Johor terajui sektor pertanian negara

Johor terajui sektor pertanian negara

Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan oleh Onn Hafiz Ghazi sekali lagi meletakkan sektor pertanian sebagai antara fokus strategik negeri dengan peruntukan berjumlah RM48.24 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Johor terus membuktikan keunggulannya sebagai peneraju utama sektor pertanian negara.

Berdasarkan statistik terkini Banci Pertanian DOSM, Johor kekal di tangga teratas dengan nilai jualan pertanian RM27.2 bilion, eksport pertanian RM23.96 bilion, serta nilai jualan Industri Asas Tani (IAT) tertinggi Malaysia sebanyak RM348 juta.

Prestasi cemerlang ini menjadikan Johor penyumbang terbesar kepada KDNK pertanian Malaysia dengan sumbangan sebanyak 17.3 peratus.

Terima kasih kepada semua para petani, penternak, nelayan Johor dan pengusaha sektor pertanian dan agromakanan keseluruhannya! Mereka adalah wira sebenar di sebalik kejayaan yang terus menjadi kebanggaan Bangsa Johor.

Belanjawan Johor 2026: Pembangunan Sektor Pertanian

Seiring dengan potensi dan pencapaian cemerlang ini, Kerajaan Negeri Johor terus memberi keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan sektor pertanian dan agromakanan sebagai teras utama kepada kesejahteraan rakyat serta pemacu ekonomi negeri. Johor bukan sahaja berhasrat untuk menjadi “food basket” kepada Malaysia, malah bersedia melangkah lebih jauh sebagai “food bank” kepada negara-negara serantau dan antarabangsa.

Alhamdulillah, menerusi Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi sekali lagi meletakkan sektor pertanian sebagai antara fokus strategik negeri.

Peruntukan besar berjumlah RM48.24 juta merangkumi 25 inisiatif utama adalah bukti komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pertanian Johor secara menyeluruh, daripada pengeluaran, teknologi, penyelidikan, pemasaran hinggalah kepada kebajikan petani, penternak dan nelayan.

Antara program terbesar dalam belanjawan tahun hadapan ialah Jualan Kasih Johor dengan peruntukan RM15.4 juta, melibatkan 266 lokasi di seluruh negeri. Program ini terus menjadi platform utama membantu rakyat mendapatkan barang keperluan makanan asas pada harga lebih Istimewa, khususnya dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.

Pada masa yang sama, Bantuan Kasih Johor berjumlah RM13.6 juta akan disampaikan kepada lebih 33,000 petani, penternak dan nelayan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap wira-wira tani Johor atas sumbangan besar golongan ini kepada pembangunan sektor pertanian, bekalan makanan dan kestabilan ekonomi negeri.

J-ARDC: Tonggak R&D Pertanian Negeri

Belanjawan 2026 juga mengukuhkan pendekatan Johor ke arah pertanian moden dan berasaskan teknologi melalui peruntukan RM2 juta bagi pembangunan Johor Agriculture Research & Development Centre (J-ARDC).

Pusat penyelidikan ini akan menjadi hab kolaborasi antara kerajaan dan industri dalam memacu inovasi melalui pembangunan teknologi tanaman moden, analitik data pertanian serta penyelesaian berasaskan sains yang memberi impak langsung kepada produktiviti di lapangan.

J-ARDC akan menjadi institusi pelengkap kepada usaha menjadikan pertanian Johor lebih produktif dan berdaya saing di peringkat global. Ia turut menyokong strategi pembangunan sektor pertanian di bawah Agenda Maju Johor serta Dasar Agromakanan Negara.

Pelaburan GLC Dalam Pertanian Moden

Kerajaan Negeri juga terus menggalakkan penglibatan GLC dalam menggerakkan transformasi pertanian moden. Pelaburan GLC bukan sahaja mempercepatkan amalan teknologi moden, malah membuka ruang kerjasama strategik bersama usahawan tani untuk beralih kepada sistem pengeluaran yang lebih moden, berskala dan berdaya saing.

Sebanyak RM5 juta dilaburkan oleh GLC negeri (Kulim Malaysia Berhad) bagi melaksanakan projek pertanian bersepadu moden, termasuk teknologi fertigasi berskala besar, rumah hijau pintar, automasi ladang, penggunaan dron dan sistem IoT bagi pemantauan tanaman.

Pendekatan ini menyasarkan peningkatan produktiviti, pengurangan kos operasi dan pengeluaran hasil berkualiti tinggi.

Selain itu, peruntukan khas untuk mekanisasi teknologi dan automasi menerusi Jabatan Pertanian akan memperkukuh lagi keupayaan petani untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan tenaga kerja serta mengoptimumkan operasi ladang secara lebih efisien dan moden.

Durian dan Nanas Johor: Komoditi Ikonik Diperkukuh

Johor terus unggul sebagai pengeluar terbesar buah-buahan negara, termasuk durian dan nanas. Melalui peruntukan RM1 juta, Kerajaan Negeri menerusi Johor Biotech, Jabatan Pertanian, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan FAMA komited untuk memperkukuh strategi penjenamaan dua komoditi ini agar terus mengekalkan status sebagai ikon pertanian Johor di peringkat domestik dan antarabangsa.

Nanas MD2 dan durian premium seperti Musang King serta varieti tempatan berkualiti tinggi kini menjadi penyumbang penting kepada pasaran eksport negara, dan Johor bertekad untuk berada di hadapan dalam penerokaan peluang ini.

 

Penternakan & Perikanan Terus Dipacu

Sektor penternakan dan perikanan terus diberi tumpuan melalui peruntukan RM1.8 juta bagi subsektor penternakan dan RM2.2 juta untuk subsektor perikanan. Johor merupakan salah satu penyumbang utama ruminan negara, selain mencatatkan pengeluaran akuakultur sebanyak 32,992 metrik tan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai penyumbang utama protein segar negara.

Pembangunan industri ini akan turut diselarikan dengan sasaran pertumbuhan subsektor di bawah Agenda Keterjaminan Makanan Johor, termasuk peningkatan 62% pengeluaran akuakultur dan 34.5% populasi ruminan menjelang 2027.

Usaha memperkukuh subsektor penternakan ini turut diperkaya melalui pembangunan industri tenusu berskala besar di Jemaluang Dairy Valley (JDV), Mersing. Dengan sasaran penghasilan purata 7.9 juta liter susu setahun dalam tempoh 5 tahun pertama, JDV bakal menjadi pemangkin utama peningkatan pengeluaran industri tenusu negara.

Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar peruntukan kewangan, tetapi merangka hala tuju menyeluruh untuk membawa sektor pertanian negeri ini berada pada landasan moden, lebih produktif, dan mampan.

Dengan dokongan kukuh para petani, penternak, nelayan, usahawan tani, agensi kerajaan, GLC serta pihak industri, Johor berada pada posisi tepat untuk terus muncul sebagai Hab Agromakanan Negara dan Serantau.

InsyaAllah, kita akan terus bergerak sebagai satu pasukan demi mengangkat martabat sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri ini kekal utuh untuk manfaat bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN