PUTRAJAYA: Semua penuntut PUSPAHANAS perlu sentiasa melengkapkan diri dengan budaya pembelajaran berterusan kerana ilmu tidak pernah berhenti berkembang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerokaan ilmu itu tidak hanya di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) sebaliknya boleh diperoleh di mana sahaja di dunia.
“Anda bukan hanya dilatih sekadar untuk menjadi askar atau pengusung senjata sebaliknya dilatih menjadi pemimpin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) bagi sesi 2025 di PUSPAHANAS, semalam.
Katanya, kepimpinan ialah tunjang profesion ketenteraan dan menuntut kejelasan arah, kesatuan usaha serta keberanian membuat keputusan tegas walaupun sering kali di bawah tekanan yang amat tinggi.
“Dalam suasana yang kacau-bilau sama ada di medan perang, misi kemanusiaan dan operasi bantuan bencana, setiap pemimpin yang berkesan mampu menentukan hasil sesuatu keadaan,” katanya.
Katanya, beliau berharap ruang pendidikan yang diperoleh di PUSPAHANAS telah membentuk barisan pegawai tentera menjadi pemimpin diperlukan negara.
Mohamed Khaled turut mengingatkan barisan penuntut PUSPAHANAS supaya tidak lupa asal usul profesion masing-masing sebagai penjaga keamanan negara.
“Benar, anda dilatih dalam persenjataan, taktik dan suasana keras medan pertempuran, namun misi utama anda jauh melangkaui aspek mekanikal peperangan,” katanya.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar: Panglima Tentera Darat; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhammad Hafizuddeain bin Jantan: Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy bin Ithnain: Panglima Tentera Udara; Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM: Presiden PUSPAHANAS; Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, atase-atase pertahanan serta pegawai kanan ATM dan awam.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkesempatan meraikan seramai 270 penuntut yang bergraduasi bagi ketiga-tiga maktab selepas menamatkan pengajian di PUSPAHANAS.
Mereka terdiri daripada pegawai ATM daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk pegawai angkatan tentera negara asing.
Selain itu, turut serta dalam majlis graduasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD)daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sesi pertama graduasi menyaksikan Mohamed Khaled menganugerahkan sijil kursus dan lencana MKN kepada 24 penuntut Kursus MKN siri 6/2025 yang terdiri daripada 17 pegawai kanan berpangkat Brigedier Jeneral dan Kolonel serta tujuh pegawai kanan negara asing.
Selain itu, sesi kedua pula membabitkan penganugerahan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) berserta sijil kursus dan lencana MPAT kepada 70 orang penuntut Kursus MPAT siri 45/2025 yang terdiri daripada pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel.
Pengajian MPAT bertujuan melahirkan pegawai kanan tentera dan awam yang dapat berinteraksi secara efisien dengan badan pemerintah, ahli akademik dan cendekiawan bagi aspek pertahanan dan keselamatan.
Bagi sesi ketiga iaitu sesi terakhir pula telah disempurnakan menerusi penganugerahan diploma berserta sijil kursus dan lencana MTAT kepada 176 orang penuntut Kursus MTAT siri 54/2025 berpangkat mejar dan setaraf termasuk 33 pegawai tentera negara asing dan seorang pegawai kanan APMM. – UTUSAN










