myWaqafPTPTN bantu mahasiswa teruskan pengajian di IPT

myWaqafPTPTN bantu mahasiswa teruskan pengajian di IPT

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yakin sumbangan pelbagai pihak kepada myWaqafptptn akan membolehkan ramai pelajar mendapat manfaat daripada dana pendidikan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif my­WaqafPTPTN yang diper­kenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat sebagai langkah strategik dan inovatif dalam usaha menangani masalah pembiayaan pendidikan tinggi di negara ini.

Hasil kerjasama strategik antara PTPTN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) semakin mendapat perhatian apabila ber­jaya membantu meringankan masalah kewangan mahasiswa da­ripada keluarga B40, M40 serta golongan asnaf.

Inisiatif berasaskan wakaf tunai itu membolehkan PTPTN memperluas sumber dana pen­didikan sebagai pelengkap kepada skim pinjaman sedia ada.

Ia turut memberi peluang kepada masyarakat termasuk in­dividu, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), ba­dan berkanun, kerajaan ma­hupun entiti luar negara un­tuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Semua dana wakaf yang dikumpul diuruskan YWM sebagai ‘Ain Waqaf’ dan seterusnya dilaburkan ke dalam portfolio patuh Syariah sebelum diagihkan kepada pelajar terpilih.

Penerima manfaat terdiri daripada mahasiswa asnaf, B40 dan M40 tanpa mengira agama, manakala pewakaf layak menikmati potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat seperti diperuntukkan Sub­seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Uni­versiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pendekatan itu membolehkan PTPTN mem­pelbagaikan sumber dana melalui konsep wakaf tunai sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pinjaman pendidikan.

“Wakaf telah lama terbukti sebagai instrumen kewangan sosial yang mampan dan mampu menjana pulangan berterusan. Dengan penginovasian konsep ini, PTPTN bukan sahaja membuka ruang sumbangan lebih luas daripada masyarakat dan kor­porat, malah ia juga membantu me­ngurangkan tekanan ke atas belanjawan kerajaan.

“Inisiatif ini boleh dianggap sebagai bentuk pembiayaan ber­dampak sosial kerana dana yang dikumpul akhirnya melahirkan modal insan berpendidikan tinggi tanpa dibelenggu hutang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, myWaqaf­PTPTN juga berpotensi mengu­rangkan isu hutang pendidikan tinggi dalam kalangan graduan, bergantung kepada jumlah dana yang berjaya dihimpun serta di­kem­bangkan.

Katanya, dana wakaf berkenaan akan dilaburkan dan pulangannya digunakan bagi membiayai kos pengajian pelajar sama ada secara penuh atau separa.

“Pada peringkat awal, man­faatnya mungkin terhad kepada se­bahagian kecil pelajar, namun da­lam jangka panjang ia mampu menjadi model pembiayaan mampan sekali gus mengurangkan be­ban hutang negara dan gra­duan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Idham berkata, akses pendidikan tinggi kepada golongan B40 dan asnaf melalui dana wakaf mem­beri kesan berganda bukan sa­haja kepada pembangunan modal insan, malah juga kepada per­tumbuhan ekonomi negara.

“Pendidikan mampu me­mu­tuskan kitaran kemiskinan, me­ningkatkan pendapatan ser­ta merangsang pertumbuhan ekonomi. Dari sudut sosial pula, ia dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan dan membina masyarakat yang lebih stabil serta produktif.

“Lebih penting, pelajar bukan sekadar menerima bantuan, te­tapi diberi peluang berdikari me­lalui pendidikan. Dalam jangka panjang, apabila mereka berjaya, ada kemungkinan mereka pu­la akan menjadi pewakaf, me­wu­judkan kitaran kebajikan berte­rusan,” jelasnya.

NUR DINI HIDAYAH
MOHD. NIZAN

Pelajar Diploma Seni Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh, Nur Dini Hidayah Mohd. Nizan, 21, berkata bantuan yang diterima amat meringankan beban kewa­ngan hariannya.

“Bantuan ini membolehkan saya lebih fokus pada pem­be­lajaran tanpa terlalu risau soal kos pengajian. Konsep wakaf ini sangat bermakna kerana ia berasaskan keikhlasan dan man­faatnya berkekalan. Ia bukan sa­haja membantu pelajar hari ini, malah menjadi saham akhirat bagi penyumbang.

“Saya rasa inisiatif ini sangat baik kerana tidak semua pelajar mampu menanggung pinjaman. Dengan adanya myWaqafPTPTN, kami dapat meneruskan pengajian dengan lebih tenang tanpa terikat sepenuhnya dengan hutang,” katanya.

Bagi pelajar Diploma Pen­tadbiran Awam, Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) Kampus Se­remban 3, Farah Emily Mo­hammad Nor, 19, bantuan itu memberi impak besar dalam me­ngurangkan beban kewangan sepanjang pengajian.

“Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini membolehkan saya lebih fokus pada tugasan tanpa perlu risau soal kos pengajian. Inisiatif ini juga memberi impak positif kerana selepas tamat pengajian, kami tidak terbeban dengan bayaran balik pinjaman.

“Saya menyokong penuh agar skim ini diperluas kerana masih ramai pelajar yang layak menerima manfaat, khususnya mereka yang tidak memperoleh biasiswa. Saya berharap dana wakaf ini terus berkembang supaya lebih ramai masyarakat Malaysia terdorong me­lanjutkan pelajaran dan se­terusnya berbakti kepada tanah air,” jelasnya.

Sementara itu, pelajar Diploma Pengurusan Halal UiTM Kampus Kuala Pilah, Adam Arif Sharollizam, 19, berkata bantuan yang diterima membolehkan beliau menuntut ilmu dengan lebih tenang tanpa bimbang soal hutang masa depan.

ADAM ARIF SHAROLLNIZAM

“Sebelum ini cabaran utama saya ialah kekurangan wang untuk membeli buku, membayar yuran, kos kolej dan makan minum. Dengan adanya bantuan ini, saya lebih tenang menumpukan perhatian kepada pengajian.

“Inisiatif ini sangat baik kerana ia memberi peluang pelajar seperti saya dibantu tanpa terikat dengan hutang. Saya berharap skim wakaf pendidikan ini dilaksanakan secara berterusan dan telus agar lebih ramai pelajar berkelayakan dapat dibantu,” katanya.

Kejayaan myWaqafPTPTN je­­las membuktikan konsep wa­kaf pendidikan bukan sahaja mem­beri manfaat segera ke­pada mahasiswa, malah mem­perkukuh budaya gotong-royong dalam masyarakat untuk melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi demi masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN