PERKESO perjelas keperluan baharu di bawah Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan

PERKESO perjelas keperluan baharu di bawah Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul berhubung pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melibatkan kewajipan majikan memaklumkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu.

PERKESO menegaskan, bahawa penguatkuasaan terhadap pindaan mengenai seksyen 45F Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan 2025) hanya akan dilaksanakan selepas sesi urus bersama wakil-wakil majikan dan pihak berkepentingan terutama perusahaan kecil dan sederhana (SME).

“Pelaksanaan terperinci hanya akan bermula selepas mengambil kira semua maklum balas daripada sesi libat urus tersebut.

“Bagi memastikan peralihan yang teratur dan tidak membebankan majikan, PERKESO akan melaksanakan moratorium penguatkuasaan sehingga dua tahun, khususnya bagi membantu perusahaan kecil dan mikro menyesuaikan diri dengan keperluan baharu ini.

“Dalam tempoh ini, fokus adalah kepada pendidikan, libat urus dan pematuhan secara berfasa dan sukarela, bukan penalti.

“Proses memaklumkan kekosongan jawatan adalah mudah, ringkas dan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MYFutureJobs. Apabila jawatan diisi, maklumat tersebut boleh dikesan secara automatik melalui pendaftaran pekerja baharu; dan caruman majikan melalui portal dalam talian PERKESO, sekali gus mengurangkan beban pentadbiran majikan,” jelasnya.

Pindaan ini bukan bertujuan menghukum, tetapi PERKESO menjelaskan ia adalah untuk menambah baik ekosistem pekerjaan negara dalam memberi akses maklumat peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Malaysia, supaya pencari kerja dapat melihat peluang yang wujud secara telus dan teratur.

“Selain itu, ia juga berupaya membantu majikan memadankan pekerjaan dengan tenaga kerja yang sesuai, sekali gus meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengambilan.

“Seterusnya ia akan memberi gambaran pasaran buruh negara yang tepat, semasa dan teratur, bagi membolehkan kerajaan merangka dasar pekerjaan dan latihan kemahiran berdasarkan data sebenar.

“Kesemua matlamat ini adalah asas untuk memastikan pasaran buruh negara menjadi lebih dinamik, responsif dan mampan,” ujar PERKESO.

Sementara itu, PERKESO akan mengadakan siri townhall dan sesi libat urus menyeluruh bersama kumpulan majikan, persatuan industri dan pengamal sumber manusia selepas sesi Dewan Negara bagi menerangkan mekanisme pelaksanaan dan mendapatkan maklum balas industri.

PERKESO kekal komited memastikan pelaksanaan pindaan ini adil, seimbang dan menyokong perkembangan ekonomi serta pasaran kerja negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN