Penjenamaan Wakaf Wilayah Persekutuan elak kekeliruan zakat, wakaf

Penjenamaan Wakaf Wilayah Persekutuan elak kekeliruan zakat, wakaf

Selain menguruskan zakat yang dibayar oleh umat Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga mempunyai instrumen Wakaf Wilayah Persekutuan dalam menguruskan sumbangan daripada orang ramai. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjenamaan semula Wakaf Pusat Pungutan Zakat (Wakaf PPZ) kepada Wakaf Wilayah Persekutuan bukan langkah kosmetik, sebaliknya menandakan transformasi menyeluruh terhadap peranan, struktur dan hala tuju pengurusan wakaf di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, penjenamaan baharu itu memisahkan secara tuntas bidang wakaf daripada zakat yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, perubahan identiti itu dilakukan selepas penelitian mendalam terhadap keperluan menjadikan wakaf sebagai instrumen pembangunan jangka panjang yang berdiri sendiri, dengan mandat lebih jelas serta keupayaan mengurus projek berskala besar di Wilayah Persekutuan.

“Kami harapkan dengan nama baharu ini, kami akan membawa satu mesej yang lebih jelas kepada masyarakat bahawa pengurusan wakaf adalah amanah rasmi yang meliputi seluruh Wilayah Persekutuan.

“Faktor utama adalah kita berhasrat untuk mengasingkan fungsi kutipan zakat dengan pembangunan wakaf bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambahnya, melalui penjenamaan tersebut, Wakaf Wilayah Persekutuan akan digerakkan dengan struktur tadbir urus lebih profesional termasuk pengasingan fungsi, hala tuju pembangunan aset dan sistem pelaporan lebih jelas bagi meningkatkan keyakinan pewakaf.

“Pertama, ia menggambarkan ruang kuasa dari sudut demografi iaitu merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan.

“Yang paling penting sekali kami ingin membina keyakinan yang tinggi terhadap pentadbiran harta wakaf selain dapat memudahkan urusan pemasaran, dakwah dan komunikasi tentang projek-projek wakaf yang hendak dibangunkan,” katanya.

ABDUL HAKIM AMIR OSMAN

46 PROJEK PEMBANGUNAN WAKAF

Setakat ini, 11 daripada keseluruhan 46 projek wakaf telah berjaya dilaksanakan menerusi kutipan wakaf meliputi segmen sosial, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

Menurut Abdul Hakim, baki 35 projek masih dalam proses kerana melibatkan keperluan dana besar mencecah lebih RM400 juta, di samping memberi tumpuan kepada lima projek utama yang perlu didahulukan.

“Ia satu angka yang besar dan peranan kami adalah untuk membantu MAIWP bagi memperkasakan kutipan wakaf ini agar wang yang dipungut itu dapat membina satu ekosistem wakaf moden yang boleh memberi akses berkualiti kepada masyarakat bandar.

“Projek yang sudah lebih daripada separuh (jumlah kos) ini kita mahu percepatkan. Dan dah boleh buat kerja-kerja pecah tanah dan sebagainya, dah boleh mulakan.

“Pemilihan (projek) bergantung. Pertama dari segi keutamaan. Kedua dari segi kos projek. Kalau kos projek itu nampak tidak besar dan kita boleh usaha dipercepatkan, kita akan buat,” katanya.

SEMUA AGAMA DAN LATAR BELAKANG

Sehubungan itu, Abdul Hakim menyeru masyarakat termasuk syarikat korporat dan golongan muda untuk menyumbang bagi meningkatkan hasil kutipan wakaf yang akan disalurkan kepada projek-projek strategik.

Katanya, wakaf terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama atau latar belakang, sepertimana konsep tabung endowmen yang membolehkan sesiapa sahaja menyumbang secara tunai.

“Semua boleh menyumbang. Umat Islam mahupun orang bukan Islam juga boleh menyumbang dalam bentuk wakaf. Malah wang tidak patuh syariah seperti simpanan di bank konvensional (unsur riba) juga boleh dimasukkan.

“Dari segi manfaat, wakaf ini juga bukan hanya dinikmati oleh umat Islam tetapi juga oleh semua tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan sebagainya. Manfaatnya boleh digunakan secara bersama,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang meyumbang kepada wakaf menerusi Wakaf Wilayah juga layak menerima potongan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus.

“Kalau nak berwakaf, kena bayar kepada pihak yang mempunyai autoriti. Kami akan beri resit rasmi pembayaran dan ia boleh digunakan untuk mendapat tolakan daripada cukai pendapatan sebanyak 10 peratus daripada pendapatan bercukai.

“Konsep dia adalah di samping kita dapat menyumbang, kita juga dapat tolakan cukai dan dalam masa sama dapat mengumpul bekalan pahala.

“Amalan berwakaf ini adalah satu amalan yang sangat-sangat dituntut dan pahalanya mengalir bak air sungai, yang mengalir selagi mana manfaat itu digunakan,” katanya.

Antara projek utama di Wakaf Wilayah ialah Wakaf Smart Didik yang kini mengumpul dana bagi penyediaan smartboard di institusi pendidikan asnaf. Dengan sasaran RM4.71 juta, sebanyak RM620,510 telah dikutip setakat ini, meninggalkan RM4.06 juta lagi untuk dilengkapkan.

Inisiatif ini dijangka meningkatkan mutu pembelajaran melalui penggunaan teknologi digital dan memberi peluang pelajar asnaf menikmati pendidikan lebih interaktif serta setaraf sekolah arus perdana.

Bagi orang ramai sama ada organisasi korporat mahupun individu yang berminat untuk menyalurkan sumbangan wakaf, boleh melayari portal wakafwilayah.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN