Dapatan SEA-PLM 2024 bantu intervensi murid kuasai literasi dan numerasi
Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan enam inisiatif bagi meningkatkan literasi dan numerasi murid yang telah dilaksanakan dan kini diperkukuh semula selaras dengan dapatan kajian penandaarasan peringkat serantau iaitu Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024.
SEA-PLM merupakan satu pentaksiran serantau yang dianjurkan oleh SEAMEO setiap lima tahun dengan kerjasama UNICEF melibatkan tujuh buah negara ASEAN iaitu Filipina, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Vietnam, dan Timor-Leste pula menyertai buat kali pertama.
Inisiatif itu termasuklah 7 Teras Nadi Keunggulan KPM dengan memberikan fokus intervensi untuk mengatasi keciciran pembelajaran dan pelaksanaan Kurikulum Prasekolah bermula 2026 dengan memasukkan slot ‘Baca Bersama’ demi meningkatkan keupayaan literasi membaca anak-anak.
Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) juga dilaksanakan untuk memberi fokus kepada penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) yang lebih sistematik bagi Tahun 4 hingga Tahun 6, selain Program Intervensi Pengesanan Awal dan Intervensi Tahun 1 serta Program High Immersive (HIP) bagi menyediakan sokongan tambahan dalam penguasaan Bahasa Inggeris.
Pada masa sama, Program Pemulihan Khas turut dilaksanakan bagi murid berpencapaian rendah, khususnya murid yang belum menguasai asas membaca dan mengira selepas Tahap 1.
Dapatan Kajian SEA-PLM 2024 dilaksanakan bagi mengukur penguasaan asas literasi dan numerasi murid untuk meneliti dengan telus sejauh mana murid Tahun 5 di Malaysia benar-benar menguasai dua domain kajian itu iaitu asas pembelajaran Bacaan dan Matematik.
Sejumlah 4,379 murid di 158 buah sekolah rendah menjalani pentaksiran itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SJK Tamil (SJKT), SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, dan juga sekolah swasta.
Sebanyak empat medium bahasa yang digunakan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, sepadan dengan bahasa pengantar bagi domain bacaan dan matematik masing-masing.
Selain soalan ujian kognitif untuk murid, kajian tersebut turut melibatkan tinjauan soal selidik terhadap guru besar, guru, murid serta ibu bapa murid yang terlibat. Data ujian dan soal selidik diterjemah kepada dapatan yang menjelaskan realiti yang berlaku dalam bilik darjah, persekitaran sekolah dan juga rumah.
Hasil kajian itu mendapati, pencapaian Malaysia adalah stabil bagi domain Bacaan dan masih mengekalkan kedudukan melebihi purata serantau iaitu 314 mata, walaupun menurun hanya lima mata berbanding pusingan sebelum ini.
Sebanyak 69 peratus murid Malaysia mencapai Band 5 dan ke atas yang menunjukkan satu pencapaian baik iaitu mencapai aras penguasaan literasi asas setara dengan Sustainable Development Goal (SDG 4) – tahap profisiensi minimum mengikut standard antarabangsa.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad, pencapaian ini bukanlah sesuatu yang membimbangkan kerana kumpulan murid bagi kajian ini adalah dalam kalangan murid yang lahir pada tahun 2013.
Mereka adalah kohort yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melalui pembelajaran selama hampir dua tahun menerusi kaedah pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) ketika mereka di Tahun 1 dan Tahun 2.
“Gangguan pembelajaran pada awal fasa persekolahan ini merupakan faktor besar yang mempengaruhi penguasaan kemahiran asas mereka dan menjadi konteks penting untuk mentafsir dapatan SEA-PLM dengan lebih tepat.
“Ini menunjukkan pencapaian murid Malaysia berada pada tahap literasi membaca yang kompetitif walaupun menghadapi gangguan pembelajaran sewaktu tempoh pandemik Covid – 19.
“Fokus KPM seterusnya adalah untuk memastikan semua murid mencapai sekurang-kurangnya tahap minimum penguasaan apabila mereka tamat pembelajaran di sekolah rendah,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman dapatan SEA-PLM 2024, di sini Jumaat lalu.
Bagi pencapaian domain Matematik pula, Mohd. Azam berkata, ia masih mencatat skor melebihi purata serantau iaitu 310 mata dengan penurunan kecil sebanyak 5 mata berbanding pentaksiran lalu SEA-PLM 2019. Sebanyak 74 peratus murid Malaysia pula mencapai Band 5 dan ke atas.
Ini sekali gus menunjukkan asas numerasi murid Malaysia masih kukuh secara relatif, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam pemulihan pembelajaran.
Mohd. Azam berkata, trend ini membantu KPM merangka intervensi lebih bersasar untuk memastikan murid bukan sekadar pulih, tetapi mampu meningkatkan kemahiran matematik ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, dapatan itu menunjukkan pencapaian murid perempuan adalah lebih baik berbanding murid lelaki secara keseluruhan dalam domain Bacaan. Malah, jurang pencapaian antara murid lelaki dan perempuan semakin mengecil iaitu daripada 9 mata skor (2019) kepada 7 mata skor dalam SEA-PLM 2024.
Dalam kedua-dua domain Bacaan dan Matematik, murid yang tinggal di bandar menunjukkan pencapaian lebih baik berbanding murid di luar bandar. Namun, jurang pencapaian semakin merapat dalam kedua-dua domain.
Sementara itu, dalam dimensi status sosioekonomi, jurang pencapaian ketara dapat dilihat antara murid berstatus sosioekonomi rendah dan tinggi. Ini adalah jurang ekuiti paling dominan dalam SEA-PLM 2024, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat serantau.
EMPAT KEKUATAN BESAR SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Melalui analisis dapatan kajian SEA-PLM 2024 ini, terdapat empat kekuatan besar sistem pendidikan negara yang meyakinkan bahawa murid Malaysia mampu melangkah lebih jauh.
Pertama, murid Resilien di Malaysia. Sepertiga murid daripada keluarga status sosioekonomi (SES) rendah berjaya mencapai Band 5 dan ke atas. Ini membuktikan sokongan pembelajaran di sekolah, guru, pentadbir dan ibu bapa mampu memberi impak signifikan terhadap pencapaian kepada kumpulan SES rendah.
Kedua, minat murid terhadap membaca dan matematik kekal tinggi. Lebih 70 peratus murid menyatakan mereka suka membaca dan menunjukkan minat positif terhadap Matematik.
Ketiga, Nyala Rasa guru Malaysia. Sebanyak 62 peratus guru Tahun 5 sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk ke sekolah. Guru yang positif dan lebih berdedikasi mendorong kemajuan murid secara signifikan.
Keempat, aspirasi ibu bapa menjadi pendorong utama pencapaian murid. Sebanyak 75 peratus murid mempunyai ibu bapa beraspirasi tinggi iaitu ibu bapa yang mengharapkan anak mereka melangkah ke institusi pendidikan tinggi.
Secara keseluruhan, Mohd. Azam percaya, dapatan SEA-PLM 2024 memberikan satu gambaran jelas bahawa Malaysia bukan hanya perlu berusaha meninggikan skor purata, tetapi memastikan setiap murid tanpa mengira jantina, lokasi, atau latar belakang status sosioekonomi mendapat peluang pembelajaran asas yang adil dan saksama.
“Dapatan SEA-PLM ini bukan untuk melihat kedudukan, ranking, atau membanding-bandingkan, tetapi impak inisiatif yang dilaksanakan untuk memandu perancangan strategik bagi proses pendidikan inklusif, harmonis dan saksama bagi semua anak kita,” katanya. – UTUSAN










