KUALA LUMPUR: Pindaan yang dilakukan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2025 menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja, industri serta badan perundangan yang menandakan kesepakatan nasional terhadap keperluan perlindungan menyeluruh.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Datuk Abdul Halim Mansor, Lindung 24 Jam itu adalah hasil perjuangan panjang MTUC kesatuan sekerja sejak 10 tahun yang lalu.
“Ini juga menunjukkan bahawa tuntutan-tuntutan yang dibuat secara kolektif dan bersama di dalam kesatuan mendapat perhatian sewajarnya di pihak kerajaan, khususnya oleh KESUMA,” katanya.
MTUC Sabah dan Sarawak juga menekankan bahawa skim itu sejajar saranan ILO untuk membina sistem perlindungan sosial inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan masa depan.
“Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi contoh serantau dalam memperjuangkan hak dan keselamatan pekerja,” katanya.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Pejuang Kesatuan Sekerja Veteran, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal pula berkata, dengan perlindungan sepanjang masa, skim ini dijangka memanfaatkan lebih 9.6 juta pencarum aktif.
“Perkara itu menyelesaikan isu ribuan tuntutan kemalangan yang tidak layak sebelum ini kerana di anggap berlaku di luar waktu kerja.
“Langkah ini juga merupakan satu hadiah kepada pekerja di Malaysia menjelang tahun 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, perubahan ini sebagai reformasi penting yang menutup jurang perlindungan pekerja yang wujud sejak sekian lama.

Selain itu, Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, setelah hampir 10 tahun tertangguh, pelaksanaan skim itu amat-amat dihargai oleh CUEPACS lantaran keperluan mendesak bagi perlindungan menyeluruh pekerja pada masa kini yang tidak hanya tertumpu kepada kemalangan dan bencana di tempat kerja semata-mata.

Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pindaan itu memastikan dana PERKESO digunakan lebih berkesan untuk membantu pekerja dalam waktu genting. – UTUSAN










