13,904 graduan UKM dirai, dua terima Anugerah Pelajaran Diraja

13,904 graduan UKM dirai, dua terima Anugerah Pelajaran Diraja

Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan bertitah Perisytiharan Pembukaan Majlis Konvokesyen pada Majlis Konvokesyen Ke-53 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seramai 13,904 graduan diraikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Majlis Konvokesyen universiti itu yang ke-53, semalam.

Majlis konvokesyen yang diadakan dalam 20 sidang itu meraikan seramai 571 graduan Doktor Falsafah, 231 graduan Sarjana Kepakaran, 2,796 graduan Sarjana, 4,511 graduan Sarjana Muda, 108 graduan Diploma Pascasiswazah, 5,677 graduan Diploma Lepasan Ijazah dan 10 graduan Sijil Pascasiswazah.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berkongsi kejayaan 13,904 graduan UKM itu.

Baginda berpesan kepada semua graduan supaya menjadikan kejayaan mereka sebagai sejarah peribadi dalam kehidupan yang masih panjang.

“Kejayaan ini adalah berkat doa dan usaha guru dan ibu bapa. Sentiasa memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan keluarga dan masyarakat.

“Beta menaruh keyakinan kamu akan terus menjaga maruah dan nama baik universiti. Jika boleh, kembalilah kepada UKM untuk menyumbang ilmu dan kepakaran. Jadilah seorang alumni UKM yang boleh diteladani serta sentiasa dihormati,” titah baginda di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, di sini, semalam.

Tuanku Muhriz turut memberi perkenan untuk menubuhkan Kursi Diraja Tuanku Muhriz Integriti dan Tadbir Urus Baik yang disandang oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat merangkap Professor of Practice di Fakulti Undang-undang UKM.

“Beta bangga UKM mengambil inisiatif untuk memperbaiki keadaan yang berlaku melalui penubuhan Kursi Diraja ini dan turut menubuhkan Pusat Tadbir Urus dan Amalan Peraturan Baik UKM,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda yang merupakan Canselor UKM menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua graduan iaitu Meor Muhammad Naiman Meor Mohd. Jamil dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, dan Morvareed Mousavi dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda TESL dari Fakulti Pendidikan UKM, Syed Zuliqbal Syed Abd Halim pula dinobat sebagai penerima Anugerah Tun Abdul Razak.

“Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan yang bakal menerima anugerah atas kejayaan cemerlang terutamanya kepada dua orang pelajar yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

“Di samping itu, UKM turut memberikan sanjungan tertinggi kepada sembilan orang tokoh akademik UKM dengan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus,” titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh turut menyampaikan ucapan tahniah kepada seluruh graduan.

“Buat semua graduan UKM, jadilah seorang insan yang memikul amanah rakyat dan negara dengan telus dan berintegriti. Peliharalah kejujuran dalam setiap langkah dan laksanakan setiap tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Jangan sesekali lupa anda adalah cerminan UKM, universiti kebangsaan yang lahir daripada harapan dan doa masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN