KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion pada tahun 2024.
Menurut statistik rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS telah berkembang sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2024, kekal mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1 peratus dan Bukan PMKS pada kadar 4.7 peratus.
Prestasi memberangsangkan yang selari dengan trajektori pertumbuhan ekonomi keseluruhan Malaysia ini dipacu oleh sektor pembinaan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.3 peratus, berbanding 5.8 peratus pada 2023.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ia merupakan rekod pertumbuhan paling kukuh pernah dicapai oleh PMKS sektor pembinaan dalam tempoh 10 tahun lalu, disokong terutamanya oleh subsektor pertukangan khas (special trades), sekali gus memberi momentum tambahan kepada prestasi keseluruhan PMKS.
“Hasilnya, sumbangan PMKS kepada KDNK keseluruhan meningkat kepada 39.5 peratus pada 2024, berbanding 39.3 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya dalam Sidang Mediar Prestasi PMKS 2024 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP); Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia; Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia dan
Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia

Ewon Benedick berkata, prestasi PMKS itu bukan sahaja dibuktikan di peringkat domestik, malah meliputi integrasi dalam rantaian nilai global dimana eksport PMKS melonjak dengan ketara sebanyak 31.3 peratus atau hampir RM50 bilion kepada RM196.8 bilion.
“Ini merupakan peningkatan yang luar biasa berbanding pertumbuhan 3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2023 dengan nilai RM149.9 bilion.
“Malah, eksport PMKS juga adalah jauh lebih kukuh berbanding Bukan PMKS atau firma besar yang mencatatkan pertumbuhan eksport sekitar 7.2 peratus,” ujarnya.
Susulan prestasi yang memberangsangkan ini, peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport negara telah meningkat secara signifikan kepada 14.3 peratus pada tahun 2024 berbanding 12 peratus pada 2023.
Momentum eksport luar biasa ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda, iaitu daripada RM33.2 bilion kepada RM71.3 bilion pada tahun 2024, disokong terutamanya oleh industri berkaitan pelancongan.
Dalam pada itu, Malaysia turut menerima 38 juta pelancong asing pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 31.1 peratus pada 2023, bersamaan dengan 29 juta pelancong.
“Perkembangan positif dalam industri pelancongan telah memberi kesan limpahan yang menggalakkan terhadap eksport PMKS, memandangkan lebih separuh daripada PMKS atau 55.6 peratus terlibat secara aktif dalam industri berkaitan pelancongan,” ujarnya.
Katanya lagi, begitu juga dengan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India turut menyokong lonjakan dalam bilangan pelancong.
“Dalam aspek guna tenaga pula, PMKS menggaji seramai 8.1 juta orang pekerja, iaitu kenaikan sebanyak 3.1 peratus atau tambahan hampir 250,000 pekerja. Justeru, sumbangan PMKS kepada guna tenaga keseluruhan meningkat kepada 48.7 peratus pada tahun 2024 berbanding 48.5 peratus pada 2023,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ewon turut memaklumkan, produktiviti pekerja PMKS adalah RM80,507 bagi setiap pekerja, bertambah baik daripada nilai yang dicatatkan pada tahun 2023 iaitu RM78,475 bagi setiap pekerja.
“Berdasarkan jangkaan situasi ekonomi pada tahun ini, pelbagai faktor dan cabaran dijangka memberi kesan kepada prestasi perniagaan PMKS. Di antaranya termasuklah tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.
Jelasnya lagi, situasi semasa ini memberi peluang kepada PMKS untuk mengubah cabaran kepada pertumbuhan perniagaan yang strategik dengan menilai semula struktur rantai bekalan, penerapan amalan ESG dan tahap pendigitalan firma.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama agensi-agensinya khususnya SME Corp. Malaysia komited dalam membangunkan PMKS melalui pelaksanaan intervensi bersasar. Penskalaan perniagaan PMKS akan menjadi agenda utama dalam melonjakkan pertumbuhan, sekaligus mewujudkan PMKS yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.
“Saya yakin bahawa prestasi positif PMKS akan membantu mencapai sasaran KUSKOP untuk meningkatkan perusahaan bersaiz sederhana daripada 1.8 peratus pada masa kini kepada lima peratus menjelang tahun 2030.
“Prestasi mantap dalam eksport meneguhkan lagi kedudukan PMKS dalam pasaran global. Sejak tahun 2022 di bawah Program Pengukuhan Eksport PKS, SME Corp,” katanya.
Malaysia telah mempromosikan PMKS Malaysia di luar negara dan menyokong mereka melalui pembinaan kapasiti dan bantuan kewangan menerusi penghubung pasaran (market linkers) yang dilantik.
“Matlamat kami di bawah RMK13 adalah untuk meningkatkan eksport PMKS melalui inisiatif khusus yang disasarkan bagi memperkasa sektor berimpak tinggi, pengantarabangsaan dan kelestarian PMKS.
“Malah, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, SME Corp. Malaysia akan menganjurkan SME Venture@ASEAN 2025 dari 16 sehingga 18 Oktober 2025 yang menawarkan peluang terbaik kepada PMKS untuk menembusi pasaran eksport terutamanya di rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN