformasi pendidikan tersebut bagaimanapun tidak akan berhenti pada pencapaian itu sahaja, sebaliknya, KPM telah menetapkan langkah seterusnya untuk memastikan perubahan itu terus bergerak pada tahun hadapan.
Katanya, selain pengenalan Kurikulum Baharu 2027 bermula di peringkat prasekolah, KPM juga merancang untuk menyediakan hala tuju baharu pendidikan negara untuk tempoh satu dekad menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
“Sebanyak 41 buah sekolah baharu akan dibina manakala 520 projek sekolah daif juga telah diluluskan.
“Pada masa yang sama, 350 kelas prasekolah baharu juga ditambah dan sebanyak RM860 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah yang melibatkan pembaikan tandas, kantin, musolla serta bilik guru,” ujar beliau.-UTUSAN










