Teater Bahaman angkat semangat perjuangan pahlawan Melayu

Teater Bahaman angkat semangat perjuangan pahlawan Melayu

Marzuki Ali (tengah) bersama barisan pelakon selepas selesai sesi pementasan ‘Bahaman’ di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Ibai, malam semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Legenda perjuangan pahlawan Melayu, Datuk Bahaman diangkat se­mula ke pentas menerusi pementasan teater epik bertajuk Bahaman hasil kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Setiu dan Kuala Nerus serta Grup Tea­ter Asyik (GTA).

Pementasan tersebut adalah kesinambungan usaha JKKN dalam memperkasa karya agung tempatan yang sarat dengan nilai sejarah dan patriotisme, selain mengangkat tokoh pen­ting tanah air sebagai inspirasi kepada generasi kini.

Pengarah Teater Bahaman, Marzuki Ali berkata, watak Datuk Bahaman melambangkan semangat juang dan kekentalan jati diri anak Melayu yang wajar dikenang sepanjang zaman.

“Jika tahun lalu kita me­ngangkat sosok JM Aziz yang menjadi tonggak dalam dunia seni dan sastera tanah air, tahun ini kita menyoroti tokoh pejuang yang menjadi simbol penentangan terhadap penjajahan.

“Kedua-dua karya ini membawa mesej besar iaitu menghargai sejarah, tokoh bangsa dan warisan seni untuk tatapan generasi kini dan akan datang,” katanya selepas pementasan teater itu di Kompleks JKKN Terengganu, malam semalam.

Pementasan selama 90 minit itu menggabungkan lakonan mantap, pencahayaan dramatik dan kesan visual yang memukau, menjadikannya bukan sekadar sebuah persembahan seni tetapi satu pengalaman yang menyentuh jiwa dan membangkitkan semangat cinta terhadap negara.

Marzuki turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan pementasan tersebut.

Antara watak utama ialah Deris yang dibawakan oleh Mohamad Asyraf Hakim Azmi serta Clifford yang dilakonkan oleh Mohd. Rashidi Mohamad Isa.

Katanya, penglibatan pelakon berpengalaman berjaya mengangkat mutu pementasan selain memperkukuh daya tarik teater tersebut kepada penonton.

“Kita berharap melalui karya seperti ini menyemarakkan minat generasi muda terhadap teater. Sebagai pengkarya, pementasan sebegini mampu memartabatkan seni teater khususnya di Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah JKKN Terengganu, Zahari Mat berkata, pihaknya yakin pendekatan melalui seni seperti ini adalah medium yang berkesan dalam mendidik masyarakat mengenai sejarah negara secara lebih berkesan dan bermakna.

“Pada tahun lalu, JKKN Terengganu mementaskan karya mengenai JM Aziz, tokoh seni dan sastera negara yang banyak berjasa dalam dunia penulisan dan pementasan.

“Kali ini, watak pejuang Datuk Bahaman dipilih bagi memperingati perjuangan luar biasanya dalam menentang penjajahan British demi mempertahankan kedaulatan tanah air,”katanya.

Zahari berkata, usaha itu juga dilihat sebagai langkah memperkukuh penghayatan terhadap sejarah negara serta memartabatkan warisan bangsa di persada yang lebih tinggi.

“Pada masa sama, kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, justeru pementasan berunsur sejarah seperti ini mampu memberi impak positif kepada penonton,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN