MELAKA: Malaysia akan terus mempertahankan budaya dan warisan semula jadi termasuk melindungi ekosistem bagi memajukan sektor pelancongan negara hingga ke peringkat global.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sektor pelancongan adalah salah satu sektor yang paling dinamik dan paling pesat berkembang di Malaysia termasuk di dunia.
Menurutnya, di peringkat global, industri pelancongan pulih sepenuhnya pada tahun 2024 dan terus berkembang sebanyak lima peratus pada separuh pertama tahun ini.
Beliau berkata, tahun lalu Malaysia menerima kedatangan 38 juta pelancong antarabangsa manakala dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini merekodkan kedatangan 20.6 juta pelancong luar negara, peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Pertumbuhan sahaja tidak lagi mencukupi, kita mesti bertindak segera untuk melindungi ekosistem, mengurangkan kesesakan, menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong dari luar.
“Di Malaysia, isu-isu berkaitan kesesakan di bandar warisan telah menyumbang kepada penurunan Indeks Pembangunan Pengembaraan dan Pelancongan, iaitu, daripada tangga Ke-27 pada 2019 kepada Ke-35 pada 2024,” katanya pada majlis perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sini, semalam.
Perasmian majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof serta turut dihadiri Setiausaha UN Tourism, Zurab Pololikashvili dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
King Sing berkata, penganjuran WTD dan WTC bukan sahaja memberi fokus kepada rangka kerja global, tetapi melihat penyelesaian yang telah dilakukan oleh Malaysia mempertahankan budaya dan warisan semula jadi termasuk melindungi ekosistem di negara ini.
Menurutnya, sebagai contoh di Sabah, Homestay Miso Walai melindungi ekosistem hutan hujan sambil menyokong lebih 350 keluarga di situ.
Beliau berkata, di Pulau Pinang, The Habitat yang merupakan salah satu tarikan utama telah melabur semula pendapatan pelancongan dalam pemuliharaan hutan hujan dan latihan manakala Penang Heritage Trust melindungi warisan hidup.
“Mersing pula tidak lama lagi akan menjadi tuan rumah pemerhatian pelancongan mampan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama di Malaysia,” katanya. – UTUSAN