PETALING JAYA: Penganjuran Anugerah Enterprise 50 (E50) pada tahun ini akan dilaksanakan pembaharuan lebih dinamik bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ketua Pegawai SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, antaranya menerusi aktiviti kesedaran awam dan program capaian menerusi siri jelajah Program E50 di tiga lokasi terpilih di seluruh negara.
Selain itu katanya, sesi jaringan perniagaan bersama Alumni E50 akan diteruskan bagi menggalakkan perkongsian pengalaman, memperluas rangkaian strategik serta mendorong tahap kecemerlangan dan daya tahan perniagaan dalam kalangan peserta.
“Langkah berterusan itu dilihat selari dengan usaha memperkasa ekosistem PKS negara serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk berkembang secara mampan,” katanya.
Anugerah dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rizal berkata, SME Corp. Malaysia telah melantik rakan pelaksana iaitu Estilo Media Group Sdn. Bhd., bagi mengurus serta melaksanakan program E50 untuk tempoh lima tahun.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen SME Corp. Malaysia bagi memastikan pelaksanaan program E50 dilaksanakan secara berstruktur, berkesan dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi memperkukuh daya saing PKS tempatan.
Menurut Rizal lagi, Malaysia akan meneruskan misi dalam mewujudkan PMKS yang berdaya saing, berinovasi dan berdaya tahan, bersandarkan kepada hala tuju strategik yang jelas sebagaimana direncanakan dalam Pelan Strategik Perniagaan (BSP) 2022-2030.
“Selain itu, pelbagai inisiatif dan program pembangunan yang berterusan akan dipergiatkan dalam membantu PMKS meningkatkan perniagaan dan menyerlahkan
penjenamaan mereka di peringkat global,” jelasnya. – UTUSAN










