Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 baru-baru ini mengingatkan kita kepada detik bersejarah 31 Ogos 1957, tarikh lahirnya sebuah negara bangsa yang bukan sahaja bebas daripada belenggu penjajahan, malah berjaya menyatukan negeri-negeri berdaulat di Semenanjung Tanah Melayu. Semangat inilah yang akan diteruskan dalam sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti. Walaupun penulisan ini tidak menyingkap sejarah secara terperinci, ia cuba mengangkat makna kemerdekaan – iaitu menuju ke arah Raghadul-Balad, yakni sebuah negara yang makmur dan diberkati.
Dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), Bab 1: Melakar Semula Pembangunan jelas menegaskan tekad Kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus baik. Antara penanda aras utama ialah kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) serta IMD World Competitiveness Yearbook.
Sasaran yang ditetapkan adalah kedudukan 25 teratas bagi CPI dan 12 teratas dalam IMD. Untuk mencapai sasaran ini secara sistematik, sebuah Pasukan Petugas Khas CPI telah ditubuhkan dan diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara. Persoalannya, mengapa CPI dipilih sebagai penanda aras utama? Bukankah ia hanya bersifat persepsi terhadap tahap rasuah dalam sektor awam?
Untuk menjawab persoalan itu, kita perlu memahami bahawa CPI adalah indeks tahunan yang diterbitkan oleh Transparency International. Indeks ini merupakan penarafan negara antara 0 (sangat korup) dan 100 (sangat bersih), berdasarkan pada penilaian pakar dan tinjauan pendapat.
Bagi Malaysia, markah skor CPI ialah markah purata 9 survei antarabangsa yang berasingan. Survei ini menilai beberapa elemen tatatakelola baik seperti tahap demokrasi, kebebasan rakyat dalam memilih pemerintah dan bersuara, ekonomi, tadbir urus sistem kehakiman, pengauditan negara, pengurusan dana awam, kecekapan kerajaan serta kecekapan sektor perniagaan, risiko politik, risiko kewangan, perundangan, sistem pihanraya dan hak asasi manusia.
Justeru, CPI bukan sekadar mengukur rasuah, tetapi turut menggambarkan isu governans, corak penggubalan dasar, ketelusan birokrasi kerajaan, kestabilan politik dan ekonomi.
Natijahnya, tahap rasuah di mana-mana negara mempunyai pengaruh besar terhadap pertumbuhan ekonomi, yang biasanya diukur dari segi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita dan pelbagai peringkat pelaburan. KDNK ini mengukur prestasi ekonomi dan pembangunan sesebuah negara.
Persepsi rasuah yang tinggi yang ditunjukkan oleh skor CPI yang rendah sangat berkemungkinan untuk tidak menggalakkan Pelaburan Langsung Asing (FDI). Pelabur mengkhuatiri negara di mana rasuah, birokrasi serta kekurangan ketelusan akan meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan mengurangkan potensi keuntungan. Lucarelli et al.(2024) menunjukkan bahawa skor CPI mempunyai korelasi yang kuat dengan aliran masuk FDI secara perhubungan yang negatif. Oleh itu, semakin banyak negara itu dianggap sebagai rasuah, semakin kurang pelaburan yang diharapkan.
Selain itu, rasuah menyebabkan pengalihan dana awam seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur ke arah perkhidmatan yang tidak diperlukan oleh rakyat. Ini semua akan menjejaskan pembangunan ekonomi jangka panjang. Apabila dana yang sepatutnya digunakan dalam pembangunan masyarakat dialihkan melalui rasuah, infrastruktur, sistem pendidikan dan perkhidmatan kesihatan menjadi daif (Spyromitros & Panagiotidis, 2022). Ini bukan sahaja mengurangkan taraf hidup umum dalam kalangan rakyat tetapi juga menghalang pembangunan tenaga buruh mahir, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Sebaliknya, negara yang mempunyai skor CPI yang tinggi berkemungkinan besar mempunyai prestasi ekonomi yang lebih baik. Negara sedemikian cenderung memiliki sistem perundangan yang mantap, sistem tadbir urus terbuka serta agensi kerajaan yang berkesan yang mewujudkan iklim yang menggalakkan untuk pelaburan dan operasi ekonomi.
Sebagai contoh, negara teratas dalam senarai CPI seperti Denmark, Finland dan New Zealand, sentiasa menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi, pembangunan inovasi dan petunjuk pembangunan sosial yang tinggi (Transparency International, 2024). Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita bagi tahun 2024 mereka masing-masing ialah 73,790, 51,710 dan 46, 280 (USD). Malah negara Asia seperti Singapura yang menempati kedudukan ke-3 CPI, mempunyai GNI per kapita setinggi 74,750 (World Bank, 2025). Ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang amat disanjung tinggi di negara-negara tersebut, kerana ini semua memastikan keadaan perniagaan yang adil dan merangsang pelaburan dalaman dan luaran.
Selain itu, skor CPI yang tinggi dapat meningkatkan reputasi sesebuah negara di arena antarabangsa dan akan memudahkan urusan perdagangan dan kerjasama antara negara. Sesebuah negara yang dianggap sebagai rendah korupsi, negara itu lebih berpotensi menerima bantuan pembangunan dengan lebih mudah, melibatkan diri dalam hubungan antarabangsa dan menikmati terma keutamaan perdagangan yang istimewa (Hanousek et al., 2021). Ini, seterusnya, merangsang pertumbuhan ekonomi disebabkan peningkatan kebolehcapaian pasaran, pemindahan teknologi dan inovasi.
Namun begitu, kita juga perlu mempertimbangkan kelemahan CPI. Sebagai satu indeks yang berdasarkan persepsi, ia mungkin tidak menggambarkan tahap sebenar rasuah dalam sesebuah negara dengan tepat. Tambahan pula, CPI gagal membezakan antara pelbagai bentuk rasuah, termasuk rasuah kecil dan rasuah besar yang kedua-duanya boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara berbeza (Mombeuil & Diunugala, 2021).
Sememangnya persepsi itu bukan satu kepastian, ia boleh jadi betul dan ia boleh jadi tidak, tetapi yang pastinya adalah bahawa suatu persepsi telah tercipta. Tanpa mengira kelemahan ini, CPI masih merupakan instrumen yang berguna dalam membandingkan tahap rasuah yang dilihat dan bagaimana rasuah boleh menjejaskan pembangunan ekonomi. Persepsi ini pula akan mempengaruhi cara tanggapan dan tindakan seseorang.
Akhir sekali, Indeks Persepsi Rasuah ini adalah sangat penting dalam menilai prospek pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. CPI memberi kesan kepada amalan pelaburan, dasar dan kerjasama global dengan menawarkan gambaran tentang tahap rasuah yang dilihat.
Negara yang mempunyai skor CPI yang tinggi berpotensi mengalami peningkatan pelaburan, inovasi dan prestasi ekonomi yang lebih baik, manakala negara yang mempunyai skor CPI yang rendah akan membantutkan pelaburan, pengalihan dana awam serta menghalang pembangunan. Seterusnya, sebarang usaha untuk meningkatkan skor CPI sesebuah negara melalui tatakelola baik berteraskan prinsip ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan adalah suatu yang kritikal dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Inilah juga peringatan Tuhan di dalam al-Quran: “Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya secara ‘raghad’ (melimpah ruah, diberkati dan makmur) dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka lakukan.” (Surah an-Nahli: 112)

Penulis ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).