ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memainkan peranan sebagai universiti teknikal dengan menghasilkan pelbagai penyelidikan yang berimpak sebagai penyelesaian masalah dalam kalangan komuniti dan industri.
Bagi menjayakan hasrat itu, UniMAP progresif menuju ke arah penyelidikan bertanggungjawab menerusi penghasilan inovasi buat komuniti mahu pun industri yang dapat memberikan manfaat untuk jangka masa panjang.
Selain aktif melaksanakan penyelidikan untuk penyelesaian masalah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu turut tidak ketinggalan menghasilkan idea-idea baharu dalam kajian-kajian yang dijalankan.
Di peringkat komuniti, UniMAP turut giat bersama masyarakat bagi mengenalpasti masalah serta membantu kepada penyelesaian menerusi penyelidikan dan penghasilan inovasi tertentu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail berkata, sebagai contoh, menerusi Projek Komuniti Madani yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu, Kementerian Kewangan telah memfokuskan pemberian dana kepada universiti-universiti awam di negara ini bagi menghasilkan projek bermanfaat buat komuniti.
“Melalui inisiatif itu, kita telah turun bersama masyarakat bagi menyokong kepada penyelesaian masalah contohnya seperti membantu persatuan nelayan menghasilkan inovasi untuk mempercepatkan pengeringan ikan-ikan masin menggunakan konsep sistem pengeringan berasaskan solar.
“Dengan konsep dan penyelidikan dibangunkan itu, ia lebih membantu memudahkan komuniti terlibat dengan penggunaan sistem pengeringan berasaskan solar di samping mempercepatkan proses pengeringan ikan masin tersebut sekali gus mendorong kepada peningkatan ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Rizalafande berkata, pelajar UniMAP juga mempunyai program khusus dikenali sebagai Service Learning Malaysia-University For Society (Sulam) di mana kurikulumnya mewajibkan mereka bersama komuniti bagi mengenalpasti permasalahan dan menghasilkan inovasi sebagai langkah penyelesaian.
Katanya, selain memindahkan setiap hasil penyelidikan dan inovasi kepada masyarakat, perkara utama yang diberi penekanan oleh institusi pengajian itu adalah bagi memastikan setiap pelaksanaan memberi manfaat untuk tempoh jangka masa panjang.
“Apa yang paling penting sekali adalah proses pemindahan dan perkongsian ilmu menerusi bengkel atau seminar di mana sekurang-kurangnya membolehkan komuniti dan masyarakat ini dapat melakukan penyelenggaraan minima bagi memastikan projek itu berterusan dan bukan hanya separuh jalan sahaja,” katanya.
Selain komuniti, Rizalafande berkata, pihak industri juga sangat mengalu-alukan penglibatan UniMAP dalam membantu menyelesaikan permasalahan mereka menerusi penyelidikan dijalankan oleh institusi pengajian itu.
Beliau berkata, menerusi geran padanan bersama industri, penyelidik UniMAP akan mencari rakan kerjasama strategik dan membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi mereka dengan kaedah penyelidikan.
“Kadang-kadang, sesuatu isu yang berlaku dalam industri itu sememangnya memerlukan penyelidikan untuk menghasilkan sesuatu penyelesaian dan itulah antara peranan utama dimainkan oleh UniMAP. Sebagai contoh, kita telah membantu Hospital Langkawi dan Hospital Putrajaya sebelum ini bagi menghasilkan sistem pintar untuk mengesan keberadaan aset-aset elektronik seperti mesin dialisis, mesin x-ray dan pelbagai lagi.
“Menerusi pendekatan ini, ia secara tidak langsung meningkatkan kecekapan perkhidmatan buat masyarakat dan dalam masa sama, kita turut selitkan elemen kecerdasan buatan (AI) untuk dapatkan rekod kekerapan alat itu digunakan, jangka hayatnya dan tempoh untuk penyelenggaraan,” katanya.

Rizalafande berkata, menerusi geran padanan itu, pihak industri akan mengeluarkan dana tertentu bagi mendapatkan input daripada penyelidik berhubung sebarang permasalahan dihadapi mereka.
Menurutnya, UniMAP juga akan memberikan sebahagian daripada dana mereka kepada penyelidik terdiri daripada kakitangan dan pelajar untuk digunakan sebagai kos pergerakan bertemu pihak industri bagi sesi perjumpaan, perbincangan serta pelbagai lagi.
“Dana industri itu akan digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan permasalahan mereka jadi secara tak langsung ilmu yang kita ada di UniMAP boleh diaplikasi di peringkat industri.
“Tahun lepas juga UniMAP terima RM24 juta geran keseluruhan dan daripada jumlah itu, RM8 juta adalah daripada industri dan ini menunjukkan keyakinan mereka untuk kita membantu dengan melaksanakan pelbagai aktiviti penyelidikan,” katanya
Dalam pada itu, Rizalafande berkata, UniMAP turut menyokong hasrat kerajaan ke arah kelestarian alam sekitar dengan menggunakan konsep lampu jalan solar yang dihasilkan sendiri penyelidik mereka menerusi dana khas kerajaaan dalam Belanjawan 2025.
Menerusi inisiatif itu, beliau berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi pemasangan 1,100 tiang lampu solar di sempadan Malaysia-Thailand dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Pengkalan Hulu, Perak dengan jarak kira-kira 50 kilometer.
“Inisiatif dilaksanakan ini memberi manfaat dalam membantu pihak kawalan keselamatan yang sebelum ini tidak mempunyai sistem pengcahayaan mencukupi bagi melaksanakan rondaan sempadan,” katanya. – UTUSAN










