‘Asal Tanah’ rai seni seramik tempatan

‘Asal Tanah’ rai seni seramik tempatan

Orang ramai tidak melepaskan peluang dengan mengunjungi Balai Seni Negara, Kuala Lumpur ketika cuti sekolah hingga hujung tahun ini. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran seramik Asal Tanah dilihat mengangkat seni seramik tempatan dengan menghimpunkan 38 pengkarya seramik dari seluruh negara bagi meraikan tanah sebagai medium asas, bahasa estetik dan tapak ekspresi seni kontemporari.

Pameran Asal Tanah yang berlangsung bermula 21 November lalu hingga 30 April 2026 depan menampilkan gabungan karya daripada Koleksi Seni Visual Negara, Persatuan Seni Seramik Perak (Persera), individu-individu dan After Monsoon Project 03.

Antaranya, Abdul Haniff Mohd. Noor; Awangko’ Hamdan Awang Arshad; Faridah Mohd. Yusoff; Rozana Musa serta pengkarya muda iaitu Gabriel Cheah dan Mubarak Jamik.

Pengarah Bahagian Media dan Pembangunan Seni, Lembaga Pembangunan Seni Negara, Baktiar Naim Jaafar berkata, sebanyak 83 karya seramik dipamerkan melalui hasil sentuhan 38 orang pengkarya yang dipilih bagi memperlihatkan kepelbagaian pendekatan, teknik dan pemikiran dalam seni seramik di negara ini.

Katanya, antara objektif pameran Asal Tanah bagi meraikan karya-karya seni seramik negara dengan keupayaannya menampilkan variasi teknik pembuatan, pembakaran dan penggunaan bahan asas berbeza menjadikan setiap karya bukan sekadar objek visual, tetapi juga medan eksperimen sains bahan dan pemikiran konseptual.

BAKTIAR NAIM JAAFAR

“Pameran ini turut membuka ruang kepada seniman muda yang masih baharu dalam bidang seramik, termasuk mereka yang mempunyai pengalaman kurang daripada lima hingga tujuh tahun untuk melihat secara langsung kepelbagaian pendekatan dan standard pengkaryaan seni seramik kontemporari selain memberi peluang mempamerkan karya mereka.

“Selain itu, kerjasama dengan Persera menyaksikan penyertaan sepuluh ahlinya yang terlibat secara aktif dalam bengkel dan penghasilan karya sama ada melalui karya baharu atau karya terpilih dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Turut ditampilkan karya-karya hasil program After Monsoon Project 03: ‘Tera-Kota’ Tanah–Tubuh–Tapak yang berlangsung di Pantai Pulau Kundur, Kelantan yang bertujuan memberi pendedahan kepada penduduk tempatan untuk eksplorasi hubungan antara tubuh, landskap dan bahan tanah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Baktiar berkata, pameran khusus seni seramik seperti Asal Tanah dilihat memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami dan menghayati nilai-nilai estetik, proses teknikal dan potensi ekspresi seni seramik sebagai medium setara dengan disiplin seni lain.

Jelasnya, pameran tersebut adalah sebahagian daripada program Spatial Creative – Ceramic Zone, iaitu Program Residensi Jangka Pendek Seramik yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara sebagai usaha memperkukuh ekosistem seni seramik tempatan secara berperingkat dan tersusun.

“Pameran ini sebagai usaha berterusan Balai Seni Negara dalam menghargai seniman seramik negara di samping menyokong eksperimentasi artis bukan seramik melalui program residensi, sekali gus membina jambatan antara pengkaryaan profesional dan penerokaan baharu.

“Secara keseluruhan, Asal Tanah bukan sekadar sebuah pameran tetapi cerminan ekosistem seni seramik Malaysia yang sedang berkembang dengan menghimpunkan institusi, studio, persatuan, pengkarya dan kolektor dalam satu ruang dialog yang hidup.

“Seni seramik bukan lagi seni pinggiran, sebaliknya sebuah medium kontemporari yang sarat dengan estetik, makna dan potensi untuk terus berkembang secara lestari di Malaysia,” ujarnya.

Pameran Asal Tanah bakal dilancarkan secara rasmi pada 15 Januari depan yang menghimpunkan kesemua pengkarya dengan beberapa program menarik seperti bicarawacana seni dan bengkel seramik serta terbuka kepada orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN