KUALA LUMPUR: Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 bakal kembali dengan skala lebih besar dan berimpak tinggi apabila berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Acara berprestij anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ini bakal menghimpunkan pemimpin industri, pakar antarabangsa serta penggiat sumber manusia dari serata dunia.
Dengan tema Navigating Human Capital Revolution atau Menerajui Revolusi Modal Insan, NHCCE 2025 memberi fokus terhadap keperluan organisasi dan ekonomi untuk terus beradaptasi, berinovasi dan berkembang maju dalam era perubahan teknologi, demografi serta tuntutan tenaga kerja global.
Sempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, HRD Corp turut menganjurkan acara sepanjang tahun di peringkat Asean yang dikenali sebagai ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, yang menjadikan NHCCE 2025 sebagai salah satu platform utama di bawah AYOS 2025. Penganjuran ini untuk memperkukuh kerjasama, merapatkan jurang kemahiran dan menggalakkan mobiliti bakat di peringkat serantau.
Antara tumpuan utama persidangan adalah pembangunan tenaga kerja masa depan, transformasi digital, ekonomi hijau serta kepimpinan inklusif yang bakal membentuk landskap pekerjaan rantau ini.
Menurut HRD Corp, NHCCE tahun ini disusun berteraskan empat pilar utama iaitu tenaga kerja sedia masa depan, perniagaan dan ekonomi mampan, transformasi digital serta kepimpinan.
Topik perbincangan termasuk Skills Without Borders: Bridging Gaps, Unlocking Potential; The Green Talent Economy: Creating Jobs for a Sustainable Future; The Rise of AI-Powered Workplaces: Reshaping the Way We Work; Tech-Driven Futures: Balancing Tech and Talent serta The Human Touch in the Age of AI.
Agenda persidangan selama tiga hari ini akan meliputi ucaptama plenari, sesi panel, perbincangan meja bulat, fireside chat dan pocket talk yang memberi peluang peserta memperoleh pandangan strategik daripada pakar terkemuka dunia.

Antara barisan penceramah ialah ahli fizik terkenal dunia, Dr. Michio Kaku; pengasas Mindvalley, Vishen Lakhiani; bekas juara dunia skuasy, Datuk Nicol David; pakar strategi kepimpinan, Dr. Shadé Zahrai; serta legenda Formula Satu, David Coulthard.
Turut serta ialah tokoh korporat tanah air, Dato’ Sri Idris Jala, wartawan pemenang anugerah Peabody, Mariana Atencio serta jurulatih kepimpinan dan konduktor orkestra, Jason Lai.
Selain sesi ilmiah, peserta berpeluang membina rangkaian kerjasama menerusi platform BizMatch, pameran interaktif dan pameran industri yang dijangka menarik ribuan pengunjung.
Persidangan ini turut menyediakan ruang jaringan strategik antara pemimpin industri, pengamal modal insan, penggubal dasar dan pemain pasaran pekerjaan bagi memperkukuh daya saing modal insan rantau ini.
Dalam konteks ASEAN, NHCCE 2025 akan memberi tumpuan kepada usaha menutup jurang digital, mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti serta memperkukuh kemahiran hijau seiring dengan agenda kelestarian global.
HRD Corp menegaskan NHCCE bukan sekadar persidangan, tetapi merupakan platform rujukan serantau yang mendorong inovasi, memperkasa bakat dan memastikan ASEAN kekal di barisan hadapan revolusi modal insan dunia.
Tiket penyertaan ditawarkan dalam pelbagai pakej termasuk untuk pelajar, sektor kerajaan, kumpulan korporat serta peserta antarabangsa, bermula serendah RM850.
Selain itu, penajaan turut dibuka dengan nilai bermula RM100,000 yang memberi peluang kepada jenama korporat tampil lebih menonjol melalui slot ucapan, ruang pameran serta promosi media.
Pendaftaran kini dibuka dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang rasmi hrdcorp.gov.my/nhcce. – UTUSAN










