KUALA LUMPUR: SME Venture@ASEAN 2025 menutup tirai penganjuran dengan kejayaan membanggakan apabila berjaya menarik seramai 13,850 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung, selain merekodkan potensi jualan bernilai RM520 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kejayaan penganjuran ini jelas membuktikan keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia dan serantau dalam meneroka pasaran baharu serta memperkukuh jaringan rentas sempadan.
Katanya, susulan kejayaan yang dicapai melalui acara ini, KUSKOP bersama SME Corp. Malaysia akan terus memberi komitmen dalam membantu PKS melangkaui pasaran domestik.
“Dengan fokus yang jelas di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), bagi meningkatkan penskalaan PKS, kami bermatlamat memacu pertumbuhan jangka panjang, meningkatkan daya saing dan memastikan kemampanan.
“Kami yakin bahawa peluasan akses pasaran adalah penting untuk meningkatkan PKS dan meletakkan mereka sebagai pemain yang kompetitif di peringkat global,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan SME Venture@ASEAN 2025, di sini semalam.
Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abdul Ghani.
Selain itu, Khairul berkata, SME Venture@ASEAN 2025 telah diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai Acara Perdagangan PKS ASEAN Terbesar 2025.
Katanya, sepanjang tiga hari penganjuran, sebanyak 424 sesi padanan perniagaan diadakan melibatkan 364 PKS dan 60 pembeli dari dalam dan luar negara melalui program GoASEAN Biz Match.
“Antara organisasi tempatan terkemuka yang menyertai termasuk Mydin Mohamed Holdings, Aeon Co (M) Berhad dan UDA Holdings (Mari Mart dan KIRANA).
“Pembeli antarabangsa pula terdiri daripada Autel Robotics (China), Jiuhua Century Investment Limited (Hong Kong), PLUS Exploration Co., Ltd (Thailand), Karl Group Holdings Corporation (Filipina), Dare Company Limited (Myanmar) dan Wot-Natural Khmer Moringa (Kemboja),” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 370 pempamer daripada sektor berimpak tinggi dan produk pengguna menyertai acara ini, termasuk 62 pempamer antarabangsa dari negara ASEAN, Jerman, India, Jepun, Oman dan Taiwan.
Selain itu, katanya, 19 PKS turut membentangkan potensi perniagaan kepada firma ekuiti swasta, penyedia modal teroka dan platform pembiayaan peer-to-peer melalui sesi Pitch2Go, dengan jumlah pembiayaan dan pelaburan yang berjaya diperoleh sebanyak RM70 juta.
“Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian Anugerah SME Venture@ASEAN 2025 yang menobatkan Ventura IOT Sdn. Bhd sebagai penerima Anugerah PKS Cemerlang, manakala CG Global Profastex Manufacturing Sdn. Bhd. dan Rodrell Sdn. Bhd. menerima Anugerah PKS Wanita Cemerlang dan Anugerah PKS Belia Cemerlang.
“Anugerah ini mengiktiraf PKS yang telah menunjukkan pencapaian mengagumkan dalam prestasi perniagaan dan pertumbuhan eksport,” katanya. – UTUSAN