KOTA KINABALU: Pesawah di Kota Belud kini menikmati hasil pengeluaran lebih tinggi selepas menyertai program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan di bawah syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Salah seorang petani terlibat ialah Adlin Mohamad, 51, yang merupakan generasi ketiga meneruskan usaha arwah ayahnya di Kampung Jawi-Jawi dekat sini.
Berminat dengan bidang pertanian sejak umur 18, sistem pertanian beliau yang dahulunya secara tradisional menggunakan kerbau untuk membajak sawah kini berubah ke sistem yang lebih moden.
Antara teknologi yang diaplikasikan dalam perusahaan beliau termasuklah menggunakan jentera pembajakan serta kaedah drone untuk memantau ladang.
Kini, beliau memainkan peranan yang lebih strategik dengan menyelia operasi dan menguruskan pasukan peladang, menggabungkan pengalaman tradisionalnya dengan kaedah pertanian moden.
Kebanyakan proses kini tertumpu pada pemantauan, perancangan dan pengurusan, dan bukannya kerja fizikal semata-mata.
Rutin kerja harian beliau bermula dengan peninjauan kawasan ladang, kemudian membuat penjadualan bagi menyiram padi.
Adlin memberitahu bahawa terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh petani-petani padi pada zaman sekarang.
Antaranya adalah peningkatan kos pembajakan, serta peningkatan harga racun yang dikatakan beliau sebanyak 50 ke 70 peratus.
“Alhamdullilah, baru-baru ini kita telah dibantu oleh kerajaan untuk meningkatkan subsidi harga padi dan harga lantai padi.
“Tapi kami memohon kepada kerajaan untuk membantu dari segi penetapan kos kenaikan racun dan pembajakan.
“Harga lantai juga harus dikawal supaya pihak kontraktor tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan kos,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Adlin turut berterima kasih kepada pihak BERNAS kerana telah memilih Kampung Jawi-Jawi sebagai projek perintis SMART SBB pertama di Sabah pada 2022.
Menurut beliau, petani-petani di kawasan seluas lebih kurang 41 hektar tersebut telah berjaya meningkatkan ekonomi mereka berbanding dahulu.
Tambahnya, bimbingan yang diberikan oleh BERNAS juga telah membantu mereka untuk mengubah cara pengusahaan daripada kaedah tradisional ke moden.
Terdapat 19 peserta program SMART SBB di kawasan Kampung Jawi-Jawi.
“Menggunakan kaedah tradisional, dulu kami hanya dapat hasil lebih kurang dua hingga tiga tan metrik per hektar (mt/ha).
“Dengan projek SMART SBB ini, kami dapat hasil sebanyak 4.11 tan mt/ha pada musim pertama.
“Dan lebih membanggakan lagi, tahun ini kami telah mencapai hasil sebanyak 4.56 mt/ha,” beliau berkata.
Adlin juga menyatakan rasa syukur kerana semua peserta program tersebut telah dibekalkan dengan benih padi TR8, iaitu satu benih yang sesuai dengan keadaan kawasan tersebut dan dapat menahan daripada serangan serangga.
“Tetapi kalau boleh, kami ingin minta agensi pertanian untuk membekalkan varieti benih padi yang baru.
“Ini kerana kami telah lama menggunakan benih TR8 ini, jadi mungkin terdapat varieti baru yang boleh meningkatkan lagi hasil pertanian di kawasan kami,” kata beliau.
Sebagai penyumbang kepada memastikan keterjaminan makanan negara melalui penghasilan makanan ruji, beliau juga berkongsi harapan bagi masa depan industri ini.
Adlin berharap pihak kerajaan agar terus membantu para petani dalam pelbagai bidang seperti melalui program SMART SBB.
“Kami mohon agar program seperti ini diteruskan dan diperluaskan lagi di Sabah, dan agar peruntukan ditambah untuk semua agensi yang berkaitan.
“Dan sebab kami juga ada mengalami sedikit masalah infrastruktur, kami juga mengharap kerajaan untuk menambah kos pembangunan infra,” kata beliau. – UTUSAN