PETALING JAYA: Aspek pengurusan kelestarian alam semula jadi secara bertanggungjawab sangat penting dalam memastikan ekosistem dan biodiversiti kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Apatah lagi dalam era pembangunan pesat menuntut pelbagai pihak memainkan peranan menerusi amalan yang mampu mengurangkan pencemaran hasil pengeluaran barangan baharu daripada bahan mentah.
Justeru, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mewujudkan inisiatif dengan memperkenalkan penggunaan mesin kitar semula Reverse Vending Machine (RVM) di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dalam memperkukuhkan kelestarian alam serta menyokong pembangunan mobiliti bandar yang mampan.
Pelaksanaan tersebut selaras dengan Pelan hala Tuju Kelestarian Prasarana yang menyasarkan 30 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2030.

Menurut Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, sekuriti , Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar, pemasangan RVM di stesen tumpuan seperti Stesen Masjid Jamek dan KLCC dapat memudahkan dan menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan pengguna pengangkutan awam serta komuniti bandar.
“Kemudahan mesin berteknologi tinggi di stesen LRT membuka ruang kepada penumpang untuk melakukan aktiviti kitar semula. Apatah lagi dengan adanya mesin RVM yang dinamakan sebagai KLEAN, iaitu mesin berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Apa yang paling penting, setiap pengguna yang memasukkan bahan kitar semula juga boleh mengumpul mata ganjaran melalui aplikasi mudah alih KLEAN untuk ditebus dengan baucar rakan niaga terpilih seperti Zus Coffee, Grab dan Jaya Grocer,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Transit Kelestarian Memacu Budaya Kitar Semula di Stesen LRT Masjid Jamek semalam.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penghasilan mural bertemakan kelestarian hasil kolaborasi bersama artis tempatan, Jepah Studio yang berperanan sebagai elemen visual bagi menonjolkan peranan pengangkutan awam dalam menyokong kehidupan bandar mampan.
Setakat ini, sebanyak lima buah mesin ditempatkan di beberapa kawasan iaitu Stesen LRT Masjid Jamek (sebuah) serta dua buah mesin di Stesen KLCC dan di Menara Prasarana.
Mesin RVM ini akan mengimbas dan mengira bahan yang dimasukkan dan boleh menerima botol plastik serta tin tanpa memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Selain mesin berjenama KLEAN, Prasarana turut menempatkan mesin kitar semula ATLAS ECOPOD yang menerima pengiktirafan Guinness World Record sebagai mesin kitar semula ternipis di dunia.
Menurut Idzqandar lagi, mesin tersebut turut berperanan sebagai mesin layan diri ATLAS Vending bagi membolehkan orang ramai mengitar semula bekas minuman sejurus digunakan.
“Pengguna juga boleh mengitar semula bekas minuman sejurus selepas digunakan dan turut menerima ganjaran digital untuk ditebus di mesin layan diri berhampiran,” jelasnya.
Prasarana kini mempunyai 68 buat mesin ATLAS ECOPOD di beberapa lokasi strategik di sekitar ibu negara.
Kedua-dua jenis mesin ini turut dilengkapi sistem penjejakan utama bagi memantau tahap penglibatan pengguna serta jumlah bahan kitar semula yang dikumpulkan, sekali gus menyokong pelaksanaan inisiatif kelestarian berasaskan data.
Idzqandar dalam masa yang sama berkata, Prasarana turut membuka peluang kepada syarikat lain yang mahu menjalinkan kerjasama untuk menambah bilangan mesin RVM dalam menggalakkan lebih ramai penumpang pengangkutan awam mengamalkan aktiviti kitar semula.
Dalam pada itu, Idzqandar ketika ditanya tentang faktor pemilihan Stesen Masjid Jamek sebagai lokasi mesin tersebut menjelaskan, ia disebabkan kadar aliran yang tinggi dalam kalangan penumpang di negara ini yang mencecah 50,000 penumpang selain mempunyai tarikan ikonik tersendiri.
Bagi Pengarah Jabatan Perubatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr. Nor Halizam Ismail, menerusi kaedah baharu itu proses kitar semula menjadi lebih mudah dengan penggunaan teknik yang lebih kemas dan bersih.
“Dengan pendekatan sebegini, masyarakat akan lebih mudah untuk mengamalkan kitar semula. Pada masa yang sama, kita dapat mengurangkan jumlah sampah yang bercampur antara tin, plastik dan pelbagai jenis sisa lain.
“Ini membolehkan sisa buangan kita lebih tertumpu kepada sampah domestik seperti sisa makanan sahaja,” katanya.
Dr. Nor Halizam turut berharap agar lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain dapat bersama-sama dengan Prasarana dan DBKL dalam memastikan bandaraya ini sentiasa bersih.
Bagi salah seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Azrul, kemudahan mesin tersebut sangat membantu memelihara ekosistem dan mengurangkan pencemaran alam sekitar hasil daripada pengeluaran bahan mentah baharu.
Dia yang berasal dari Sabah berkata, mesin seumpama itu sesuatu yang baharu dan sangat membantu untuk penumpang yang menggunakan bahan kitar semula dalam skala yang kecil. – UTUSAN










